12 October 2012

Muslimin di hari Jumaat

Seorang lelaki keluar dari tempat kerjanya pada pukul 1.15 tengahari di hari Jumaat, memasuki keretanya dan mula bergerak menuju ke masjid yang lebih kurang 4km dari tempat kerjanya. Azan Zuhur sudah berkumandang agak lama, lalu lelaki ini bergegas bagi memastikan beliau mampu untuk menikmati khutbah Jumaat yang akan disampaikan oleh imam bertugas nanti. Malah, bukan sengaja mahu pergi ke masjid lewat, hanya masa itu yang diperuntukkan oleh tempat dia bertugas.

Perjalanan agak lancar (kereta yang dinaiki berada di lorong kiri di jalan dua lorong) sehinggalah bertemu dengan sebuah lori kontena di hadapannya (di lorong kiri) yang agak perlahan. Beliau mahu masuk ke lorong kanan, bagaimanapun terdapat sebuah kereta Kancil pula yang juga dipandu dengan sangat perlahan (kelihatan seperti seorang wanita yang nampaknya tidak fokus pada pemanduan) yang tidak mengambil kisah situasi di sekitarnya, masih kekal di lorong kanan dengan perlahan walaupun tiada sebarang kenderaan di laluan dihadapannya lebih kurang sepanjang 1km.

Okey...kisah di hari Jumaat. Di tengahari hari Jumaat.

Jika anda wanita, apa yang anda rasa?
Jika anda lelaki, apa yang anda rasa?

Dulu, sebelum saya menjadi seorang isteri, setiap kali hari Jumaat tiba, tempat saya adalah di pejabat. Memanfaatkan masa rehat yang agak panjang untuk menghabiskan kerja yang agak bertimbun, rehat sebentar, dan untuk bersolat. Jarang keluar, kerana mahu memberi 'laluan luas' kepada para muslimin yang mahu mengerjakan solat Jumaat, makan sebelum solat Jumaat dan juga untuk mereka mendengar khutbah. Selebihnya, saya lebih suka dapat menunaikan solat Zuhur tanpa gangguan di pejabat. Sebabnya, pejabat sangaaaattt sunyi. Boleh muhasabah diri lagi. Alhamdulillah.

Bila sudah bergelar isteri pula, tempat saya di waktu solat Jumaat berlangsung, adalah di rumah. Menyiapkan bekalan suami, bersolat Zuhur, dan kemudian bergerak semula ke pejabat. Bergerak semula ke pejabat pun berlaku sekitar 2.15pm ke atas...jadi, solat Jumaat biasanya sudah usai, sudah tidak memberi gangguan kepada muslimin mahu bersolat Jumaat dengan tenang.

Ulasan saya :-

1. Solat Jumaat adalah satu ibadah wajib untuk semua muslimin. Rasa hormat kepada hari Jumaat, dan menghormati orang yang mahu menghadiri solat Jumaat, jua adalah satu kewajipan semua muslimat. Boleh untuk keluar dari pejabat pada masa yang sama dengan muslimin keluar, tetapi sila mengutamakan laluan kepada muslimin yang mahu menghadiri solat Jumaat, yang mahu mendengar khutbah Jumaat.

2. Ini pula bab pemanduan. Jika anda memandu dengan kadar yang saaaangaaaattt perlahan, tidak kiralah di hari Jumaat ataupun tidak, sila JANGAN memandu di laluan kanan. Sila masuk ke lorong kiri supaya anda tidak menyebabkan rasa amarah orang lain. Jika mahu menggunakan handphone atau bermake-up, sila berhentikan kenderaan anda. Ia sangat bahaya bukan saja kepada anda, tetapi juga kepada kenderaan-kenderaan berhampiran anda.

3. Jadilah muslimat yang sentiasa diredhai Allah. Memudahkan diri sendiri, keluarga, juga masyarakat di sekitarnya untuk perkara-perkara berkaitan Islam dan kehidupan yang diredhai Allah. Sila jangan mendabik dada untuk sesuatu yang tidak pernah dimiliki oleh diri anda. Sesungguhnya, diri kita ini pun hakmilik Allah, apalah agaknya yang kita miliki di dunia ini untuk dibanggakan?

Semoga ada redha Allah. InsyaAllah.

No comments: