30 January 2009

Pesona Udara Utara

Saya menjejakkan kaki di KLIA pada 1620 dan turun dari pesawat MH1209 yang berlepas dari Alor Star pada 1520. Udara sejuk di KLIA dan tompokan lopak air di jalanan membuatkan saya tahu bahawa hujan lebat di daerah Lembah Kelang : mungkin. Di utara sangat panas, pun udaranya sangat segar.

Saya tiba di rumah kakak ipar saya seawal 5 petang. Perancangan awal membuatkan perjalanan saya selalunya agak lancar. Alhamdulillah. Walau berkali-kali saya diajak supaya mengambil flight pukul 9.45 malam ini supaya boleh pergi ke Padang Besar, saya akur bahawa kesihatan tidak mengizinkan saya. Sudah tiga hari saya demam, pun saya masih 'nakal' dan menggagahkan diri untuk 'outstation'.

Semalam saya bertolak ke Perlis. Menaiki penerbangan 0745 dengan pesawat MH1202. Tiba sahaja, terus menjamu nasi lemak 4 kupang di Sanglang dan kemudian terus masuk ke bilik mesyuarat untuk meneruskan tugas. Seharian bermesyuarat yang kemudiannya membawa saya dan dua orang rakan sekerja ke Padang Besar pada sebelah petangnya selepas waktu pejabat.

Padang Besar masih tidak berubah. Sama seperti enam tahun lepas.

Sayangnya, saya terlupakan bateri kamera yang sudah lemah dan charger yang tertinggal di pejabat. Jadi, memori itu cuma dikemaskan di dalam ingatan saya sahaja. Loghat Thailand mengisi suasana dengan pelbagai barangan yang dijual yang pastinya akan menarik minat pembeli-pembeli di Malaysia. Seawal 6 petang, kedai-kedai mula ditutup dan kami juga bertolak ke hotel. Masih belum check-in! Ini juga pengalaman pertama hampir seluruh negeri Perlis dapat dijejaki - Ladang Tebu di Chuping, Padang Besar, Arau, Kangar dan Kuala Perlis.

Usai check-in di Hotel Putra Brasmana di Kuala Perlis pada pukul 8 malam (sebetulnya ini kali pertama saya bermalam di negeri Perlis - sebelum ini hanya menjadi tempat singgah sebelum ke Langkawi sahaja), kami keluar semula untuk makan malam.

Angin laut itu hanya jadi santapan sesekali saja. Saya tidur malam tanpa air-cond (sebetulnya air-cond rosak di dalam bilik saya - dan amat saya syukuri - saya ini, kalau air-cond terpasang pun, tentu saja suhunya 30 darjah Celcius - saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh bertahan di Kota London selama 16 hari dengan suhu 12 darjah Celcius sebelum ini -tambahan pula demam saya masih belum kebah) - dan saya cuma dapat tidur seawal 1.30 pagi di hotel tersebut.

Awal pagi tadi saya bangun dan menghirup udara Selat Melaka yang mendamaikan. Terus berpakaian dan bersarapan. Menyambung mesyuarat pada 8.30 pagi dan hanya tamat pada 12.30 tengahari. Usai mesyuarat, terus saya bertolak ke Lapangan Terbang Alor Star - lapangan terbang sepi - dan hanya duduk-duduk menanti untuk check-in sambil menghubungi dan berbual-bual dengan ibu saya di kampung.

Perjalanan saya kali ini hanya dengan sebuah beg sandang kecil dan sehelai kot hitam sahaja. Saya tidak akan menambah beban beg sandang saya dengan membeli pelbagai barangan di Padang Besar.

Pun, indahnya menghirup udara utara. Saya selalu gemarkan udara utara yang menyelimuti sawah-sawah padi yang menghijau, keramahan penduduk utara dan keindahan alam sekitarnya yang mendamaikan.

Bila lagi saya akan dapat merasakannya...

No comments: