27 January 2009

Deru Angin 1430H

Benar-benar saya menjadi sangat sibuk!

Baru bulan pertama di tahun 2009, dunia saya hampir berputar 720 darjah. Di pejabat malah, saya sudah tidak sempat membelek suratkhabar. Hanya kerja, mesyuarat, perbincangan dan mengejar dateline yang tak pernah habis. Usai masa di pejabat, tidak pernah lagi saya boleh bertangguh dan hanya mampu memandu terus menuju ke rumah pelajar-pelajar saya. 11 malam pula, apabila tiba di perkarangan rumah, sekiranya saya terserempak dengan 'kawan-kawan' yang masih bermesyuarat, saya perlu duduk sama untuk mengambil kisah tentang hal-hal rumah dan kejiranan pula. Usai mesyuarat seawal 12 malam, barulah dapat saya membaringkan diri. Esoknya, rutin yang sama berulang semula untuk diri saya.

Dunia saya kini, ibarat dunia seorang robot!

Namun, saya merasa sangat bersyukur. Di dalam menjadi robot, saya tahu ini laluan saya yang telah ditentukan oleh Allah. Di dalam kesibukan ini, terkadang Allah masih memberi ruang-ruang senggang kepada saya untuk menelusuri kehidupan ini dengan cara yang lebih diredhai.

Saya masih dibenarkan bernafas dengan sempurna, dan masih sempat melayan diri menahan sakit kepala yang kadang-kadang hadir apabila kepala sudah tepu dengan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan.

Saya juga masih ada naluri kemanusiaan walaupun hanya mampu berfikir dan berdoa sahaja. Usah ditanya kadar kebencian kepada mereka yang tidak berperi kemanusiaan, saya tidak tahu bagaimana saya mahu menetapkan kadarnya - saya hanya mampu menahan kesedihan, dan berdoa supaya orang-orang yang teraniaya dan tidak berdosa akan sentiasa berada dalam perlindungan Allah.

Saya masih sempat membeli dan membaca sebuah dua buku atau majalah yang saya beli sebagai pelengkap maklumat dalam kehidupan walaupun terpaksa tidur lewat sedikit hingga 2 atau 3 pagi untuk menghabiskan sesi membaca.


Salah sebuah novel yang saya sempat baca dan penghayatan mungkin 40% saja yang masuk dari isi novel ini. Pun, kadar pemikiran saya untuk novel ini naik sehingga 85%. Tahniah kepada penulis novel ini...

Saya masih sempat makan, minum, malah memasak juga. Malah, masih sempat membelek pokok-pokok saya 'yang berjaya diselamatkan'. Hmm, saya terlupakan pokok-pokok tersebut sehinggakan 'mereka semua' kekeringan. Kasihan! Cuaca mungkin terlalu panas hinggakan kuantiti air yang biasanya mencukupi menjadi tidak cukup pula. Saya sendiri boleh menjadi 'kering' di dalam cuaca panas begitu, apatah lagi pokok-pokok tersebut.

Ya, saya juga masih sempat menghubungi emak saya setiap hari, masih sempat bersolat, masih sempat membelek-belek diri.

Jadi, sibukkah saya? Itu yang saya selalu fikirkan sebenarnya. Dalam sibuk dan tidak ada ruang senggang itu, Allah masih benarkan saya lakukan banyak perkara lain yang berada dalam redhaNya. Hal terlalu penat dan terasa mahu bermalas-malas itu saja yang tidak boleh saya lakukan, yang pastinya mengundang kemalasan dan membazirkan masa 24 jam yang Allah berikan dalam sehari.

Inilah yang saya fikirkan. Saya tahu, walau nampak jadual saya agak padat dengan masa yang tidak ada ruang senggang, di situlah kasih sayang Allah untuk saya. Malah, saya rasa tidak ada masalah sekiranya saya menambah satu atau dua aktiviti lagi bagi merancakkan 24 jam kehidupan saya.

Sering berfikir itu, bukankah Allah amat meredhainya? Tanpa sedar, saya sendiri menjadi seronok dengan kesibukan ini. Banyak himahnya, banyak redhaNya.

Alhamdulillah.

No comments: