30 September 2017

Kembara Pun Bermula

Walau hati terasa berdebar-debar kerana serasa sudah lama benar tidak meninggalkan Malaysia dan menjejakkan kaki ke luar negara, pun memikirkan semuanya sudah disiapkan, malah sudah dibayar, lalu apa lagi yang perlu ditunggu? Maka perjalanan kembara pun bermula pada 12 Julai 2017.

Mudah benar di zaman ini apabila tidak perlu menunggu teksi untuk ke mana-mana, atau perlu meminta sesiapa menghantar ke lapangan terbang. Jika dulu, abang saya akan menjadi mangsa yang paling kerap untuk saya pergi ke lapangan terbang. Kini, dengan hanya mengaplikasikan uber atau grab car, ia sudah tersedia di hadapan kita dalam tempoh kurang dari 10 minit untuk kita bertolak ke mana-mana lokasi. Sejujurnya, saya sangat sukakan perkhidmatan ini selagi ia masih dilaksanakan dan bayarannya juga tidaklah mahal.

Tiba saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, saya dan suami terus menuju ke Balai Berlepas Antarabangsa. Urusan sangat mudah, kerana untuk kali ini, saya dan suami menggunakan Business Class. Dari urusan check-in sehinggalah ke urusan imigresen, ia dapat dilaksanakan dalam tempoh yang sangat singkat kerana penumpang Business Class mempunyai laluan khas untuk hal-hal tersebut. Usai segala urusan pelepasan, saya dan suami menuju ke Malaysia Airlines International Lounge pula di Satellite Building. Maka, melepaklah saya dan suami menunggu waktu penerbangan sambil makan dan minum dengan selesa. Dalam tempoh sama, kami berdua juga menunaikan solat Asar sebelum berlepas dan surau juga turut disediakan di dalam lounge tersebut.

Alhamdulillah. Semoga Allah memudahkan dan melindungi urusan kembara ini.

No comments: