19 October 2008

Hari Raya dan Rumah Terbuka

Assalamualaikum warahmatullah...

Sambutan Aidilfitri tahun ini, saya meneruskan tugas saya seperti biasa. Kata kawan-kawan, saya cuti terlalu lama. Jiran-jiran juga menegur kerana tidak nampak saya di kawasan rumah - kereta juga tidak ada di tempat parking - saya berehat di kampung sepenuhnya pada cuti kali ini. Hakikatnya cuti saya sama saja seperti tahun-tahun sebelum ini. Bilangan harinya tidak berbeza, cuma saya melangkaui cuti sekolah seminggu seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Jadi, kelihatan seperti saya bercuti terlalu lama. Di saat semua orang telah mula bekerja, saya masih bersantai dengan cuti rehat yang agak panjang.

Pun, balik ke Kuala Lumpur mula menemukan saya dengan rutin harian yang agak sibuk di pejabat. Alhamdulillah, rutin tugas pengajaran saya agak berkurang apabila 4 orang pelajar UPSR dan PMR telah saya lunaskan. Sementara menanti tahun hadapan, saya dapat berehat sedikit dalam tempoh dua bulan ini - hanya ada beberapa pelajar yang masih meraih khidmat saya. Saya tahu, tahun hadapan, beberapa pelajar SPM pula memerlukan khidmat saya dan sudah pasti saya akan mula sibuk seperti biasa.

Saya masih tidak berkunjung ke mana-mana rumah terbuka. Paling pasti, saya lebih gemar dengan cara saya sendiri. Datang untuk berziarah, walau tidak diundang - saya akan menelefon memaklumkan kedatangan saya apabila saya sudah ada berhampiran dengan rumah yang mahu saya kunjungi. Walau sekadar secawan air oren sejuk dan beberapa balang kuih raya yang sudah semakin berkurang, itu sudah memadai. Ziarah saya akan diisi dengan program perbualan, bukan program makan-makan. Saling bertanya khabar kerana sudah lama tidak bersua.

Pun, Syawal tahun ini, kemeriahannya seperti biasa. Dengan cara yang paling sederhana, saya menyambutnya di dalam kesyukuran dan doa - semoga Ramadhan saya akan menjadi lebih indah dari tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah. Pun, kehadiran Ramadhan itu akan saya nanti dengan lebih sabar.

Semoga Allah meredhai kita semua, insyaAllah.

No comments: