31 October 2008

Kenangan 'Kopi' di Selat Inggeris

Saya membelek PDA di tangan saya. Selepas keluar dari perut bas, saya mengekori dua orang rakan yang berjalan di hadapan saya - seorang kakak dan seorang sahabat berbangsa Mesir yang menemani perjalanan kami berdua ke kota Paris.

Angin bertiup kuat diselangi hujan yang turun semakin lebat. Saiz feri yang agak besar menjadikan suasana berada di dalam keadaan tenang walaupun terasa gegaran lembut olengan feri. Kami bertiga mula menuju ke bahagian dalam feri. Aroma kopi mula mengisi ruang. Kelihatan beberapa keluarga berbangsa Inggeris memerhati pergerakan kami. Saya tahu, di dalam ruang yang luas itu, kepala saya yang dilitupi tudung mudah benar menarik perhatian.

Perlahan, saya menarik beg sandang di bahu. PDA segera saya keluarkan semula. Saya tidak menghiraukan pandangan yang diterima. Kakak, dan sahabat Mesir itu sudah mula menuju ke kaunter menjual minuman dan makanan ringan. Tanpa saya sedar, secawan kopi disogokkan di hadapan saya. Sahabat dari Mesir itu sudah tersenyum, sambil duduk.



"Your drink....".

Saya terkesima. Kopi, sukar benar menjadi pilihan saya. Bukan tidak boleh diminum, tetapi kuantitinya sangat banyak. Saya lebih suka milo, atau teh. Malah, minuman bergas juga tidak saya minati. Paling-paling, saya akan minum 100 plus, sprite atau 7up sahaja. Tetapi, yang sering saya lakukan, minum air kosong sahaja.

"Actually I don't drink coffee. I like to drink sprite or 100 plus."

Sahabat dari Mesir itu segera bangun dan menuju ke kaunter semula. Saya cuba menegah, tetapi tidak berjaya. Sejurus, dia kembali semula ke meja bersama sebotol Sprite. Saya terkesima. Saya terdiam, membelek PDA saya dan kemudian saya segera menghirup perlahan kopi panas yang sangat banyak itu. Lebih kurang setengah jam, saya berjaya menghabiskan kopi tersebut walaupun saya tidak menggemarinya.

Sewaktu hendak keluar dari feri apabila sudah hampir tiba di Dover, botol Sprite tersebut segera saya capai. Saya tahu, di masa lain saya perlu lebih berhati-hati. Botol Sprite tersebut banyak mengingatkan saya.






Sewaktu mengemas barang-barang untuk dibawa pulang ke Malaysia, botol Sprite tersebut saya selitkan di celahan beberapa buah buku saya.

No comments: