30 November 2007

Bunga oh Bunga

Mandi bunga?!

Saya terjeda pada permintaan emak.

Jodoh kamu lambat tiba. Emak dulu mandi bunga. Ada juga beberapa cerita yang emak dengar tentang jodoh yang tidak lekat, dari kampung-kampung lain, dari negeri-negeri lain, usahanya juga dengan mandi bunga. Kita berusaha. Berusaha dengan mandi bunga. Supaya ada jodoh.

Saya terjeda amat.

Kamu duduk di rumah itu, seorang diri. Bahaya. Alangkah baik kalau kamu sudah ada jodoh. Ada pelindung. Emak boleh dapat cucu. Ada yang boleh tengokkan kamu.

Ah, emak bagai tidak pernah cukup dengan cucu empat orang itu. Mana tahu rezeki dariNya, bilangan cucu-cucu emak akan bertambah lagi, pastinya. Biar bertambah cucu-cucu emak, kuantiti yang meningkat, kualiti yang kekal soleh dan solehah, walau diterpa arus globalisasi yang mencucuk hidung dan mengharu-birukan gegendang telinga, kala ini, di zaman ini.

Kata Umairah, ada yang cuba merisik kamu, bertanyakan kamu, kamu tolak. Mereka orang di sebelah pantai timur? Kalau begini, kamu memang kena mandi bunga. Kenapa saja kamu menolak jodoh. Banyak jua cerita yang lain emak dengar dari Umairah. Dalam diam kamu, ramai yang merisik, rupanya.

Aduh! Saya terjeda lagi. Dari mana saja emak dengar cerita. Bukan begitu ceritanya. Orang pantai timur itu hanya seorang kawan lama. Kawan di universiti. Saya tidak pernah berperasaan padanya. Menganggap ia sebagai 'hanya persahabatan', walau sudah 10 tahun usia perhubungan. Saya jua tidak pernah berperasaan kepada sesiapa. Pada seumur hidup saya.

Esok lusa sudah masuk ke angka 3 di depan usia kamu. Cuti Hari Raya Aidil Adha nanti, ikut emak mandi bunga.

Emak nak beli bunga di kedai bunga dan letak dalam kolah mandi di kampung?

Jangan berlawak. Emak serius tentang jodoh kamu. Kita cari orang, buat mandi bunga kamu. Lepas mandi bunga, kamu akan dapat jodoh.

Emak. Emak. Sudah serius benar dia kali ini.

Emak, kalau orang gila bermandi bunga untuk berjodoh, dia juga akan dapat jodoh selepas mandi bunga?

Tidak terdengar gelak emak di corong gagang, kali ini. Hanya terdengar keluhannya. Emak mengeluh. Hati tiba-tiba dipagut sayu.

Emak. Emak. Ini kebenarannya. Kebenaran dari pandangan saya. Pendapat saya. Dari nubari saya. Saya diamkan selama ini.

Jodoh itu, bukan hadir dengan mandi bunga. Jodoh itu, ketentuan Allah. Apakah dinamakan usaha itu dengan mandi bunga? Usaha berjodoh hanya dengan mandi bunga? Allah redhakah mandi bunga itu sekiranya berharap benar selepas mandi bunga akan berjodoh? Elok mandi bunga hanya untuk menjadikan diri harum semerbak.

Kembara di bulan Ramadhan lepas, masih berbaki di lautan mata saya. Kata emak sebelum saya melangkah ke perut kapal, berdoa untuk jodoh waktu di hadapan Baitullah nanti. Saya terpana. Bukan niat saya pergi ke sana untuk itu. Pun, saya diamkan permintaan emak, di bawah dasar hati saya.

Kata beberapa jemaah di sisi saya, sepanjang kembara di kota Rasulullah dan kota Mekah, banyakkan berdoa untuk jodoh. Malah, beberapa kawan yang masih solo juga berpesan 'doa jodoh' kepada saya sebelum hari bertolak.

Saya menilik diri. Saya akui, saya mengadu hal ini hanya pada Allah. Di kota Madinah, di Raudhah (Alhamdulillah dapat menjenguk seketika bersama solat walau lautan manusia muslimat terlalu ramai - MasyaAllah!), di sepanjang perjalanan ke Jabal Baidah dan sewaktu berhenti di Bir Ali.

Bukan. Saya tidak pernah menafikan hak sebuah perkahwinan. Perkahwinan tuntutan agama. Emak pun tahu, anak emak ini belajar Munakahat. Tahu syarat dan hukum. Tahu wajib dan harus. Tahu haram dan sunat.

Saya sudah berdoa di hadapan Multazam. Saya sudah habis tujuh pusing. Saja mencuba-cuba rapat ke dinding Baitullah. Menyentuh sedikit dinding Baitullah sebelum menuju ke Hijr. MasyaAllah, di tengah lautan manusia yang ramai di bulan Ramadhan, Allah mempermudah urusan saya. Saiz yang kecil bukan halangan. Saya tidak diasak, malah angin semilir yang berpuput lembut di wajah saya menggugat rasa. Sejuk. Tapak kaki jua terasa sejuk, dan kesyahduan itu menabiri hati saya di saat hari yang terik dan mencucurkan peluh itu.

Emak, memang saya berdoa. Saya berdoa di Hijr, di Multazam, di belakang Maqam Ibrahim selepas solat sunat tawaf, malah di atas bukit Safa dan Marwah juga. Tapi 'doa jodoh' itu bukan dibuat dengan sepenuh hati. Niat saya datang dari jauh bertemu Baitullah bukan untuk itu. Hati saya lebih penuh, untuk yang lain, hanya kerana Allah.

Emak, jika ada jodoh saya dalam redha Allah, ia akan hadir. Tidak perlu mengiklankan diri, tidak perlu beraksi lemah gemalai dan bersolek sakan hanya untuk menarik minat orang lain supaya menjadi jodoh saya. Saya akui, kata-kata kakak Umairah banyak kebenarannya. Hati ini saja, kosong untuk itu. Jodoh saya 'belum tiba'.

Saya hanya bawa diri saya dalam hukum Allah. Cukup sekadar-sekadar. Emak sendiri tahu, sejak kecil saya tidak suka bersolek. Saya tidak suka berkebaya atau berbaju ketat menunjuk susuk tubuh. Lebih selesa berkurung labuh dan bertudung saiz besar. Kawan saya sejak kecil, mengaji di masjid, sekolah, buku-buku dan aktiviti bersama ayah dan abang. Usia lapan tahun lagi, kerudung saya sudah kukuh di kepala.

Emak, gerakan hati kita ini milik Allah. Diri saya diadun dengan rasa malu dan rendah diri. Jika ada jodoh untuk saya, ia dari Allah, dan kerana Allah.

Emak, secuit gerakan hati kerana Allah, berjuta redhaNya. Hati saya, bukan milik saya. Ia milik Allah. Hati ini tidak pernah berperasaan kepada sesiapa lagi di sepanjang penghidupan ini.

Emak, maafkan saya. Rasa rendah diri ini kerana tidak patuh pada perintah emak yang satu ini.

Hati ini telah penuh. Isinya, hanya cinta.

No comments: