26 March 2013

Bawa Bekal Ke Pejabat 3

Assalamualaikum...

Jarang benar mahu update blog sekarang ini. Mungkin tuntutan 'menaip' itu masih belum sebati dengan jari jemari saya yang masih 'letih' dan 'kaku' sekiranya menaip dengan agak banyak, walau sudah banyak berkurang rasa sakitnya. Alhamdulillah. Segala puji hanya untuk Allah. Apapun, hari ini, tiba-tiba ada gerak hati mahu menaip lagi di sini.

Pagi ini, saya bangun sangat awal. Lebih kurang sekitar 4 pagi. Terdengar guruh berdentum-dentam di luar rumah. Bunyi hujan tidak terlalu lebat, tapi mata yang terasa segar memang tidak membolehkan saya menyambung tidur semula. Lalu, rutin 'sepertiga malam yang di penghujung' itu terasa 'sayang' pula untuk tidak dilunaskan. Alhamdulillah. Ya Allah, esok minta 'digerakkan' lagi pada waktu yang sama ya.

Menjelang pukul 5.15 pagi, saya sudah mula masuk ke dapur. Mencapai sebiji bawang merah saiz sederhana, saya mula mengopek kulitnya, membasuh dan kemudian menghiris bawang tersebut dalam hirisan agak kasar. Bekas berisi daun kari 'kering' (oh...memang kurang kick...tapi ini saja yang jadi penyelamat kalau terasa mahu makan kari - bukan selalu ada rasa mahu makan kari pun...) saya capai, mengeluarkan lebih kurang setangkai daun kari (dilurut terlebih dahulu), membasuh di bawah air bersama Surah Al-Kausar dan selawat kepada Rasulullah SAW di bibir (sila tos seketika) dan terus dimasukkan ke dalam periuk berisi setengah sudu minyak bunga matahari (walau menggunapakai minyak bunga matahari, saya jarang guna minyak yang banyak dalam masakan) yang sudah mula panas. Usai 'menggoreng daun kari', saya segera memasukkan hirisan bawang merah tadi ke dalam periuk. Apabila terbit baunya, saya segera memasukkan serbuk buah pelaga, kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang ke dalam periuk. Saya memasukkan sedikit serbuk cili (stok cili kisar habis pula di rumah ini...) dan segera dimasukkan pes kari (tiga sudu serbuk kari dicampur sedikit air dan dikacau), dikacau seketika sebelum dimasukkan sedikit air untuk mengelakkan berkerak (saya menggunakan dapur induksi, jadi masakan lebih cepat masak dan jika tidak dikawal 'ketangkasan memasak' dan suhu dapur, masakan akan mudah berkerak...tetapi ia sangat membantu untuk memasak dalam masa yang singkat..).

Kemudian, saya mula memasukkan asam keping dan sedikit perahan lemon. Selepas seketika, saya memasukkan tauhu pok, tauhu keras, fish ball dan fish cake serta hirisan kobis. Hmmm...sawi tidak ada di rumah ini...jadi memadai dengan apa yang ada saja untuk dijadikan sayur di dalam kuah untuk mi kari saya ini. Malah, kerang juga tidak ada...ermmm...sebenarnya sengaja tidak dibeli kerana mahu mengurangkan jumlah kolesterol dalam badan.

Bekas garam dicapai, saya memasukkan dua sudu kecil garam dan kemudian saya memasukkan bancuhan lima sudu susu Anlene dan air sebagai pengganti santan. Haha. Stail saya memasak. Terlebih memasak secara sihat atau apakah...walhal ada dua kotak santan segera (eh...low fat lagi...) yang sentiasa menjadi stok tetapi sengaja tidak mahu digunakan dalam kuah kari kali ini. Lebih mudah 'menggunting' kotak santan dari membancuh susu kan? Haha.

Saya mengacau seketika (sengaja buat cair sedikit...tidak mahu terlalu pekat kerana kuahnya mahu dihirup penuh nikmat nanti...), mematikan suis dan jam sudah menunjukkan pukul 6 pagi. Wah...di tengah cuaca lembab-lembab di awal pagi, bau kuah kari saya benar-benar menusuk hidung. Alhamdulillah.

Hari ini saya memandu sendiri ke pejabat dan berjaya tiba di pejabat pada pukul 6.55 pagi bersama semangkuk kari (eh...kari je....mana mi nya?). Kes mahu diet la konon-kononnya....lalu mahu mengurangkan kuantiti 'carb' dalam menu harian...mi itu di rumah, hanya untuk suami saya nikmati bersama kuah kari.

Alhamdulillah. Semoga ada redha Allah dalam setiap saat urusan hidup kita di bumi Allah ini. InsyaAllah.

No comments: