13 March 2008

Keputusan Kali Ini

Assalamualaikum warahmatullah...

Tahniah kepada yang menang.
Sabar kepada yang kalah.
Kerusi itu bukan selama-lamanya.
Jika amanah tidak dilaksanakan, janji tidak ditunai, kepercayaan akan hilang.
Jika adil tidak dipraktikkan, telus tidak diwujudkan, jujur tidak diamalkan, ikhlas tidak dihadirkan, Allah jua tidak akan menolong.
InsyaAllah.

BN menang. PAS menang. PKR menang. DAP pun menang.

Majoriti menang.
Pun, pilihanraya kali ini membuka mata pemimpin BN, menyedarkan hati rakyat dan memberi peluang kepada BA - Barisan Alternatif untuk memerintah, walau tidak keseluruhannya.

Alhamdulillah. Segala kejadian Allah ada hikmahnya, dan saya amat bersyukur kerana masih berpeluang mengambil wudhu', mendengar azan di masjid dan merasa kehalusan kasih sayang Allah melalui oksigen yang masuk dan memenuhi segala urat saraf dan nadi saya. Bayangkan sekiranya Allah mengehadkan kuantiti oksigen dari memasuki kantung jantung saya selama 15 minit sahaja pun, pasti saya sudah tidak akan bernafas. Itulah makna kehalusan kasih sayang Allah.

Menang kerana Allah. Jangan semasa kalah sahaja mengingati Allah. Manusia ini, diuji dengan bala, juga diuji dengan nikmat. Bala di depan mata, baru tersungkur sujud mengadu kepada Allah. Nikmat di depan mata, terbang melayang segala amalan yang istiqamah selama ini.
Tahniah kepada PAS - ke atas Kelantan, Kedah dan Perak.
Tahniah kepada DAP - ke atas Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Tahniah kepada PKR - ke atas Selangor.
Tahniah kepada BN - ke atas Parlimen dan seluruh negeri-negeri lain, walau lompong di setiap negeri telah mula wujud.
Tahniah kepada rakyat - menzahirkan SPR sebagai telus dan jujur.


InsyaAllah. Setiap kejadian Allah berhikmah, dan kita sebagai manusia perlu menilai setiap kejadian Allah untuk menemukan hikmahnya, tidak kira bala, bencana, kekayaan ataupun kuasa.

Tahniah kepada pemilik keputusan terbaik STPM dan SPM juga. Berusahalah, kerana separuh kejayaan generasi negara Malaysia pada masa akan datang berada di tangan anda, intelektual yang dilahirkan Allah dengan pelbagai kelebihan dan kesempurnaan. Tahniah kepada adik Azali Azlan dengan keputusan yang memberangsangkan. Tahniah. Semoga agama yang syumul ini akan tetap 'duplicate' zaman Rasulullah di zaman serba moden ini. InsyaAllah.

*********
Pilihanraya berlalu
Debar di dada tiada lagi
Kalah menang
Adat bertanding
Usaha dan amal
Ikut bersaing
Merebut kerusi
Kawasan masing-masing.

Meraih undi bukannya mudah
Bergolok bergadai masuk berkempen
Janji yang ditabur
Budi yang dihulur
Senyum yang dipamer
Keikhlasan jauh di dalam diri
Menjadi bekal dan azimat
Di dalam perjuangan.

Rakyat kini
Minda yang lain
Bukan setakat jalan, air, api
Pintanya lebih lagi
Harga jangan naik
Usaha jangan diperlekeh
Kepimpinan biar telus
Keadilan biar terus
Jangan berselindung
Dengan perjanjian macam-macam
Mengabaikan pemikiran keintelektualan
Sedangkan masing-masing
Mengelek ijazah
Universiti terkemuka.

Pemimpin itu
Bukan dari minda yang hebat
Tidak dari kekayaan
Jauh dari penampilan
Sebaiknya jadi pemimpin
Adil dan telus
Ingat pada Allah
Hak orang lain, hak negara
Tidak jadi aset diri
Usaha ketara sedikit
Harta menggunung tidak terperi.

Pilihanraya
Gelanggang pemimpin pilihan rakyat
Bukti demokrasi dan ketelusan
Dipraktik dengan adil
Sehinggakan yang pelik
Menjadi benar.

Rakyat kini bangun
Menuntut hak yang kian hilang
Sepenggal demi sepenggal
Dengan pemimpin yang sama.

Pilihanraya kali ini
Satu keterbukaan minda
Satu perubahan ketara
Untuk rakyat
Berfikir dan merenung
Kekuasaan Tuhan
Kerana manusia itu dijadikan
Tanpa kuasa
Tanpa takdir di tangan masing-masing.

No comments: