04 January 2013

Hidup Tanpa Hutang

Assalamualaikum warahmatullah...

Lama sungguh tidak mengemaskini blog. Sungguh memang malas. Malas mahu menaip. Bolehkah? Tapi, itulah yang saya buat. Bukan saja cuti panjang, tapi lebih kepada cuti sakit panjang kerana demam panas yang tiba-tiba menyerang. Hampir dimasukkan ke hospital juga. Habis cuti sakit kerana demam panas, badan memang rasa lemah. Dua tiga hari selepasnya pula, badan meragam lagi. Diarrhea pula, kemudian masalah penghadaman pula. Menuntut sabar dan redha yang sangat tidak berbelah bagi.

Ambil masa berhari-hari dalam diarrhea, lalu selebihnya, saya lebih banyak berehat. Badan jadi sangat-sangat letih. Tambahan, batuk yang menyerang (satu set datang bersama demam panas) masih belum hilang sehingga ke hari ini.

Tahu-tahu, eh....dah masuk ke tahun 2013. Begitulah kisahnya. Disember 2012 berlalu begitu saja dengan sangat cepat.

Awal 2013. Saya mula menghitung kewangan saya. Tidak banyak 'tanggungan' atau 'tunggakan', tetapi banyak pembayaran yang perlu dibuat, 'deadline' yang perlu dipatuhi. Okey, saya memang tak suka kena penalti oleh bank atau oleh apa-apa pun. Tapi, hutang adalah hutang. Hutang wajib dibayar tepat pada masanya. Untuk mengelakkan penalti. Untuk mendapatkan redha Allah.

Apakah maksud 'tepat pada masanya'?

Contoh, jika pinjaman kereta anda perlu dilunaskan pada 2hb setiap bulan, jadi...jika anda membuat pembayaran pada 3hb, biasanya bank sudah mengenakan 'denda' kepada anda. Bagaimana nak tahu berapa jumlah denda yang akan dikenakan? Sila baca 'perjanjian anda dan bank' secara terperinci dan anda akan bertemu dengan nilai denda tersebut. Jika ada denda, maksudnya kena bayar nilai pinjaman untuk bulan tersebut beserta denda. Kalau tersangkut setiap bulan untuk membuat pembayaran, maka anda akan dikenakan denda juga setiap bulan. Apabila dihitung dan dikira, lebih baik membeli kereta lain yang lebih mahal (tapi bayar on-time) daripada membayar nilai pinjaman dan denda yang sangat banyak (untuk kereta yang agak murah) hanya kerana sikap culas yang susah mahu menyelesaikan bayaran/hutang tepat pada masanya.

Rugi tak?

Malah ia bukan hanya tertakluk kepada pinjaman untuk hartanah atau kenderaan saja. Sama juga dengan membuat pembayaran lain seperti kad kredit, bil-bil (elektrik, air, majlis bandaran dll), semuanya ada 'deadline' yang perlu dipatuhi. Jika tak patuh, walau dendanya hanya sekadar 5sen sahaja pun, jika dihitung-hitung, ia akan menjadi sangat banyak hingga beribu-ribu ringgit. Tanpa kita sedar.

Sebagai contoh, terdapat seseorang yang tidak membuat bayaran kepada pinjaman untuk hartanah yang dimilikinya selama dua tahun. Bukan tidak ada duit, tetapi merasakan 'masih tidak mahu membayar' dan rasa selesa bila terasa seperti 'memiliki duit yang agak banyak di tangan sendiri'. Walhal, duit di tangan itu bukan duit sendiri jika hutang bertimbun. Tapi, sering pula kita terlupa tentang hal-hal seumpama ini kan?

Jadi, antara cara yang saya gunakan adalah, bila terima saja gaji setiap bulan, saya akan segera memperuntukkan duit gaji saya untuk membayar 'hutang' atau 'tanggungan' atau pinjaman terlebih dahulu. Kemudian, barulah saya memperuntukkan untuk emak di kampung, dan kemudian untuk disimpan. Selebihnya, saya akan senaraikan 'keperluan-keperluan penting' yang perlu dibeli, dan jika ada lebihan pula, saya tidak akan terfikir untuk membeli apa-apa yang tidak penting, tetapi menjadikan baki duit tersebut sebagai simpanan di bank. Untuk simpanan masa hadapan, masa akan datang. 'Beribadatlah seolah-olah anda akan mati pada esok hari, berusahalah dan bekerjalah seolah-olah anda akan hidup 1000 tahun lagi.'

Masa-masa berseronok atau 'leisure time' di mana saya akan menghadiahkan diri saya sesuatu yang istimewa pula adalah pada hari-hari yang istimewa sahaja. Hari lahir, hari ulangtahun perkahwinan, hari raya, mendapat baucer-baucer percuma dan lain-lain hari istimewa (tapi tidaklah pada setiap bulan, terutama pada setiap kali menerima gaji bulanan...).

Hutang, adalah amanah. Sebelum meninggal dunia, seeloknya, sebolehnya, diselesaikan semua hutang.

Semoga ada redha Allah, insyaAllah.

No comments: