24 September 2006

Leraian Rindu di Awal Ramadhan

Assalamu'alaikum warahmatullah,

kita berpisah keranaNya
dan ditemukan jua keranaNya
andai ada derita, itu namanya nikmat
andai ada bahagia, itu jua namanya nikmat
nikmat itu ujian, jua peperiksaan
di dalamnya ada hikmah
untuk yang berfikir
pertemuan baru nanti kita pinta
dari Yang Maha Kuasa
dari Yang Maha Kaya
dari Yang Maha Bijaksana
fikirkan diri
hanyalah hamba, menumpang di sini
insyaAllah ada rezeki dan redha
bersua semula diselubungi rahmat
bersama restu dan kasih
darinya Yang Maha Esa.

Lelah. Lebih kurang pukul 11.00 malam, dan saya baru sahaja meletakkan kereta di dalam kawasan pagar rumah. Buru-buru menuju ke komputer untuk menitip salam Ramadhan kepada semua. Hari pertama puasa, meriahnya terasa hanya di hati, kerana laluan saya masih sama. Laluan hujung minggu yang tiada beza. Bezanya, mungkin kerana puasa, kerana berbuka, dan kerana solat malam selepas Isya', jua rasa sayu di hati - Ramadhan, ada umurku bertemumu tahun ini. Ada rezekikah untukku bertemumu pada tahun hadapan?

Pagi tadi. Seawal 7.00 pagi saya sudah keluar. Dalam hujan renyai-renyai. Seperti biasa. Menuju ke kelas pertama. Kemudian ke kelas kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam. Aduh, enam kelas. Termasuk di sebuah surau di Cheras, waktu malamnya. Di mana saya sempat singgah, di situlah solat saya. Kebiasaannya, di hari berlainan, tempatnya jua pasti berbeza. Itu hobi saya sepanjang Ramadhan sejak beberapa tahun lepas ini, mencari pelbagai lokasi surau atau masjid untuk dikunjungi.

Lama saya tidak menitip salam di sini. Pastinya kerana kesibukan, dan kesibukan, dan kesibukan. Sewajarnya, masa itu tidak menjadi masalah seandainya dirancang dengan sempurna. Apapun, saya akur, entah bila lagi saya akan menitip salam di sini. Hanya kerana kesibukan. Itu hanya ujian. Carilah tabah, semat di hati.

15 September 2006 - hari terakhir saya di sana. Tiada indah. Tidak ada kenangan. Pengalaman itu lebih saya kenangkan, yang mengajar saya tentang makna hidup dan makna iman. Mengajar tentang sabar, air mata dan kecewa. Mengajar tentang mencari benar, dan mentaliti minoriti berbanding majoriti. Tentang kualiti dan kuantiti. Amat banyak, mengajar saya, mencari hikmah. Mencari ujian. Mencari markah hidup. Untuk bertemuNya.

18 September 2006 - hari pertama saya di sana. Asing rasa di hati, saya abaikan. Beberapa yang mengenali saya, alhamdulillah. Ini buku baru, walau ada beberapa yang lama. Saya jua perlu membuka kalam yang baru. Tutuplah kalam yang lama. Walau tidak dibuang jauh kalam yang lama, ada yang saya simpan dekat di dasar hati, ada yang saya simpan di luar hati, dan ada jua yang saya simpan jauh di dasar hati. Itu kenangan, dan saya rungkaikan menjadi pengalaman. Mencari hikmah di sebalik sebuah peperiksaan bernama ujian dariNya. Mencari benar yang baru, di sana.

24 September 2006 - 1 Ramadhan. Indah yang saya kenangkan. Hikmah yang saya nantikan. InsyaAllah. Semuanya berhikmah, kerana Dia Maha Berkuasa, dan Dia Maha Kaya, lagi Dia Maha Mengetahui.

Ya Allah Yang Maha Kuasa,

Jadikan Ramadhan kami, tahun ini, tahun sebelumnya dan tahun selepasnya, Engkau rahmati dan Engkau redhai. Jadikan jua Ramadhan ini, pemula yang makruf dan penegah yang mungkar. Kami di sini, sudah terlalu jauh dariMu, dari mengingatiMu, dari taat padaMu. Kami semakin lalai, semakin alpa menghirup rencah di sini yang tiada indah di hujungnya nanti.

Jadikan kami, yang taat pada perintahMu, dan yang patuh pada laranganMu. Hukumlah kami, insafkan kami di sini, dan matikan kami bersama iman padaMu di dalam hati. Jadikan hati-hati kami bercahaya dengan namaMu, lidah-lidah kami basah menyebut namaMu, dan ingatan kami hanya dirafak untuk mengingatiMu.

Ya Allah Yang Maha Kuasa,

Hanya padaMu, kami yang lemah ini berharap. Semoga silap kami di dalam ampunanMu. Jadikan kami lebih sabar, dan lebih tabah, dengan ikhlas dan iman, dan lebih dipermudahkan, mencari redhaMu.

Amin.


No comments: