29 November 2009

Saya Rasa Saya Kurang Tazkirah

Kenapa?

- Sudah seminggu tafsir Al-Quran saya tersadai di atas buku-buku di tepi laptop dan tidak dibuka. Walhal, tafsir itu peneman saya setiap Subuh dan Maghrib, malah sesekali Isya' (kerana Zuhur dan Asar saya di pejabat...lalu usai Zuhur dan Asar, biasanya hanya diisi dengan Ayat 1, 5 dan 7 sahaja...)

- Saya ada rasa malas untuk ambil wudhu' bila waktu sepertiga malam tiba, walhal saya sudah membuka mata. Kukuh betul buhul-buhul ikatan syaithon yang merantai kaki dan tangan saya, menekan-nekan alis mata saya supaya tertutup rapat. Terlupa bahawa buhul-buhul ikatan itu bukannya boleh terurai dengan bahasa lembut dan hati yang lemah. Perlu paksa diri untuk tunjuk kasih pada Allah.

- Solat di waktu bekerja menjadi sangat lambat. Terlalu sangat dengan urusan kerja dan keduniaan. Walhal panggilan Allah lebih utama dari panggilan boss.

- Makan bila lapar. Bila sudah kenyang, sambung kerja semula. Seolah terlupa makan kerana Allah, minum kerana Allah. Hidup kerana Allah. Kurang benar bersyukur.

- Saya tidak berusaha keluar awal dari rumah setiap pagi supaya dapat dengar tazkirah Ustaz Zahazan di Radio IKIM dari Isnin hingga Khamis.

- Asyik berbicara hal orang lain, walhal sudah sering diingatkan pada diri bahawa diam itu lebih baik dari berbicara perkara-perkara yang melalaikan.

- Rasa kurang sabar, kurang ikhlas, kurang tenang dan kurang bersyukur. Hati yang kurang tenang, alpa pada maksud ayat 28, Surah Ar-Raadu.

Lalu, paling terasa bila baca beberapa laman blog Islamik yang menerbitkan rasa insaf di hati. Ya Allah, saya terasa seperti jauh benar saya dari Dia. Saya rasa saya semakin jauh, dan semakin jauh.

Alhamdulillah. Dia tidak pernah melupakan saya. Walau saya berkali-kali terlupakan Dia.

Wajarkah, kita hanya ingatkan Dia semasa kita bersolat sahaja? Semasa kita sedih dan putus asa sahaja? Semasa kita dalam kesusahan sahaja? Semasa kita sedang sakit sahaja?

Bukankah, Dia paling penting dalam hidup kita dan perlu diingati setiap saat dalam kehidupan kita.

No comments: