01 June 2013

Pesta Makan Satu Hari

Balik saja dari kampung, sementelah suami bercuti, saya terus mengajak suami melakukan sesuatu yang tidak pernah kami buat. Ya, menghabiskan lebih kurang RM 150 dalam masa sehari hanya untuk makan...ya, hanya untuk makan berdua saja pun. Makan di luar. Kalau ke pasaraya membeli bahan mentah, lebih banyak yang boleh dibeli. Tapi, hari ini hari istimewa. Hari cuti yang gembira. Hehe.

Breakfast, kami makan roti berdua saja di rumah. Roti blueberry panjang yang sedap, lembut bersama inti krim dan jem blueberry yang tidak terlalu manis. Harganya cuma RM 2.70.

Lunch, selepas menguruskan urusan di bank dan di pejabat peguam, setelah puas merayau mencari restoran yang ada menjual steak, kami berdua tersangkut di sebuah restoran Jepun di Bandar Baru Bangi, iaitu restoran Miyagi. Saya makan set teppanyaki salmon sementara suami makan set oyster, nasi dan cawanmushi. Biasanya jika ke restoran Jepun, saya hanya akan minta air teh panas saja. Salmon, seperti biasa memang sangat sedap, tapi saya benar-benar memuji rasa chawanmushi (seperti telur kukus..sebenarnya memang telur yang dikukus pun) yang sangat berbeza dengan rasa di beberapa restoran Jepun yang saya pernah pergi. Namun, jika anda sukakan rasa serbuk perasa yang lebih, saya rasa anda akan merasakan chawanmushi di sini agak tawar. Jumlah harga untuk kami berdua makan lebih kurang RM70, termasuk tax. Ada kepuasan apabila makan di sini.

Apabila malam menjelang pula, usai menghantar barang ke rumah adik sekitar pukul 8 malam, kami berdua singgah di restoran Sup Urat Keting, juga di Bandar Baru Bangi. Saya makan kueyteow sup yang berharga RM 6.50 (oh....saya sangat teruja dan agak terkejut dengan harga ini sebenarnya....menu dan tanda harga memang tidak ada...jadi kami hanya membayar selepas makan, semangkuk sup kecil - saiz mangkuk tidak sama dengan saiz mangkuk mee kari yang saya pernah makan di kedai Homst - yang hanya berisi sedikit kueyteow, tauge, beberapa ketul daging dan perut lembu..okey...sangat sedikit...dan rasa yang tidak pun terlalu menggiurkan...tapi, sebab dah makan, so...bila dah nak balik tu...bayar sajalah kan...nanti pekedai menyangka seperti orang tidak ada duit pula - as usual, ini kali terakhir la ke restoran ini), suami pula makan sepinggan kueyteow goreng yang juga tidak banyak bahan-bahan sampingan dan berharga RM 4.50. Sebagai hidangan sampingan, kami juga memesan sate ayam dan sate kambing, masing-masing 5 cucuk. Jumlah harga kesemuanya dalam anggaran RM20.

Jadi, kerana kekecewaan itu, selepas itu saya dan suami singgah pula di @grills, juga di Bandar Baru Bangi. Kali ini, saya memesan set rib-eye steak manakala suami pula memesan set 'lamb shoulder'. Tempoh menunggu seperti biasa agak lama, namun kerana suasana agak tenang, saya dan suami agak selesa menanti. Rasa makanan agak biasa, pada hemat saya, perapannya mungkin tidak lama, dan tidak menyeluruh. Bahan yang digunakan untuk membuat perapan juga mungkin tidak banyak. Suami pula memberitahu, rasa 'lamb shoulder' yang saya masak jauh lebih sedap....aduhai...inilah akibatnya bila saya kerap memasak 'kambing bakar' kesukaan suami di rumah sendiri. Tidak pernah ada 'lamb shoulder' yang sedap di luar, walhal harga set yang suami makan sudah mencecah RM20, yang mana dengan RM20, jika membeli 'lamb shoulder' mentah, saya sudah boleh mendapat lebih kurang 8 keping daging kambing tersebut. Jumlah keseluruhan makan di @grills menghampiri RM 60, termasuk tax.

Okey. Perut sudah sangat penuh. Mana ada redha Allah. Sungguhlah.
Lain kali, sila makan semasa lapar dan berhenti sebelum kenyang ya. Baru ada redha Allah. InsyaAllah.

No comments: