22 November 2012

Makan Nasi Arab

Sungguhlah hari ini saya kelaparan. Rasa sangat lapar. Walhal awal pagi lagi sudah makan 'fish nugget' bersama kentang bakar yang diadun bersama garam, oregano, lada hitam dan lada putih. Kemudian, pada pukul 10.30 pagi, semasa berada di pertengahan kursus, saya sudah makan nasi lemak pula.

Peliknya, selalunya saya tidak rasa lapar seperti ini.

Mulanya, saya cuba tahankan. Namun, menjelang 3.45 petang, perut saya sudah tidak dapat ditahan tahap kelaparannya. Antara sunnah Rasulullah SAW, makanlah semasa kamu merasa lapar. Lalu, apabila suami menjemput saya pada 4.30 petang, saya terus mengajak suami mencari kedai makan (saya pergi juga makan di kedai-kedai di luar, walau tidak kerap). Walhal, suami sudah mengeluarkan satu bekas berisi udang saiz XL dari peti sejuk di rumah...konon-kononnya mahu makan bihun tomyam - tomyam udang - petang ini.

Sambil berfikir-fikir, akhirnya kami berdua mengambil keputusan makan nasi arab. Sudah terbayang-bayang rasa nasi arab (sebelum ini, beberapa bulan lepas, ada sebuah kedai makanan arab Al-Abraj yang sedap di bandar baru bangi tapi kini sudah ditutup - kami pergi beberapa kali juga ke sini) yang sedap yang sudah lama tidak dinikmati, tapi biasanya memang di sekitar bangi sajalah yang akan kami cari. Mudah. Tak banyak masalah parking. Jimat masa juga.

Lalu, saya dan suami mencuba sebuah kedai makanan arab yang tidak pernah kami pergi. Lokasinya sangat dekat. Pintunya bertutup dari luar - ada penghawa dingin. Masuk sahaja, saya tidak terasa aura yang boleh merangsang minda saya. Namun saya abaikan. Alangkah bagusnya jika saya mengikut instinct saya. Instinct yang baik itu pasti benarlah dari Allah.

Duduk saja di meja, saya sudah dapat merasa permukaan meja yang agak kesat dan sedikit berhabuk. Saya menyapu sedikit permukaan meja, suami pula memanggil waiter. Dari pertuturan waiter, pasti benar saya yang dia bukan orang Malaysia. Mungkin dari Indonesia. Hati sudah terdetik, tapi apabila melihat menu yang dipaparkan, saya abaikan lagi.

Menunya tidak banyak. Sedikit, jika dibanding dengan kebanyakan restoran-restoran Arab yang saya pernah pergi. Hanya sekeping kertas, di bahagian hadapan diletakkan senarai makanan, dan di ruang belakang diletakkan senarai minuman.

Saya memesan 'royal arabic' yang dipaparkan berharga RM14 di dalam menu, manakala suami memesan 'chicken kabsah' yang berharga RM13 di dalam menu tersebut serta satu jus lobak susu berharga RM3.50 (selalunya kami memang berkongsi air, sebab biasanya selepas makan, air yang saya minum tidak banyak sangat).


Jus lobak susu dihantar dahulu, saya terus membaca ayat ke-81 di dalam Surah Yunus (sila amalkan jika anda kerap makan di luar, atau makan makanan yang bukan anda yang memasaknya, sila baca sebelum makan) rasanya sedikit masam. Saya mencicip lagi - oh, bukan lobaknya yang lama dan mungkin buruk, tetapi lebih kepada susunya. Susunya agak masam. Suami melihat wajah saya, dan saya hanya meminta suami merasa sedikit. Wajah suami juga agak berubah.

Apabila 'royal arabic' dan 'chicken kabsah' tiba pula, saya terus merasa daging kambing yang terdapat dalam menu saya. Kering. Tidak berasa. Seperti bukan kambing (di rumah saya tidak pernah miss stok daging kambing samada untuk dibakar atau untuk dimasak beriyani atau nasi kabsah - jadi, ini tidak seperti rasa kambing). Nasinya juga kering. Ayam di dalam menu suami pula bukan seperti nasi kabsah yang saya selalu masak (eh...ya....nasi kabsah itu kerap juga saya memasaknya semasa saya agak sihat, tapi rasa ayam di dalam kabsah di kedai itu tidak ubah seperti rasa ayam kukus yang dituang sedikit santan bersama sedikit garam...walhal memasak kabsah tidak menggunakan santan langsung...)

Dalam diam, saya dan suami cuba menghabiskan makanan kami. Sungguh tidak enjoy, tapi kami hanya senyap sahaja, walau di dalam hati saya berdetik - this is our first and the last to eat at this place.

Usai makan, kami dimaklumkan jumlah semua makanan kami berharga RM34.50. Menu yang tadi menunjukkan 'royal arabic' berharga RM14 tidak ditunjukkan, sebaliknya satu menu lain yang menunjukkan 'royal arabic' berharga RM16 dipaparkan dihadapan kami, dan dimaklumkan pula set royal arabic berharga RM16 itu untuk ayam, manakala kerana saya meminta untuk set kambing, lalu harganya dikatakan berharga RM18.

Suami sudah mula mahu bersuara, tapi saya hanya menegah - bayar je la, kata saya (di dalam hati saya terdetik, suka benar mereka-mereka ini menipu di dalam perniagaan - sungguh benar menikmati rasa memakan duit haram) kerana, jika ia memang benar dan dipaparkan berharga RM18, memang saya tidak akan memesannya.

Keluar dari kedai tersebut, saya mengajak suami membeli nasi beriani kambing berharga RM10 di sebuah kedai yang agak berdekatan, Mattop Beriani (kalau berjalan kaki mungkin ambil masa 6-7 minit juga dari kedai makanan Arab yang tidak best itu). Nasi beriani kambing yang sudah saya nikmati sebanyak tiga kali itu juga yang memenuhi selera saya. Alhamdulillah.

Ini hanya satu kisah yang saya alami sendiri. Entri yang tersimpan di dalam folder saya yang baru siap ditaip pada hari ini. Semoga menjadi panduan untuk rakan-rakan yang membaca.

Semoga ada redha Allah, di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

No comments: