19 February 2009

Penuh!

Saya sarat tugas.

Hari ini, tiba di pejabat, saya segera membuka komputer. Melayan minit mesyuarat yang asyik tertangguh kerana tepu tugasan lain. Memanggil pembantu saya dan menyelesaikan beberapa tugasan. Seawal 9.15 pagi, saya sudah menuju ke mesyuarat - paling pasti, saya berdebar. Saya sudah tidak berada dalam situasi biasa sejak bertukar skop kerja yang diarahkan.

Pukul 10 pagi. Saya sudah mengadap seorang Panglima sambil mencicip rasa dua ketul roti jala. Perut saya sudah lama tidak lapar. Sejak kejadian itu. Ya, kejadian itu. Walau roti jala itu - salah satu kegemaran saya. Usai mesyuarat, saya segera menuju ke tapak projek pula. Melihat kawasan yang perlu saya bangunkan bangunan baru.

Balik semula ke pejabat dan hanya sempat meneguk air kosong dan solat. Kemudian, saya keluar semula. Kali ini, saya lepak-lepak di bawah beberapa buah kapal terbang lama yang tersadai menjadi pameran. Saya teruja! Andai saja saya meneruskan cita-cita saya di zaman remaja ingin menjadi seorang aeronautical engineer. Agaknya, dimanakah saya sekarang?

Masih sempat pula ke ibu pejabat selepas balik dari bermain-main kapal terbang. Singgah seketika menyelesaikan laporan yang perlu dihantar - ya, setiap minggu. Dalam kalut hari keempat saya bertukar, saya rasa tugasan yang saya lakukan sudah seribu satu macam. Ya, buka beg baru semula. Yang lama itu, saya sudah tinggalkan di dalam kabinet untuk dibuka pada masa yang lain. Beg baru saya yang ini sangat sibuk. Berbeza amat dengan beg lama saya.

Balik semula ke pejabat, saya sudah menuju ke bilik boss. Hmm. Melapor tugas seharian yang kemudiannya bertanyakan pendapatnya untuk sebatang longkang besar - salah satu projek yang perlu diselesaikan. Buru-buru saya berkejar pula untuk mengajar - aduhai! Andai saja saya dibenarkan memilih, apakah pilihan saya kali ini agaknya?

Syukurlah. Alhamdulillah. Ini pilihan saya. Ini redha Allah. Saya tidak perlu memilih. Walau mata sudah layu, saya tahu, jalan hidup sebegini, andai ada redhaNya, pasrahlah saya. Saya penuh dengan amanah - saya tepu dengan rela.

Alhamdulillah.

No comments: