29 February 2008

Sukatan dan Timbangan

Berhati-hati dengan sukatan dan timbangan
– semasa memandu pagi ini, fikiran saya tiba-tiba diterjah dengan arahan ini.

Selalu, apabila membaca arahan dari Allah di dalam Al-Quran berkaitan sukatan dan timbangan, saya akui fikiran cetek saya ini hanya akan mengaitkan arahan tersebut hanya untuk para peniaga dan penjual sahaja.

Pagi ini, minda saya berubah. Alhamdulillah.

Sukatan dan timbangan rupanya merujuk kepada semua amanah yang telah diberikan oleh Allah kepada setiap individu. Allah minta kita menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil, dan ianya bukan hanya merujuk kepada para peniaga dan penjual sahaja.

Pemimpin yang adil perlu memastikan sukatan dan timbangan dalam arahannya bertepatan dengan kehidupan menuju Allah.

Para pendidik juga perlu memastikan ilmu yang diberikan kepada anak-anak muridnya adalah menepati sukatan dan timbangan yang sewajarnya samada berdasarkan gaji yang diterima ataupun perkadaran ilmu yang memang patut diterima oleh anak murid tersebut.

Para pekerja di pejabat yang telah dianugerahkan amanah juga perlu memastikan sukatan dan timbangannya di dalam tugas yang dilaksanakan adalah menepati pertimbangan yang sepatutnya.

Pelajar sekolah juga perlu memastikan sukatan dan timbangannya dalam menuntut ilmu tidak lari dari tuntutan ilmu yang baik kerana Allah, dengan perbuatan semasa menuntut ilmu juga tidak lari dari sukatan dan timbangan yang tepat.

Anak-anak, juga perlu memastikan sukatan dan timbangannya di dalam tanggungjawab kepada ibu bapa. Ibu bapa, juga perlu memastikan sukatan dan timbangannya adalah menepati kehendak Allah.

Pendek kata, semua manusia di dunia ini perlu memastikan sukatan dan timbangan masing-masing. Ini arahan Allah, dinyatakan berulang-ulang di dalam Al-Quran.
Sukat rasa di hati kita, adakah rasa-rasa mazmumah yang bersarang di dalam diri semakin membawa kita semakin jauh dari laluan menuju Allah.
Sukat kata-kata, supaya mulut tidak membawa kepada badan yang binasa. Setiap janji yang tidak tertunai menunjukkan kemunafikan kita, tanpa kita sedar.
Sukat perbuatan, supaya redha Allah sentiasa bersama kita.
Sukat harta kita, yang halal itupun masih pinjaman Allah di dunia. Masih bukan milik kita sepenuhnya, yang bila-bila masa akan diambil tanpa kita tahu waktunya.
Sukat tahap kepimpinan kita, kerana semua orang adalah pemimpin, di dalam organisasi masing-masing. Terlebih kepada pemimpin-pemimpin yang mentadbir sebuah negara.
Sukat amalan dan ibadat kita, adakah sudah cukup untuk dibuat bekal.
Sukat-sukat dan timbang-timbanglah diri kita, adakah laluan hidup kita ini menepati kehidupan yang diredhai Allah.
InsyaAllah, dengan menjaga sukatan dan timbangan dalam kehidupan kita, laluan yang kelam akan menjadi cerah. Redha Allah akan bertambah. Kehidupan di akhirat menjadi lebih mudah.

Dunia ini, hanya pinjam-pinjaman untuk sementara.


#Entri ini tidak ada kaitan dengan mana-mana logo parti yang sedang 'berjuang' sekarang ini.

28 February 2008

Lagu

Andrea Bocelli : secara tiba-tiba saya sudah jadi minat mendengar lagu penyanyi yang tidak boleh melihat ini.

Bukan kerana saya faham liriknya, tetapi kerana saya tertarik pada iramanya. Untuk pertama kalinya, saya tertarik pada irama, bukan pada senikata.


Sebelum ini, dan masih lagi, saya menggemari lagu-lagu nasyid. Saya suka mereka-reka cerita di sebalik setiap lagu yang saya dengar dengan cara menghayati senikatanya. Seronok mengingati pengorbanan Rabiatul Adawiyah, Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah melalui lagu. Apabila tiba lagu-lagu ketuhanan, lebih-lebih lagi ‘rasa’ yang hadir.

Pun, sebenarnya, saya akui saya jarang mendengar lagu-lagu. Saya lebih suka mendengar bunyi alam. Seronok bukan, dikelilingi burung-burung yang berkicauan, disapa angin sepoi-sepoi bahasa menyapu wajah, dikelilingi pohon-pohon hijau melambai-lambai, di tambah deruan air terjun yang menyamankan dan menghirup udara yang menyegarkan. Alangkah seronoknya.

Saya merindukan kehijauan dan alam yang menenangkan. Oksigen yang bersih dan ekologi sistem yang tidak terganggu.

Saya tidak suka asap kenderaan yang menyesakkan dan bunyi lori, kereta dan kapal terbang yang membingitkan. Karbon monoksida dan sulfur dioksida yang berleluasa merata-rata, dengan sinar ultraviolet yang merosakkan kulit.


Wajarkah pejabat saya ini jadi sebuah taman kecil dikelilingi tumbuh-tumbuhan dan air terjun buatan?

27 February 2008

Demam Pilihanraya

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Hari ini sudah 27 Februari 2008. Penamaan calon sudah lepas. Pada 24 Februari yang lalu. Muka-muka calon pun sudah diketahui. Kempen-kempen sudah bermula, dan sehingga hari ini sahaja, macam-macam janji telah ditabur – tujuan hanya satu, ingin meraih undi sebanyak mungkin untuk menempah tiket menjadi orang-orang penting mewakili para rakyat di dalam negara.

BN sudah menang 10 kerusi tanpa bertanding, dan PAS telah menang 1 kerusi juga tanpa bertanding. Alhamdulillah.

Masa inilah, kalau jalan berlubang dan minta diperbetul, pasti segera dapat. Tiang lampu dan tiang elektrik yang roboh juga boleh diperbaiki dengan segera, pada masa ini juga. Sekiranya mahu minta bantuan kewangan ataupun derma membina masjid dan surau pun, masa inilah boleh mendapat peruntukan dengan nilai yang banyak. Masa inilah masa keemasan untuk mendapatkan hak sebagai rakyat. Rakyat mendapat hak. Pemimpin mendapat undi. Hasilnya, perlu ditunggu selepas 8 Mac nanti. Selepas 8 Mac, kena tunggu 5 tahun lagi.

Dalam sibuk-sibuk balai raya-balai raya di kampung-kampung membuat ceramah pilihanraya, pemimpin yang tidak pernah ada masa menjenguk kampung-kampung di ulu dan ceruk-ceruk alam kerana sibuk dengan mesyuarat tiba-tiba menjengulkan muka, poster-poster pelbagai warna digantung merata-rata, saya teruja pada satu keadaan yang mengisi benak saya sekian lama. Pagi ini, saya mengalami lagi keadaan ini.

Saya tidak rasa marah, tetapi saya rasa terganggu dengan sikap pemandu di Kuala Lumpur yang menjadikan aktiviti membuang sampah melalui tingkap kenderaan sebagai satu hobi. Mungkin sebilangan rakyat Malaysia masih tidak prihatin pada kehidupan bermasyarakat agaknya. Hingga ke tahap ini, tidak ada lagi sebarang kemalangan melibatkan saya yang diakibatkan oleh sampah-sampah ini. Bagaimanapun, jangan bila sesuatu keburukan sudah terjadi, baru hendak dibendung. Lebih elok rasanya pencegahan dikuatkuasakan terlebih dahulu sebelum apa-apa bencana melanda. Praktis dalam Islam pun begini juga.

Sampah yang dibuang melalui tingkap kenderaan (majoriti yang saya lihat adalah pemandu-pemandu lori) berupa botol-botol air mineral, tin-tin minuman, pembungkus-pembungkus plastik makanan, kertas-kertas tisu dan pembalut kertas yang membungkus coklat.

Pada saya, orang yang gemar membuang sampah merata-rata ini langsung tidak mempunyai kehidupan yang tersusun. Hidup tidak mempunyai prinsip, malah kehidupan sehari-harinya berada dalam kelalaian dan kealpaan yang melampau. Mengapa saya boleh nyatakan begini?

Sukar sangatkah hendak mewujudkan satu ‘tong sampah di dalam kenderaan’ sekiranya akan menempuh satu perjalanan yang panjang. Setahu saya, coklat, air mineral dan air di dalam tin itu akan dibekalkan dengan ‘satu plastik’ dari penjual kepada pembeli. Lebih mudah menjadikan plastik itu sebagai ‘tong sampah’ dan kemudian apabila tiba di mana-mana destinasi, buang saja di dalam tong sampah yang berada di dalam kawasan tersebut. Malah, di setiap hentian rehat memang ada disediakan tong sampah yang banyak. Cara ini paling mudah. Tidak perlu beli tong sampah kecil yang harganya pun menjangkau RM10 dan akan mengganggu ruang keselasaan di dalam kenderaan.

Tidak perlu simpan sampah lama-lama di dalam kenderaan. Hasilnya memanglah memualkan sebab baunya yang meloyakan akan memenuhi kenderaan. Bukan saja perlu kreatif, orang yang berprinsip akan sentiasa rajin membersihkan ruang dalam kenderaan dari sampah-sampah yang berbau. Tapi, sukar sangatkah?

Jalan raya bukan hak individu. Pemandu kenderaan berat juga perlu berfikir bagi menjaga keselamatan pemandu-pemandu lain. Jangan hanya ingat kenderaan yang dipandu adalah besar, kita jadi alpa pada kenderaan-kenderaan lain yang lebih kecil. Kelajuan saja usah diambil kira. Kalau zaman saya kecil-kecil dulu, hendak mencari lori dan bas yang dipandu lebih laju dari kereta mungkin sukar. Zaman ini amat berbeza. Lori dan bas pula yang saling potong-memotong dan berada di lorong sebelah kanan. Malah, pengalaman saya sendiri mendapati pemandu-pemandu bas memandu dengan kelajuan 130 km/j dan pemandu-pemandu lori sehingga 120km/j. Patutlah sekarang ini banyak bas dan lori yang mengalami kemalangan. Undang-undang dan peraturan sudah jadi permainan orang yang ada kuasa dan wang.

Didikan tentang sampah, adab sopan dan perlu memikirkan hal orang lain amat penting dalam kehidupan setiap manusia. Sekiranya sampah pun tidak boleh diurus, apatah lagi ujian-ujian kehidupan yang lebih kompleks. Sebab itu wujud gejala arak, daun ketum, bohsia dan pelbagai lagi corak kehidupan negatif yang menjadi tunjang dalam kehidupan rakyat di Malaysia pada masa ini. Paling mengelirukan, sikap-sikap buruk dan menjengkelkan ini terdapat pada sebilangan besar generasi muda yang akan menjadi tonggak kepimpinan pada masa akan datang. Amat menyedihkan.

Seharusnya latihan dimulakan dari kecil. Terapkan bahawa ‘HANYA BOLEH BUANG SAMPAH DI DALAM TONG SAMPAH’ sahaja. Jika tiada tong sampah, masukkan sampah ke dalam kocek. Jika tidak ada kocek, masukkan ke dalam beg. Jika tidak ada beg, pegang di tangan sahaja. Jumpa tong sampah, baru buang sampah tersebut. Saya pernah memegang sampah di tangan selama dua jam. Bukan sampah besar, kertas yang terkoyak sedikit yang saya jumpa di atas lantai. Kerana tidak ada tong sampah, kertas itu saya pegang sehinggalah saya berjumpa tong sampah dua jam selepas itu.

Urusan dalam rumahtangga sebenarnya juga berdasarkan prinsip yang sama. Mungkin kerana ia pernah melibatkan bidang tugas saya sebagai pelaksana bagi projek-projek pembangunan, serba sedikit ‘masalah biasa’ yang melibatkan sikap manusia menjadikan saya berfikir tentang hal ini. Sikap, adalah puncanya.

Semua rumah ada sinki dapur. Ini saya memang amat pasti. Namun, berapa keratkah di antara suri rumah yang tidak pernah mengalami masalah sinki tersumbat. Sinki tersumbat juga disebabkan sikap negatif. Cetusan rasa saya ini agaknya kedengaran pelik. Sinki dapur, sama saja konsepnya dengan ‘floor-trap’ di ruang mandi. Konsep sinki dan ‘floor-trap’ hanyalah mengalirkan air buangan dari dapur dan dari bilik mandi ke ‘main-drain’. Hanya air, bukan sampah.

Sebelum membasuh pinggan, periuk, cawan, gelas dan segala macam peralatan dapur yang kotor, segala sisa-sisa makanan perlu dihilangkan dan dimasukkan ke dalam tong sampah terlebih dahulu. Jangan buang semuanya ke dalam sinki dan memaksa sinki untuk menjadi tong sampah kedua di rumah. Kalau satu dua biji nasi, itu masih boleh dipertimbangkan. Itupun, seminggu sekali sinki-sinki dapur itu perlu dicurahkan air panas bagi membersihkan sisa-sisa minyak yang melekat di dinding-dinding saluran tersebut. Bukankah semua rakyat Malaysia akan menggunakan minyak dalam masakan seharian? Kalau tidak menggoreng pun, santan juga merupakan makanan yang berunsur minyak.

Sama juga dengan bilik mandi. Segala macam benda yang berunsur bahan pepejal, jangan dimasukkan ke dalam saluran pembuangan air tersebut. Memanglah lebih mudah, hanya sapu dan biarkan ia mengalir bersama air. Bagaimanapun, dengan kadar hanya satu hari sehelai rambut pun, selepas sepuluh tahun, saluran air di bilik mandi itu pun akan tersumbat. Apabila masalah timbul tentang saluran air yang tersumbat, dikatakan pula pembinaan tidak mengikut spesifikasi. Malah, disarankan laluan air di bilik mandi juga dicurahkan air panas seminggu sekali.

Perlu diingat, nama pun paip air dan saluran air, bukannya saluran sampah dan paip sampah. Sebenarnya, sukar juga hendak memastikan didikan tentang sampah ini dipraktikkan. Ini kerana sikap suka membuang sampah merata-rata ini sudah berakar umbi di dalam diri.

Semuanya berdasarkan sikap. Jika sikap kita betul, semua yang sukar juga akan menjadi mudah. Malah yang lebih sukar dapat dipermudahkan dengan lebih mudah. Keadaan yang dilalui seharian membuktikan perubahan sikap amat penting dalam mewujudkan kejayaan tanpa batas dalam setiap individu, agama, bangsa dan seterusnya untuk negara. Apa saja di dunia ini berkaitan dengan sikap.

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sekiranya kaum itu sendiri tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka.”

Mintalah doa kepada Allah supaya sikap kita boleh diubah kepada sikap yang lebih baik, insyaAllah.