24 November 2011

Lembu Pun Taknak Makan


"Nak beli kangkung?", tanya saya pada suami, sementelah saya tahu itu merupakan salah satu sayur kesukaan suami.

"Boleh juga...", jawab suami.

Lalu, saya diikuti suami yang menolak troli pasaraya, menghala ke arah bekas-bekas kangkung, bayam, sawi dan kailan, yang nampak dari jauh, sangat elok.

Apabila tiba sahaja di bekas kangkung, tangan saya lambat saja membelek daun-daun kangkung yang sudah kekuning-kuningan dan nampak tidak elok. Belum sempat saya memberitahu suami, seorang lelaki di sisi saya leka mengambil lebih kurang tujuh ikat kangkung tersebut sambil berkata kepada saya, menegur agaknya, "sayur dah macam ni, kalau bagi dekat lembu pun lembu taknak makan....".

Saya tergamam. Menoleh ke troli di sisinya yang sarat dengan pelbagai bahan dalam kuantiti yang banyak. Hampir muntah isi troli dengan bahan-bahan basah dari pasaraya tersebut. Malah, terdapat seorang wanita di sisinya yang menolak troli sarat muatan. Semuanya berisi barang-barang basah. Hati saya terdetik, berniagakah dia? Kalau tidak, masakan kangkung yang 'lembu pun tidak mahu makan' diambil olehnya dalam kuantiti yang sangat banyak.

"Kalau nak elok, kat pasar malam ada juga yang elok rasanya...", saya cuba berbasa-basi.

"Kat pasar malam mahal sikit. kat sini murah...", bersahaja dia menyambung, sambil mencapai beberapa ikat sawi pula.

Saya mendekati suami, sedikit berbisik, kangkungnya tak eloklah bang. Kalau nak beli, boleh tengok yang kat pasar malam kot...sambil saya menarik tangan suami menjauhi bekas sayur-sayuran tersebut.

*****

Sehingga kini, kisah awal November yang lalu, di sebuah pasaraya masih jelas di ingatan saya. Terfikir di benak saya, jika sayur sebegitu yang dimasak dan dijual kepada pembeli dengan harga RM 0.80 untuk beberapa sudu pun, keuntungannya masih banyak. Ini pula sayur yang sudah kekuningan, lantas dijual untuk dimakan oleh orang yang membeli, apakah kesannya kepada pembeli agaknya?

Saya jadi takut. Itu baru kangkung. Itu satu kisah yang jelas di depan mata saya. Bagaimana dengan ikan, ayam, udang, sotong, daging dan lain-lain bahan masakan lain pula. Yang tidak berlaku di depan mata saya.

Keinginan untuk masak sendiri makanan yang akan dimakan seharian semakin kuat. Saya tidak mahu makan makanan yang 'lembu pun tidak mahu makan'.

Semoga sentiasa dilindungi Allah di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

No comments: