20 September 2017

Apabila Sudah Lama Tidak Merayau

Sepanjang sakit yang teruk, saya lebih banyak diam di rumah. Samada semasa mendapat cuti sakit, atau sepanjang bekerja dalam keadaan berkerusi roda. Pun, apabila semakin sembuh, hobi berkelana ke pelbagai lokasi tetap tidak boleh dilupakan.

Lalu, misi dimulakan dengan memperbaharui pasport saya. Sudah lebih 5 tahun sakit, maka selama 5 tahun jugalah pasport saya kekal berkubur tidak digunakan. Bezanya, kali ini saya akan bekelana bersama suami. Alhamdulillah, urusan pasport sangat dimudahkan Allah. Tempoh satu jam dari tiba di pejabat imigresen hinggalah menerima pasport di tangan merupakan satu tempoh yang sangat singkat. Sementelah, sudah lama saya tidak ke pejabat imigresen.

Setelah memiliki pasport, seolah-olah satu kaki sudah masuk ke dalam kapal terbang. Tanpa bertangguh, saya mula mencari-cari lokasi yang hendak ditakluk. Haha. Masih tidak ada idea, dan untuk makluman, saya bukanlah suka melancong dengan menggunakan pakej dari agensi pelancongan. Semua saya redah sendiri, samada mahu mencari tempat menginap, tiket kapal tebang, visa, transportation, makan dan minum ataupun tempat-tempat yang mahu dilawat. Paling utama, saya mahukan lawatan yang selesa dan santai serta tidak terkejar-kejar, dapat memerhati keadaan persekitaran di luar negara dari kacamata seorang pengembara, dan tidak terhad kepada tempat-tempat menarik bagi kaki pelancong sahaja.

Setelah puas membelek internet, maka saya pun membeli tiket penerbangan 4 hari selepas saya memperbaharui pasport. Hotel juga dapat diselesaikan pada malam yang sama saya membeli tiket penerbangan. Malah, pada keesokan harinya, saya menyelesaikan pula urusan imigresen ke negara yang ingin saya lawati bersama suami. Urusan dokumen-dokumen seperti itu mampu diselesaikan dalam tempoh 24 jam sahaja, dengan bantuan internet. Cuma, paling penting kena pastikan laman web yang kita gunakan adalah laman web yang sahih, kerana dalam semua urusan akan melibatkan transaksi secara online. Jadi, saya namakan kaedah saya ini, redah berhemah. Redah-redah juga, tapi pastikan semuanya tepat.

Tipsnya, perlu rajin dan pantas membuat pelbagai pembacaan dari pelbagai sumber, serta memastikan semua perkara telah diambilkira dengan baik. Samada sebelum membeli tiket kapal terbang dan hotel, sebelum terbang, semasa terbang, setelah tiba di lokasi, semasa hendak terbang pulang, dan semasa tiba semula di Malaysia. Semua perlu direkodkan dengan sempurna. Seumpama sebuah senarai semak, bagaimanapun untuk mengelak mengambil masa dalam hidup yang banyak, ianya perlu dilakukan dengan pantas. Barulah kita dapat mengembara dengan selesa, dan halal haram jua turut dijaga. InsyaAllah.

No comments: