14 December 2008

Untung Lagi

Sudah jadi habit saya akan melihat suratkhabar dan membaca berita semasa sekiranya berpeluang untuk membacanya, terutama sekali apabila berada di pejabat di mana suratkhabar The Star dan Utusan Malaysia menjadi langganan utama di pejabat saya.

Fenomena sekarang - cerita paling glamor tentunya tentang runtuhan di Bukit Antarabangsa dan juga harga barang yang tidak pernah diturunkan oleh peniaga - walaupun minyak sudah berulangkali turun harga.

Runtuhan di Bukit Antarabangsa - sudah tentu saya tidak mahu komen apa-apa tentang ini, walaupun tragedi 15 tahun sebelumnya itulah yang telah menerbitkan cita-cita saya untuk menjadi seorang jurutera. Pun, apabila sudah dewasa sebegini, walau gelaran jurutera itu sudah saya sandang, barulah saya tahu 'pahit maung' menjadi orang dewasa dan menjadi seorang pekerja. Memang pada dasarnya apa yang kita mahukan adalah kebaikan, tetapi di zaman serba moden dan maju ini, manusia sering terlupa pada iman, ikhlas, ihsan dan Islam sehinggakan wang dan pangkat menjadi raja di mata. Lalu, pendapat-pendapat yang dikeluarkan terutama sebelum runtuhan berlaku sering diabaikan kerana ia akan 'merugikan' sesetengah pihak yang berkepentingan.

Ya, itu realitinya. Manusia sering terlupa tentang wang dan pangkat yang tentunya hanya akan ditinggalkan setelah kematian memiliki kita di satu masa nanti.

Sama juga konteks ini dengan harga barang 'yang tidak pernah turun-turun'. Semuanya kerana keuntungan berdasarkan materi yang hakikatnya memang tidak akan kekal - tapi kini seolah-olah menjadi 'raja' kepada semua manusia di zaman ini. Mahu untung cepat dan hanya mementingkan diri mereka sendiri hingga tidak pernah memikirkan untuk berkongsi rasa susah dan mengagih rasa senang sesama 'jiran' - ya, saya katakan jiran kerana di mana pun kita berada, kita adalah jiran di antara satu sama lain, walaupun berasingan negara dan jauh di mata, kita masih 'satu jiran' yang perlu memikirkan tentang 'jiran' yang satu lagi.

Mahu untung cepat? Mahu diapakan wang yang banyak kalau niat di hati tidak ikhlas dan tidak berniat melakukannya hanya kerana Allah? Fikirlah, berjuta pun wang menjadi milik kita, jika Allah sudah menyatakan kita akan mati pada esok hari, 'untung dunia' itu akan ditinggal begitu sahaja.

No comments: