13 May 2012

Tidak Boleh Marah. Kalau Marah, Anda Kena Jual?

Marah. Suatu ciri negatif yang menyukarkan sebahagian besar diri dan emosi kita. Marah juga, salah satu pintu masuk syaitan. Marah, perlu diatasi dengan S.A.B.A.R.

Pun, Jumaat yang baru berlalu, 11 Mei 2012, menyaksikan 'kemarahan saya' yang amat. Ya. Saya sangat marah. Walau 'anger management' atau pengurusan marah sering cuba untuk dipraktikkan dalam sebarang situasi, cuba melembutkan hati sedalam-dalamnya apabila rasa negatif itu cuba menguasai saya, tapi hati saya tetap tercalar dengan insiden yang berlaku. Amat-amat tercalar, sehingga saya 'mengisytiharkan perang' kepada insan tersebut kerana kejadian itu. Ya. Saya marah kepada seorang manusia, kerana perlakuan dan tindakannya. Bukan kerana rupa fizikal yang telah Allah jadikan dengan begitu indah. Semua kejadian Allah memang indah, kita manusia ini yang bersifat nafsu serakah dan menerima hasutan syaitan yang sering memburukkan kejadian Allah yang sangat indah.

Mengapa saya marah?

Anda semua pasti tahu bahawa hari Jumaat, semua yang bergelar lelaki beragama Islam diWAJIBkan mengerjakan solat Jumaat (WAJIB - jika dibuat dapat pahala, jika tidak dibuat akan berdosa). Jika ada yang diberi rukhsah (kemudahan) oleh Allah pun, hanya kerana ada sebab-sebab yang diwajarkan dan diberi kelonggaran.

Insan ini, beragama Islam. Berada dalam suatu majlis yang beliau kawal (maksudnya beliau ada 'power' untuk meneruskan/memberhentikan majlis). Di dalam majlis itu, selain dari penyampainya lelaki bukan Islam, yang lainnya - majoriti lelaki - adalah beragama Islam. Jadi, saya menanti-nanti majlis tersebut tamat. Memerhatikan jam berulangkali. Dari pukul 12 membawa ke 12.30 hinggalah ke pukul 1 tengahari di hari Jumaat, masih tidak ada tanda-tanda majlis akan tamat. Cuba juga berulangkali memastikan 'tiada masjid' di hadapan pintu masuk ke majlis/tempat tersebut (ini ayat sindiran...jika pintu masjid di hadapan pintu tempat tersebut, sudah tentu majlis 'keduniaan' itu sudah ditamatkan seawal 12 tengahari...kerana apa...kerana malu kepada manusia....sungguhlah...bilalah kita semua akan belajar 'rasa malu kepada Allah'? Tidak adakah sekelumit rasa pun untuk 'malu kepada Allah'?).

Akhirnya, majlis tamat. Pada pukul 1.15 tengahari. Tahu bukan, kalau ada masjid yang agak dekat pun di kawasan tersebut, ia adalah suatu 'waktu yang mustahil' untuk berada di masjid sebelum imam memulakan khutbah Jumaat? Tahu bukan waktu solat Zuhur masuk pada pukul berapa? Tahu bukan, pada masa bila 'malaikat pencatat' bertugas menulis nama-nama umat Islam yang masuk ke masjid di hari Jumaat sebelum imam naik untuk membacakan khutbah? Tahu bukan...perkara-perkara sunat di hari Jumaat sebelum bergerak ke masjid yang juga dapat memberi kesan kepada emosi? Tahu bukan...ia hari Jumaat. Bukan hari-hari biasa yang boleh membawa kepada solat Zuhur dilunaskan seawal 4 petang, atau terus terlepas langsung...terus diabaikan. Terus dilupakan. Tanpa rasa bersalah kepada Allah yang telah membenarkan anda semua hidup sehingga ke hari ini. Langsung tidak mahu mengikut suruhan Allah. Tidak mahu meninggalkan larangan Allah.

Jadi, kalau tahu...kenapa tidak bertindak 'menjadi seorang Islam yang baik'??? Sanggup 'membelakangkan Allah' hanya kerana hal dunia (majlis yang saya katakan di atas tidak ada kaitan langsung dengan majlis-majlis keagamaan).

Jika sikap buruk yang ditunjukkan kepada saya, hanya merujuk kepada saya, atau hanya merujuk kepada 'manusia' sahaja....saya masih boleh mengabaikannya. Walau bersikap buruk itu juga merupakan sikap yang tidak diredhai Allah. Tapi, jika 'membelakangkan Allah' hanya kerana hal-hal dunia....ia menjadikan hati saya tercalar...lukanya amat dalam! Saya akui saya menangis melihat perlakuan seperti yang baru saya alami pada Jumaat yang lepas.

Sejujurnya...hari ini...saya terjumpa ini...dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil...

Daripada 'Amr bin Syuaib, daripada ayahnya, daripada bapa saudaranya (Abdullah bin Amr bin al-'ash), dia berkata: Rasulullah sallallaahu 'alayhi wa sallam keluar untuk menemui para sahabatnya yang di saat itu sedang berselisih tentang persoalan qadar, maka Baginda marah sehingga seakan-akan sebuah delima keluar daripada wajah Baginda kerana kemarahannya. Lalu Baginda berkata: INIKAH YANG TELAH DIPERINTAHKAN KE ATAS KALIAN DAN UNTUK INIKAH KALIAN DICIPTAKAN? KALIAN TELAH MELEMPARKAN SEBAHAGIANNYA AL-QURAN DENGAN SEBAHAGIAN YANG LAIN. HAL SEPERTI INILAH YANG TELAH MENGHANCURKAN UMAT-UMAT SEBELUM KAMU"

Lalu Abdullah bin 'Amr berkata: Aku tidak memandang baik terhadap perbuatan diriku di suatu majlis di mana di situ Rasulullah sangat marah lantaran para sahabatnya membahaskan sesuatu yang sedikit pun tidak memberi manfaat kepada mereka.

Ya...untuk apa memandang dunia terlalu lama, memikirkan dunia sahaja....sehingga terlupa bahawa dunia ini adalah 'ladang' untuk akhirat kita. Jika baik 'benih' dan 'tanaman' kita di dunia ini, maka eloklah juga hasil tuaian yang akan kita bawa sebagai 'bekal' di akhirat nanti. Pun....jika di dunia ini 'benih yang kita tabur adalah benih yang buruk, terlebih benih yang tidak diredhai Allah'...jadi apakah 'bekalan' kita di akhirat nanti?

Sungguh malang.

Kejarlah redha Allah di dunia agar Allah akan meredhai kita di saat harta benda, anak-pinak, saudara-mara dan kawan-taulan tidak lagi dapat membantu kita. Itulah 'akhirat'. Hanya Allah yang dapat membantu, dan hanya rahmat dan kasih sayang Allah yang memberikan 'kebahagiaan hakiki' di akhirat nanti. Dunia ini hanya sementara, sangat seketika tempohnya.

Kejar-kejar dunia, untuk akhiratmu. Jangan mengejar dunia, hanya mengikut nafsumu.

Semoga ada redha Allah untuk entri saya kali ini. Semoga Allah sentiasa mengurniakan hidayah kepada kita semua, semoga Allah meredhai kita semua. InsyaAllah.

No comments: