19 November 2012

Bawa Bekal ke Pejabat

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Hari ini, pasti ramai yang tahu bahawa lebih kurang 200,000 ketul burger percuma akan diberikan oleh McDonald di Malaysia dari pukul 7 hingga ke pukul 10 pagi. Pasti ramai yang akan mengambil peluang untuk 'beratur' di semua restoran-restoran McDonald yang mempunyai 'breakfast service'. Siapa yang tidak mahu makanan percuma kan?

Walau saya tahu saya berkesempatan untuk pergi ke McDonald pun (kerana jarak rumah saya ke McDonald 24 jam, jika berjalan kaki hanya akan mengambil masa kurang lima belas minit, dan jika menaiki kenderaan, tidak sampai lima minit sudah tiba di McDonald)...untuk mendapat burger percuma, namun ia tidak saya lakukan.

Bangun sekitar 5 pagi tadi, saya mula masuk ke dapur dan mengeluarkan satu bekas berisi lima ekor ikan kerisi dari peti sejuk dan diletakkan di sinki. Kemudian, saya mula membersihkan 'bekas beras' saya yang sudah kosong. Setelah siap mengelap bekas beras, saya mula mengeluarkan beras dari plastik (beras ini baru dibeli semalam - Ahad - setelah lebih kurang selama lima hari hanya makan roti, kentang bakar (fries bakar), fish cocktail, spaghetti, fussili, misuah, sup dll (tapi bukan nasi...). Saya dan suami memang jarang makan nasi. Selalunya, jika kerap pun, mungkin tiga kali sahaja dalam seminggu. Selebihnya, western. Eh...western pula...tidaklah western sangat pun sebenarnya, tapi lebih kepada makanan 'rendah karbohidrat' yang akan dibakar atau dikukus sahaja. Yang paling penting, penyediaannya lebih ringkas, malah kos juga jauh lebih murah (sangat-sangat murah) berbanding dengan mencari selera western di restoran-restoran. Jadi, ketuhar dan pengukus (steamer) saya memang kerap digunakan. Malah, jika di hari tidak bekerja, nasi yang dimasak pun selalunya adalah nasi kukus.

Jadi, saya mula menganggarkan kuantiti beras untuk dimasak. Setelah menghidupkan periuk nasi, saya terus mandi. Mandi, siap berpakaian dan bersolat Subuh, barulah saya masuk ke dapur semula. Jam sudah menunjukkan pukul 6.10 pagi.

Ikan kerisi yang sudah mula 'mencair', saya gaulkan dengan kunyit dan garam (ini keinginan suami, mahu makan kerisi goreng yang disalut dengan kunyit yang agak banyak - kunyit boleh banyak, garam sedikit saja ya...). Saya biarkan seketika. Bekas beras yang hampir kering, saya lap sehingga kering, dan kemudian memasukkan beras yang baru dibeli semalam. Suami pula yang sudah usai mandi dan solat, mula masuk ke dapur, mengangkat bekas beras yang sudah penuh untuk diletakkan di tempat yang sepatutnya.

Kemudian, saya mula mencapai dua tangkai pucuk ubi di dalam peti sejuk. Membuang batang-batang yang keras. Membasuh pucuk ubi. Mencapai pula sebiji bawang merah (saiz kecil) dan mula menghiris halus bawang setelah dikopek dan dibasuh.

Meletakkan periuk kecil di atas dapur induksi (thats why saya kena masak nasi dulu...saya hanya menggunakan elektrik untuk memasak...di rumah saya tidak ada dapur gas), memasukkan secawan air 'filter' - kualiti air yang digunakan untuk memasak sangat penting kerana ia akan masuk ke dalam badan kita, mencampak bawang yang telah dihiris, memasukkan sedikit serbuk ikan bilis dan secubit garam. Setelah mendidih (dapur induksi sangat cepat...kurang dari seminit sudah mendidih), saya mula memasukkan pucuk ubi dan menuangkan sedikit santan (hanya dalam dua sudu besar) dan kemudian selebihnya adalah air - kurang kolesterol lebih baik kan - dan saya biarkan mendidih. Tidak sampai dua minit, pucuk ubi masak lemak saya sudah siap dimasak.

Saya mengangkat 'non-stick pan' pula, memasukkan minyak 'carotino' - minyak rendah lemak juga - memanaskan minyak seketika, dan kemudian memasukkan tiga ekor ikan kerisi ke dalam kuali untuk digoreng.

Sambil ikan dimasak, saya mula bersiap memakai tudung, stokin, mengambil satu bekas polisterina dan mula memasukkan nasi dan sayur pucuk ubi ke dalam bekas polisterina tersebut. Sambil-sambil itu juga, saya membalik-balikkan ikan, sementelah suami menyiapkan keperluan barang-barang dan bekalan air saya untuk ke pejabat.

Siap saja ikan digoreng, saya mengambil seekor untuk dimasukkan ke dalam bekas polisterina untuk bekalan saya. Selebihnya dimasukkan ke dalam pinggan beralas 'kitchen tissue', ditinggalkan untuk suami makan. Jam sudah menunjukkan pukul 6.55 pagi. Saya dan suami segera keluar dari rumah. Suami akan menghantar saya ke pejabat yang lebih kurang 20minit perjalanan menaiki kenderaan dari rumah saya. Saya tidak terlewat, punch-card saya pada pukul 7.25 pagi hari ini. (okey...ini musim cuti sekolah...jika di hari biasa, saya akan limitkan supaya saya dapat siap memasak paling lewat pun pada pukul 6.35 pagi...)

- sekadar hiasan -

Walau bekalan saya nampak mudah, hanya nasi putih, ikan kerisi goreng dan sayur pucuk ubi, namun ia menimbulkan rasa puas hati. Puas hati kerana 'di dalamnya ada doa kepada Allah', puas hati kerana ia dari air tangan saya sendiri, puas hati kerana saya tahu sumber-sumber di dalam makanan yang saya makan. Minyak yang saya gunakan, air yang saya gunakan.

InsyaAllah di masa akan datang saya akan berkongsi menu lain pula di awal pagi.

Semoga ada redha Allah untuk kita semua, insyaAllah.

Semoga Allah memudahkan urusan dan melindungi semua kaum muslimin dan muslimat yang sedang berjuang di Palestin, di dunia dan di akhirat, insyaAllah.

No comments: