30 December 2008

Kuih Cubaan Kali Pertama

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Cuti 3 hari yang menyeronokkan.

Cuti hari pertama - saya menguruskan beberapa hal penting hujung tahun dan seterusnya melepak di rumah kakak saya. Balik saja ke rumah, saya memasak dan makan bersama adik.

Cuti hari kedua - saya mengajar dari awal pagi hingga lebih kurang pada pukul 3 petang, saya bergerak ke sebuah pasaraya untuk membeli tepung naik sendiri, kismis, telur, keju - saya sendiri tidak percaya bahawa saya telah membeli keju seberat 500g dengan harga RM20.30 - melampau betul kadar saya berbelanja, kalaulah emak saya tahu - dan juga seketul mentega sebesar penumbuk saya (pastinya kecil saja saiznya dengan berat lebih kurang 300g) yang berharga RM7.95.

Yuhuu! Sudah lebih kurang lima tahun saya tidak memasak kek/puding/kuih dan yang sewaktu dengannya. Dulu memang saya selalu memasak kek (terutama pada hari raya, yang selalunya sehingga 3 ketul kek kerana seketul kek sudah pasti menjadi habuan abang saya seorang). Memang saya sudah lupa (saya rasa, sebenarnya lebih kepada kerana saya tidak berminat kerana saya lebih sukakan aroma masakan Melayu yang diselaputi kepedasan, ataupun paling-paling kuah tomyam ala Thai yang lebih mudah disediakan - main campak-campak saja) bagaimana mahu memasaknya - zaman muda-muda dulu (aduhai! macamlah sudah tua!) saya diajar oleh emak menyukat dengan menggunakan cawan sahaja apabila mahu membuat kek.

Masakan Melayu memang mudah - asasnya cili, bawang merah dan bawang putih. Tapi jangan terkejut, dalam rancangan Rachael Ray atau Martha Stewart sekarang pun sudah banyak menggunakan cili, bawang merah dan bawang putih - sehinggakan saya sendiri kurang pasti - masakan Melayu ini asasnya apa, kerana masakan berunsur kari sendiri berasal dari India sebetulnya. Hmmm...saya sudah melalut-lalut.

Jadi, saya balik ke rumah dengan mengangkut barang-barang tersebut yang kemudiannya saya campak kesemuanya ke dalam peti sejuk dan ke rak di dapur. Saya letih kerana traffic-jammed di dalam pasaraya yang menyukarkan pergerakan saya (percaya atau tidak, saya nampak beberapa pasangan yang boleh berpeluk-pelukan di celahan botol minyak dan tin susu tanpa membeli apa-apa! Aduhai, kalau mahu bercengkerama pun janganlah di ruang barang-barang dapur!) - kerana itu pergerakan saya jadi lambat dan menjadikan kepenatan saya berganda. Usai mandi dan menguruskan beberapa urusan peribadi, saya segera melenakan diri.

Cuti hari ketiga - saya terasa malas hendak bangun. Apapun, awal Muharram 1430H ini saya sambut dengan kemeriahannya saya simpan rapat-rapat di dalam hati. Sebetulnya, mengikut tahun Hijrah, inilah tarikh kelahiran saya, tapi saya tidak pernah mewar-warkannya kepada kenalan terdekat. Agaknya kerana terlalu letih, saya mula berkira-kira - hendak buat 'Puding Kukus' atau tidak - yang akhirnya saya bangun juga, masuk ke dapur, membuka bancuhan jemput-jemput pisang saya yang sudah disejuk-beku dan mula menggoreng jemput-jemput pisang dahulu untuk breakfast adik saya - adik saya akan mengajar di salah sebuah sekolah tahfiz - dan dikehendaki pergi pada hari ini. Alhamdulillah!

Sambil menunggu gorengan, saya membuka kotak tepung Blukey - tepung naik sendiri. Anggaran dalam 200g - sungguh, saya malas hendak membuat apa-apa sukatan - jadi saya tuang sahaja di dalam bekas tanpa menyukat keseluruhan tepung tersebut yang seberat 1kg - agaknya betullah 800g telah saya tinggalkan. Kemudian saya ambil bekas gula dan mencampak (anggaran 100g) ke dalam tepung tersebut. Kemudian, saya mengambil marjerin dan mencampak juga (dalam anggaran 100g) ke dalam bancuhan. Kemudiannya saya memasak air dan membancuh susu tepung saya sepekat yang boleh sebanyak 1 cawan dan setelah dicampak dua biji telur Omega 3 juga ke dalam bancuhan yang sama, saya mula memukul bancuhan saya dengan senduk! Serius, rumah saya tidak ada apa-apa pemukul telur ataupun pembancuh adunan pun! Usai dipukul dan ditambah beberapa ketul kismis, saya segera menyediakan pengukus dan mengukus 'puding ntah apa-apa' tersebut selama 50 minit - kalau ikut resepi, sepatutnya 1 jam.

Mula-mula saya memikirkan tidak mahu pun membawa 'kuih cubaan kali pertama' ini ke rumah kakak yang saya mahu kunjungi - dia membuat sedikit kenduri doa selamat kerana anak keduanya akan berangkat ke Syria pada malamnya - tetapi memikirkan kadar pengembangannya yang sangat banyak - saya tahu saya dan adik tidak mampu menghabiskannya - lalu saya pun membawanya sambil bertawakkal sesungguh hati - haha, stail saya kalau memasak, saya tidak akan pernah rasa dahulu pun masakan saya. Bayangkan, saya tidak tahu pun apa rasa 'kuih ntah apa-apa' saya ini sehinggalah kuih ini telah dipotong oleh kakak tersebut - uiksss, berdegup-degup sungguh jantung saya sehinggalah dia mengatakan - ok, boleh bawa ke depan ni! - barulah degupan jantung saya kembali normal.


Bila sudah ada yang merasa, barulah saya ambil gambar 'kuih cubaan kali pertama' ini - nampak kesan 'dicungkil' kan. Simple aje kan. Malah, untuk Sabtu ini (ada majlis berkaitan dengan Al-Quran rasanya yang perlu saya hadiri), salah seorang adik yang merupakan anak saudara kepada kakak ini telah meminta saya membawa 'kuih ntah apa-apa' ini lagi. InsyaAllah.

No comments: