29 November 2007

Lepak-lepak Hari Ahad

Setiap hasil tulisan terhasil dari tangan dan minda seorang penulis. Setiap penulis adalah orang yang berfikir, walhal tidak semua yang berfikir akan menulis.

Ada fikiran yang dikongsikan. Ada yang tidak dikongsi. Untuk saya, hasil fikiran lebih banyak menjadi rahsia. Tidak betah menulis setiap masa, walau setiap saat kepala bergelandangan dari hujung dunia ke hujung dunia, menilai diri di sini yang sebentar.

Saya baru menghabiskan Tuhan Manusia. Mula membuka muka surat pertama novel itu seketika selepas masuk waktu Solat Sunat Isyraq dan Dhuha pagi tadi, sekitar jam 8.30 pagi. Pagi hari Ahad, 25 November 2007. Jarang hujung minggu saya ada masa senggang begini. Seingat saya, ini hujung minggu pertama dalam 2007 yang saya lepak-lepak di rumah (satu-satunya novel penulis ini yang saya baca terus tanpa henti, usai baca jam 12.30 tengahari sebelum masuk waktu Solat Sunat Zawal dan Solat Fardhu Zuhur).

Saya tidak berperasaan yang muluk-muluk untuk membaca novel ini, sebelumnya. Sebuah sumber bacaan, saya akan nilai bukan dari gah nama penulis, tetapi lebih kepada intinya (lebih lihat kepada kata-kata, bukan kepada orang yang berkata-kata). Wajar saya katakan, penulis Tuhan Manusia ada peminat tersendiri kerana koleksi tulisannya yang sering menggegar minda, jua emosi. Bukan sahaja Tuhan Manusia, saya akui sejak saya 'mengenali' dan 'menghayati' hasil tulisan serupa ini dari penulis yang sama sejak tujuh tahun dahulu, saya menemui kelainan dari segi sebuah pemikiran (hasil tulisan dari tangan terlahir dari corak berfikir) berbanding penulis lain.

'Bagaimana mulanya... Tuhan Manusia' lebih mengambil tempat di hati saya. Suasana yang digambarkan mengingatkan saya kepada kembara saya di dunia ini. Kembara yang seketika ini akan berakhir tanpa pemberitahuan. Peringatan telah diberi, tetapi saya masih alpa. Kenapa hanya 'saya'? Saya lebih sukakan 'saya' kerana ia mendidik jiwa saya. Asyik menuding hujung jari yang satu kepada orang lain dan alpa pada diri untuk melihat empat jari yang terhala ke arah diri sendiri. Saya, banyak kesilapan di sini yang sebentar. Hanya Dia Maha Mengampuni.

Kisah Tuhan Manusia hanya suatu kisah biasa-biasa yang diolah dengan begitu teliti oleh penulisnya. Suatu kisah biasa-biasa yang menjadi luar biasa dihias pelbagai nasihat, maklumat dan panduan. Kriteria ini, disertai panduan yang cantik, amat kurang. Kembara yang singkat terasa lebih lama, walhal masanya hanya seketika (Ayat 112-114;Surah Al-Mu'minun), dan kita - ini merujuk kepada seluruh dunia - masih dimomok dengan kemewahan dan hidup yang panjang. Momokan ini, sepanjang sesi telahan saya tadi, tidak ada pada isi Tuhan Manusia.

Saya terkesan dengan watak ayah Ali Taqi. Watak sokongan yang bertindak sebagai pendidik, melalui perbuatan, dan sedikit benar melalui kata-kata. Kala ini, di zaman ini, sebilangan besar kita lebih mudah membuai kata-kata yang indah dan bersopan, walhal hati tidak selari dengan kata-kata, apatah lagi perbuatan. Kata-kata tidak jadi didikan, terutama untuk seorang anak kecil seusia dua tahun. Bagaimana mahu mencorak kain putih menjadi batik dengan olahan corak yang cantik dan mengujakan jika cantingnya hanya berdasarkan manual seorang pelukis cat minyak yang lebih arif dalam melukis potret seorang gadis?

Ulul albab - menuntut ilmu, memisahkan haq dan batil (Walaupun Taqi nanti pilihan itu akan membuatkan dirimu keseorangan, anakku. Kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 100 : Katakanlah, tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah hai ulul albab, agar kamu mendapat keberuntungan.), menyampaikan ilmu, membaiki masyarakat, kuat, gagah dan takut kepada Allah, nilai tambahnya ketaqwaan, kesolehan dan rajin memohon pengampunan - ini saya petik sedikit dari Tuhan Manusia.

"Cerita yang tidak tepu nasihat dan ilmu ialah cerita yang sia-sia, Taqi". Ini, bukan kata-kata ayah Ali Taqi, sebetulnya. Ini pendirian penulis ini, pada sangkaan saya. Bermain bahasa menjadi tidak sia-sia, wujud nasihat dan panduan untuk manusia ramai berfikir. Seperti menyusun buah catur di atas gelanggang perlawanan, satu gerakan yang sia-sia akan membenarkan pihak lawan mengatasi kita dengan 15 gerakan yang lebih bermakna. Kita akan kalah, checkmate! Caturan hidup ini apatah lagi. Jangan tersia, walau hanya selangkah.

Ubudiyyah - sangat berkesan paparan konsep ini kepada saya di dalam buku kecil ini, walau ringkas. (Tidak melihat segala yang diberikan sebagai milik sendiri - milik Allah pastinya, sibuk kerana perintah Allah, musibah dunia menjadi ringan kerana segalanya diserah padaNya, merendah diri, tidak takatsur dan tidak takabbur).

"Andai kota itu peradaban, rumah kita adalah budaya, tiang serinya adalah agama."

Tuhan Manusia mendidik dan menelusuri sebetulnya, setiap orang dengan persepsi yang berbeza. Paling pasti, ia ada daya tarikan tersendiri bagi orang yang berfikir, walau tidak menulis.

Sebetulnya, saya jadi terharu. Islam, agama yang syumul. Mana mungkin boleh disatukan dengan agama-agama lain yang tidak mengEsakan Dia?

Allah hanya 1. Esa. Tunggal.
Allah Maha Besar.

No comments: