27 November 2008

Bekal - Bento

Assalamualaikum warahmatullah....

Lama sudah saya tidak memasak dan membawa bekal ke pejabat. Selepas bulan puasa berlalu dan cuti Hari Raya Aidilfitri, saya kurang makan - sebetulnya sebab banyak 'jemputan makan' dan menghabiskan puasa 6 hari di dalam bulan Syawal - jadi, memang tidak membawa bekal ke pejabat.

Apabila masuk bulan November, saya sudah ada 'kawan' di rumah. Setiap kali saya pulang, sudah ada makanan yang terhidang di atas meja. Memang hidup saya sangat selesa kerana adik yang dititipkan ke Al-Azhar di Mesir, balik bukan sahaja membawa ijazah, malah juga membawa kepakaran memasak dan dipraktikkan di rumah saya dengan cara yang sangat bagus. Bagusnya, kerana dapur yang digunakan tetap kekal bersih walaupun kebanyakan kaum lelaki yang memasak pasti akan meninggalkan dapur dalam keadaan berselerak - saya kata 'kebanyakan', bukan 'semua'.

Pun, apabila adik balik ke kampung untuk menghadiri temuduga, saya mula berfikir tentang bekal yang akan saya bawa ke pejabat hari ini. Walhal, semasa ada adik di rumah, tidak pula terfikir hendak membawa bekal.

Lantas, balik saja dari mengajar seawal 9 malam, saya terus menyinsing lengan baju dan mula membelek 'kebun brokoli' saya di belakang dapur yang sudah menjadi rutin terkini apabila balik ke rumah - bunyi ayatnya macamlah saya ada kawasan yang luas untuk menanam sayur, nantilah bila ada kelapangan akan saya sertakan sekali gambar brokoli-brokoli saya yang sangat mengujakan di blog ini - kemudian saya terus mengambil periuk dan merebus air yang kemudiannya saya masukkan cili kering di dalam air rebusan tersebut - akhirnya seawal 11 malam, saya sudah siap mengisar cili, mengopek bawang dan menyediakan bahan untuk saya memasak di awal pagi, di samping saya siap mengemas dapur - yang sebetulnya tidak perlu dikemas - tapi, saya ini jenis yang suka mengubahsuai rupa dapur sesekali.

Pun, lena saya tidak panjang. Seawal 4 pagi saya sudah terjaga. Saya terus bangun, dan pada pukul 5 pagi saya mula memasak. Bekal saya hari ini sangat mudah - bihun goreng dan telur yang dikukus. Sangka saya, bihun yang saya gunakan sangat sedikit, tetapi setelah ditokok tambah pelbagai bahan, bihun goreng saya bertambah jadi dua kali ganda. Malah, rupanya cili kering yang saya baru beli itu sangat pedas. Jadilah bihun goreng yang pedas sebagai bekal saya pada hari ini.

Seronok juga apabila berpeluang masak sendiri. Saya tahu, saya sangat puas hati apabila makan masakan saya sendiri. Doa, cara masak dan membasuh dan pemilihan bahan masakan yang digunakan sangat penting bagi memastikan hasil masakan adalah berkualiti untuk dijadikan darah daging yang baik di dalam tubuh kita. Memasak, jadikan ianya satu ibadat mengharap redhaNya.

23 November 2008

Madagascar 2

Assalamualaikum warahmatullah...

Sudah lama saya tidak ke panggung wayang. Pun, seingat saya cerita pertama yang saya berpeluang menonton di panggung wayang adalah Harry Potter. Harry Potter yang mana satu, saya memang tidak ingat langsung. Selepas itu, disusuli dengan Transformers (ini salah satu cerita favourite saya sehinggakan model Optimus Prime pun ada dalam koleksi simpanan saya), kemudian Spiderman, Pirates of the Carribean dan banyak lagi.



Hari ini saya menonton Madagascar 2 pula. Tempat yang biasa saya pergi adalah KLCC - seingat saya, saya tidak pernah menonton di panggung wayang lain. Saya tidak pernah membeli tiket wayang kerana selalunya satu-satunya keluarga yang sering mengajak saya - saya menganggap mereka seperti keluarga saya sendiri - akan menentukan cerita apa yang akan ditonton. Tujuan utama saya pula, mengeratkan silaturrahim yang memang normal bagi wanita berkerjaya seperti saya yang sukar untuk meluangkan masa bagi mengeratkan ukhuwah.

Kemudian, saya ke Kinokuniya pula. Seperti biasa, masuk sahaja ke kedai buku, saya tidak pernah tidak akan membeli buku. Mahu diapakan agaknya dengan buku-buku saya yang banyak di rumah. Pun, hari ini saya membeli buku-buku yang di luar kebiasaan saya - Murderous Math, dan beberapa buku berkaitan Home Improvement dan penanaman pokok pula menjadi kegilaan saya. Selalunya, saya gemar membeli novel-novel berkaitan pembunuhan, penyiasatan dan yang sejenis dengannya. Hakikat yang perlu diterima, saya memang kurang sukakan novel-novel cinta yang tidak realistik.

Saya sudah tua agaknya, sudah tidak sukakan novel-novel seumpama itu lagi. Saya mahu duduk-duduk di rumah, menanam pokok, mengajar dan pergi bekerja sahaja. Saya tahu, saya sudah berubah dari segi minda dan keinginan. Keinginan kanak-kanak itu sudah semakin hilang dari diri saya. Sudah tuakah saya?

20 November 2008

Tunggu Teduh Dulu

Assalamualaikum warahmatullah...

Sejak adik duduk bersama saya, saya sudah jarang membaca buku, walau saya sering cemburu dengan masa senggang adik yang sangat banyak. Saya rasa, buku-buku di rak saya sudah banyak yang dibacanya, sementelah saya pula yang kurang membaca.

Pun, bila saya serahkan 'Tunggu Teduh Dulu' kepada adik untuk dibaca, saya tahu saya teringin mahu mengulang semula baca novel tersebut. Ada daya tarikan tersendiri pada novel tersebut yang membuat saya mahu membacanya semula buat kali kedua. Saya masih ingat, 'Tunggu Teduh Dulu' saya baca selepas saya pulang dari Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah pada tahun lepas. Momen kenangan itu masih terlekat erat di minda saya.

Sudahnya, malam tadi saya mengulang semula membaca 'Tunggu Teduh Dulu'. Saya mula terbayang kulit baru novel ini yang berwarna biru - untuk elakkan pembaziran kerana saya sudah memiliki 'kulit yang lama', walau teruja apabila bertemu 'Tunggu Teduh Dulu' berwarna biru di kedai buku beberapa bulan lepas, saya menahan diri dari membelinya. Paling penting isinya, bukan kulit jadi keutamaan - saya sedang memujuk hati.

Usai mengajar, mandi dan solat, saya mula membuka novel tersebut. Hingga santak mata saya, sambil melayan sms seorang sahabat yang ingin bertanyakan tentang harga rumah-rumah di kawasan Bandar Baru Bangi, saya berjaya membaca sehingga ke tahap Salsabila Fahim bertemu Saifullah di sebuah hotel. Tiba ke tahap itu, jam di paparan telefon saya sudah menunjukkan pukul 12 malam. Esok kerja, dan saya bergegas menutup lampu dan terus membaca doa tidur.

Benar, saya teruja membacanya semula. Novel itu dibuat dengan hati, bukan dengan minda. Hasilnya meresap ke hati saya, dan bila saya membacanya buat kali kedua, saya tahu saya harus setabah Salsabila di dalam mengharungi kehidupan ini. Hubungan rapat dengan Yang Maha Esa (ini saya kurang pasti kerana saya tahu, jarak saya dan Dia sangat jauh - akhlak saya tidak syumul....aduhai!) dan solat malam yang sukar ditinggalkan oleh Salsabila - ini juga bukan saya - walau saya sering juga bangun malam dan suka melihat bintang, bulan dan.....kereta saya di luar rumah seawal 3 pagi. Hmm, saya jarang lena dalam tidur. Wahai hati, tahajjud dan tahajjud dan tahajjud lah. Hati, degilnya hati saya....semoga Allah memudahkan urusan hati saya menuju Dia, insyaAllah..

Itulah. 'Tunggu Teduh Dulu' bukan sekadar sebuah novel biasa - baca dan panduan darinya meresap ke dalam jiwa. Wahai jiwa, berubahlah...kerana Dia sentiasa menanti kita merintih padaNya...

15 November 2008

Olea Europaea

Dulu saya tidak tahu tentang faedah apabila menggunakan minyak zaitun. Malah, minyak zaitun hanya digunakan sebagai minyak rambut.

Sejak stok minyak masak kurang di pasaran satu masa dahulu, saya sudah mula beralih arah. Kini, minyak zaitun seolah sudah sebati di dalam resepi masakan saya. Saya lebih selesa menggunakan minyak zaitun, untuk menumis atau untuk masakan yang berkuah. Paling pasti, minyak zaitun yang digunakan tidak akan dibuang atau digunakan berulang kali. Harganya yang tinggi dan kualitinya yang bagus menjadikan saya lebih berjimat di dalam menghasilkan masakan.

Terlebih, makanan yang dipanggang lebih enak dengan penggunaan minyak zaitun. Bukan setakat daging ataupun ayam, sayuran seperti brokoli, lobak dan tomato juga boleh dipanggang dengan menggunakan minyak zaitun.

Hasilnya, minyak kurang kolesterol dan lemak yang berlebihan menjadikan badan lebih segar dan selesa, hinggakan terasa badan lebih ringan dengan penggunaan minyak ini.