07 September 2012

Sesudah Ramadhan 1433H

Ramadhan sudah berlalu. Syawal juga sudah hampir tamat. Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal saya saja yang masih belum tamat. Sudah terbiasa, menyelesaikan puasa qadha' yang termasuk dalam kategori 'wajib' dahulu, bila sudah diselesaikan, barulah hati terasa 'lega' mahu berpuasa sunat semula. Selagi tidak dilunas, malam pun sukar untuk lena. Sungguh! Bimbang tidak sempat 'dibayar kepada Allah' dalam keadaan saya masih berleka-leka, dan tanpa dijangka, tetiba maut pula sudah menjemput.

Amal sudahlah tidak banyak, akhlak pula bukanlah baik sangat, ikhlas kepada Allah juga masih belum sempurna, jadi jika 'hutang' masih ada...dimanalah agaknya kedudukan saya di sisi Allah? Oh! Sungguh terasa sangat-sangat kerdil mahu meneruskan hidup di dalam dunia ini...jadi, bila sudah diselesaikan (semoga Allah meredhai saya...sentiasa...insyaAllah...) barulah hati terasa lega. Minda terasa lapang. Jiwa sungguh merasa sangat tenang. Kalau tidak sempurna, semoga Allah sempurnakan. InsyaAllah.

Kita kan tak tahu pada waktu bilakah kita akan dikembalikan kepadaNya? Kalau malam ini...kalau saat ini...bagaimana? Jika ada hutang yang masih belum dibayar lagi...dimanakah kita akan diletakkan oleh Allah?

Idul Fitri yang baru berlalu, tahun pertama saya tidak berhari raya di negeri kelahiran saya. Tidak berhari raya bersama emak saya. Tidak berhari raya di rumah yang saya telah membesar bersama-samanya. Tidak duduk di dapur bersama emak di malam raya.

Tahun pertama saya berhari raya di rumah keluarga suami. Ia memang pengalaman yang berbeza. Namun, satu pengalaman indah yang menyeronokkan. Suasana yang berbeza, udara yang berbeza, ruang yang berbeza, juadah yang sedikit berbeza - pun saya seronok melihat suami berselera menikmatinya. Sungguh terasa kelainannya, dan tanpa sedar...ada rasa rindu yang tidak terbendung. Sungguhlah...Idul Fitri memang benar-benar menyuntik rasa hati.

Patutlah rezeki saya semasa membuat ijazah pertama, walau menerima tawaran ke United Kingdom dan Jepun, ia tidak tertunai...kerana Allah tahu lemahnya 'hati' saya yang sering sarat rasa rindu kepada kampung halaman. Bukan sewenangnya boleh pulang ke Malaysia jika sudah ada di luar negara. Alhamdulillah. Terkadang hikmah solat istikharah itu bukan boleh 'ditemui' dalam masa yang singkat, ada yang akan mengambil masa hampir 15 tahun! Allahuakbar!

Perasaan selepas Ramadhan?

Ia suatu rasa 'kosong' yang tidak dapat saya ungkapkan.

Hanya yang didoakan - Ya Allah, temukan saya kepada Ramadhan 1434H. InsyaAllah.

Sungguh....saya sudah mula merindui Ramadhan...walau ia baru beberapa detik berlalu. Masihkah ada Ramadhan untuk saya? Masihkah ada Ramadhan untuk anda semua?

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Semoga saya, suami, emak, ayah, dan anda semua sentiasa diredhai Allah di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

No comments: