29 July 2012

Pagi Ahad Yang Indah

Assalamualaikum warahmatullah...

Wah...sudah masuk hari ke-9 di Ramadhan tahun ini. Sungguh benarlah, cepat benar Ramadhan tahun ini berlalu. Sedar tak sedar, sudah sepertiga Ramadhan ini dilalui. Hanya tinggal dua pertiga lagi, dan di takuk manakah amal kita agaknya? Sudah naik beberapa tingkat atau sudah merudum jatuh ke beberapa tingkat yang di bawah? Sama-samalah kita renungkan. Ramadhan ini sangaaaaaaaattt singkat.

Pagi ini, pagi yang indah. Sungguh indah.

Bangun tidak terlalu awal, sekitar pukul 5 pagi hari ini, mandi, solat dan kemudian dalam 5.28 pagi barulah mula makan sahur. Tak perlu masak apa-apa, hanya memanaskan nasi dan gulai kawah yang siap dimasak pukul 10 malam sebelumnya, digandingkan pula dengan sayur bayam rebus yang juga salah satu lauk berbuka puasa semalam. Mudah, biasanya cuma ada dua lauk atau kadang-kadang jika di dalam menu ada makanan-makanan berasaskan haiwan-haiwan air (sotong, udang, ikan), maka bolehlah menggoreng ikan masin sebagai pelengkap rasa. Tapi, jika menu berasaskan daging atau ayam, memang ikan masin itu tidak akan digoreng langsung.

Sudah jadi habit. Tidak pernah mencampurkan makanan dari air dan makanan dari darat untuk dimasukkan ke dalam perut pada masa yang sama.

Ini gambar ihsan google.
Saya memang malas mahu ambil gambar dan upload ke dalam laptop.
Tapi, lebih kurang serupa inilah warna gulai kawah saya...haha...

Jadi, gulai kawah itu, bahan asasnya daging lembu tempatan (yang sungguhlah liat semasa hendak memotongnya - sebab tu siap pada pukul 10 malam kerana menunggu suami balik dari kerja untuk mengerjakan daging liat itu sebelum dimasukkan ke dalam periuk tekanan - dulu-dulu, sangat risau jika terbeli daging liat yang memerlukan masa hampir 3 jam untuk merebus dan melembutkan daging, tetapi sejak ada periuk tekanan (pressure cooker), saya cuma memerlukan kurang setengah jam untuk memasak gulai kawah atau kari daging...) dan hasilnya memang sungguh superb!!! Urat-urat putih yang biasanya liat itu boleh dimakan seperti biasa, sangat empuk dan memang menyelerakan (ini kata suami saya la...dia memang alergik sungguh dengan daging lembu yang liat-liat selepas dimasak).

Walau sudah masuk hari ke-9 di Ramadhan tahun ini, sama juga seperti tahun lepas, saya dan suami memang tidak berkunjung ke bazaar Ramadhan. Kami berdua lebih selesa menikmati menu ala kadar (oh....ala kadarkah?) yang dimasak sendiri di rumah.

Masakan panas-panas yang baru dimasak (haha...yang biasanya dimasak selepas suami tiba di rumah pun selepas balik dari kerja...) memang kegemaran suami. Ditambah dimasak di dapur sendiri, memang suami dan saya kurang sungguh makan di luar. Jika mahu kurang gula, kurang garam, memang di dapur sendirilah di mana kita boleh menentukan kuantiti sesuatu bahan yang mahu kita letakkan di dalam makanan.

Semoga ada redha Allah di Ramadhan ini. Untuk saya. Untuk suami. Untuk anda semua. InsyaAllah.

Marilah kita bersama-sama meningkatkan kadar pelaksanaan ibadat kita di bulan yang mulia ini.

Wassalam.

No comments: