05 September 2010

Satu Hari di Ramadhan 1431H

Saya melunjur kaki. Lenguh. Usai satu juzuk. Serta maknanya. Harap-harap dapat diingati, dapat dimanfaatkan, dapat disimpan di hati, dapat dijadikan amalan. Malam masih kelam, yang sebetulnya sudah pagi. Pagi yang masih awal. Kalau di kampung, sudah dengar kokokan ayam jantan tua di belakang rumah. Sunyi sepi. Saya suka waktu semacam ini. Waktu bersama Allah. Waktu bersama diri. Sendiri.

Sudah malam 25 Ramadhan. Esok cuti. Walau sebetulnya dalam kehidupan saya tidak akan pernah ada makna 'hari cuti'. Jika cuti dari kerja, saya ada beberapa kelas mengajar dari pagi hingga ke malam. Jika cuti mengajar, saya akan segera mengambil peluang memandu pulang ke kampung, yang sebetulnya 'cuti mengajar' cuma akan diperolehi jika saya membatalkan beberapa kelas-kelas saya. Selalunya sekali dalam tempoh dua bulan. Atau bila melampau rasa rindu, sekali dalam tempoh sebulan.

Kadang-kadang ada juga kelas dibatalkan kerana saya demam. Demam yang sudah tidak larat bangun. Lalu konon-konon berehat di rumah. Tapi dalam tidak larat memandu, masih mengangkat bebanan kain baju dimasukkan ke dalam mesin basuh, masih leka menekan hujung mop mengilatkan lantai walau kemudian akan berhabuk semula, masih suka menekun diri mengadap buku-buku yang banyak untuk dibaca, masih alpa diri apabila sesekali dapat menyentuh berus dan warna atau saja-saja duduk di ceruk dapur mencampak apa yang ada untuk menjadi makanan yang kemudian akan dibawa ke rumah kakak ipar. Leka dengan majalah masakan, deru lagu-lagu nasyid atau bacaan Al-Quran dari cd yang sengaja dipasang memenuhi ruang rumah, lalu sebetulnya saya tidak sukakan ruang senggang yang diisi kosong. Tanpa makna. Walau tidak larat.

Usai qiam a.k.a late night party. Usai tafsir Al-Quran. Sendiri. Lipat kain solat dan saya menuju ke dapur. Sahur mudah. 3 butir tamar Ajwa saya basuh dan masukkan ke dalam piring kecil. Jus mangga dalam mug kecil serta air suam sebotol. Kadang-kadang ada air soya atau susu kambing suam segelas. Bawa ke meja di ruang tamu dan mula membuka Tasauf Moden karya HAMKA. Sudah lama membacanya, namun masih tidak mampu menghabiskannya. Mahu difahamkan, mahu dihayati, mahu dikaji. Jam sudah hampir 5.30 pagi. Perlahan, sahur saya dilunaskan. Di saat azan Subuh berkumandang, saya sudah ada di tikar solat semula. Sayu. Subuh sentiasa membawa kesayuan kepada saya. Sayu, jika ini Subuh terakhir saya. Jika ini Ramadhan terakhir saya. Bekal saya masih sangat sedikit. Amal sudahlah sangat kurang, dosa yang dihimpun pula sangat banyak. Ditolak tambah, apalah yang saya mahu bawa untuk berjumpa Allah. Hanya ada rasa harap, semoga saya diampunkan Allah. Sentiasa.

Usai solat, saya sambung satu 'ain. Kemudian mandi. Bersiap untuk ke kelas. Hanya ada dua kelas hari ini. Beberapa pelajar lain sudah ambil cuti balik ke kampung. Sebetulnya, kelas saya fleksibel. Tidak tertakluk pada cuti sekolah. Selalunya lebih banyak kelas semasa cuti sekolah. Ada beberapa pelajar yang belajar di sekolah berasrama akan 'mem-booking" saya sepanjang cuti sekolah. Selalunya pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5. Tapi tidak pada cuti ini. Cuti raya. Saya juga mahu cuti. Bersama emak di kampung. Emak yang sering saya rindui. Kampung yang sering saya ingati.

Jam 7.30 pagi, saya menghampar tikar solat semula. Rindu kepada Dia. Menghampar rasa syukur kepadaNya. Usai solat, saya terus keluar dari rumah. Kelas pukul 8 pagi dan kemudian satu kelas lagi pada pukul 11 pagi. Habis dua kelas pada 1.15 tengahari, saya terus bersolat Zuhur di rumah pelajar yang kedua. Lalu saya menuju ke pejabat. Oh, bukan saja-saja. Sejak 31 Ogos, saya masih belum berpeluang ke pejabat. Tugas luar kawasan yang banyak. Isnin depan pun masih tidak berpeluang ke pejabat. Ahad sudah bertolak ke pantai timur lagi. Selasa, insyaAllah di pejabat. Terakhir sebelum cuti.

Pejabat kosong. Tiada sesiapa. Sunyi. Saya mengambil surat-surat di pigeon-hole untuk diminitkan. Usai minit semua surat-surat dan diagihkan terus ke meja-meja pasukan kerja saya, kemudian mengambil dua bekas kuih yang saya tempah melalui rakan sepejabat yang sudah diletakkan di atas meja kerja saya. Kuih raya untuk emak saya. Terus balik ke rumah. Badan tiba-tiba seram sejuk, dan kemudian bersin berulangkali hadir. Oh...minggu ini saya belum berehat lagi. Saya mengemas rumah dahulu dan kemudian menghantar mesej kepada keluarga yang bakal saya berbuka puasa hari ini. Buka puasa bersama terpaksa dibatalkan. Badan saya terlalu panas. Maaf. Tahun ini puasa saya yang lebih banyak sendiri. Urusan amanah yang banyak yang perlu diselesaikan. Amanah Allah kepada saya. Amanah yang perlu dilunaskan seikhlasnya supaya tidak kaku bila ditanya Allah di akhirat nanti.

Sambil menunggu Asar, saya baring seketika merehatkan diri. Benar saya sangat penat. Badan jua sudah menggigil. Panas di badan tambah ketara. Lena saya hanya terjaga sekitar pukul 5.30 petang. Lega sedikit. Baki tenaga hanya cukup untuk masuk ke dapur dan mengeluarkan rempah sup beku dari peti sejuk untuk dinyah-beku.

Selesai wudhu', saya hampar tikar solat untuk solat Asar. Leka saya bersama Dia tanpa sedar jam yang sudah membawa ke pukul 7.10 malam. 5 butir tamar Ajwa saya cuci dan dimasukkan ke dalam piring kecil. Bersama secawan jus mangga dan air suam, saya berbuka puasa dengan ringkas apabila mendengar azan Maghrib sayup-sayup dari masjid berhampiran. Sebetulnya, buka puasa sebegini memang rutin saya. Rutin jika berseorangan, kerana apabila berbuka puasa bersama keluarga lain, atau di rumah saya di kampung, pasti ada pelbagai juadah yang akan saya cicip jua sekadarnya saja. Bawalah saya berbuka puasa di mana saja, di lokasi mana saja, saya makan tetap sekadarnya. Jika terlalu penuh, selalunya akan lena hingga lalai pada solat malam. Dialpakan dengan makanan. Oleh itu, saya kawal keinginan, yang akhirnya sudah jadi rutin pada diri. Bazar Ramadhan jua sudah bertahun-tahun tidak saya pergi. Bukan tidak ada keinginan pada makanan-makanan lain, tapi biarlah sekadarnya saja, atau seringkali pula saya lebih suka melayan keinginan saya dengan masak sendiri di rumah, kemudian di bawa ke rumah kakak ipar, untuk dikongsi makan bersama anak-anak saudara saya. Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Selesai solat Maghrib dan satu a'in, baru saya masuk ke dapur. Masak mee sup mudah. Mee dengan sayur dan sedikit daging. Hanya 1 mangkuk. Siap dalam tempoh 10 minit. Siap cepat kerana dagingnya sudah direbus lebih awal. Sup panas dan mee soba buat ubat untuk demam yang sudah semakin teruk. Usai makan, saya sambung duduk di atas tikar solat. Walau dalam lesu, saya mahu bersama Dia di saat semua orang jua sedang bersama Dia di masjid-masjid. Walau berseorangan. Bersama selesema dan badan yang panas. Bersama tenaga yang kurang. Pun masih saya mahu bersama Dia. Terutama di Ramadhan ini.

Usai solat, saya mula mengukur diri sebelum mata terpejam. Amalan yang saya terlalai pada hari ini. Mutaba'ah amal saya yang mungkin terkurang. Akhlak saya yang mungkin tidak menyenangkan Allah. Tidak diredhai Allah. Semoga Allah mengampunkan saya di Ramadhan ini. Nantinya, biarlah saya 'lahir' sesuai fitrah kejadian seorang manusia. Di Aidil Fitri. Dengan niat dan hasrat mahu bangun qiam dan doa tidur serta tiga Qul dan Ayatul Qursi, saya mula menutup mata. Selimut saya tarik rapat ke badan. Badan saya masih panas, namun hati saya tenang. Alhamdulillah. Semoga Allah meredhai kehidupan saya dalam sehari di Ramadhan ini, dan jua di hari-hari lain. InsyaAllah.

No comments: