22 March 2007

Selamat Hari Lahir 1

Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulillah. Genap 5 tahun sudah dia lahir ke dunia, kalau ikut tahun Masehi pada hari ini, 22 Mac 2007. Dia dilahirkan pada 22 Mac 2002. Kalau ikut bulan Islam, dia dilahirkan pada 8 Muharram. 1423H. Memang saya sering mengingati dia, kerana dia kanak-kanak pertama di dunia ini yang memanggil saya 'mak ngah'. Saya terlalu sayangkan dia, dan seketika tadi baru saja menelefon dia...

+ Assalamualaikum..
- Waalaikumussalam..
+ Hari ni sekolah tak? (Dia bersekolah di PASTI)
- Sekolah...
+ Hari ni abang dah cukup umur 5 tahun. (Saya tidak mahu terlalu memberi kefahaman kepada dia tentang hari lahirnya dalam tahun Masehi ini). Hari ni makan apa?
- Hari ni makan nasi dengan sup ayam...
+ Sedapnya. Mak Ngah punya ada?
- Ada. Nanti abang tinggalkan. Mak Ngah balik ke hari ni?
+ Hari ni tak balik. Nak ke Shah Alam. Esok ada lagi tak sup tu?
- Esok dah tak ada. Kalau simpan dah basi. Kena makan hari ni juga...

Alahai. Saya tahu, dengan kesibukan saya, saya jarang bertemu permata hati saya yang tiga orang itu. Jarang amat, hinggakan mereka sering 'menggomoli' saya setiap kali saya pulang ke rumah. Walau letih, walau penat, mereka bertiga adalah permata hati saya. Dan saya akan melayan mereka semampunya.

Semoga mereka akan menjadi anak yang soleh dan solehah, insyaAllah. Mereka akan menjadi generasi bertaqwa, yang patuh pada perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Dalam apa jua keadaan. InsyaAllah. Semoga seluruh kehidupan mereka dilimpahi dengan rahmat dan hidayah dariNya. Semoga iman di dalam diri mereka akan dikukuhkan, dengan bantuanNya. InsyaAllah. Merekalah peneraju generasi akan datang, dan kita perlu mencoraknya hari ini. Ketika mereka masih 'putih'.
- Mak Ngah, Allah kat mana?+ Allah ada di mana-mana..- Macam mana rupa Allah?+ Allah sangat indah, tapi tak boleh digambarkan. Kita kena jadi orang beriman, baru boleh lihat Allah.
- Macamana Allah boleh ada?
+ Tengok mata, hidung dan telinga abang. Abang boleh buat tak dengan tangan, kalau nak buat mata, telinga dan hidung?
- Tak boleh...
+ Haaa...itu bukti Allah ada. Tak ada sesiapa yang boleh menjadikan hidung, mata dan telinga kita secantik ini....

Dan, dia memegang hidung, mata dan telinganya. Dipenyek-penyekkan dan dileper-leperkan. Pun, hakikatnya masih sama. Dia mengakui itu semua kejadian Allah.

Alhamdulillah. Walau soalan itu sering diasak kepada saya sejak usianya dua tahun, dia tidak pernah lagi tersalah tafsir maksud kata-kata saya.

Semoga, dia dilindungi dan dirahmati oleh Allah.

InsyaAllah.



Alhamdulillah.

No comments: