26 March 2008

Jalan dan Sultan

Assalamualaikum warahmatullah…

*********

Kenangan 1

Tiba-tiba, saya teringat kisah Sultan Melaka. Teringat pada kisah Laksamana Hang Tuah yang difitnah. Teringat kepada Bendahara Paduka Raja yang menyembunyikan Laksamana itu di Ulu Melaka. Digantikan dengan Hang Jebat yang merupakan sahabat rapat kepada orang yang dihukum. Malah, teringat juga kepada Hang Jebat yang dikatakan menderhaka. Teringat kepada si Laksamana yang pulang kembali ke bumi Melaka, dipanggil untuk melenyapkan Hang Jebat dari muka bumi. Akhirnya, Hang Jebat pun lenyap. Di tangan Hang Tuah.

Saya jadi teringat semuanya, dan saya tersenyum.


*********
Habuan 2

Jalan sesak. Amat teruk. Pagi saya yang indah sudah menjadi semakin kelam. Selalunya, selepas azan Subuh, saya masih boleh ‘berguling-guling’ di dalam bilik, dapat membaca sepotong dua ayat Al-Quran dan kemudian barulah keluar dari rumah. Lebih kurang 20 minit sebelum pukul 7 pagi.

Sejak tiga hari ini, saya keluar awal sepuluh minit pun, saya tiba lewat 1 jam dari masa biasa. Malah, Isnin yang lalu, hampir 3 jam saya ‘bersantai’ di dalam kereta setelah membayar tol di Sungai Besi. Bayangkan, saya telah ‘buang masa’ 3 jam dengan hanya menaip sms supaya tugas-tugas saya di pejabat masih dapat berjalan sempurna. Sudahlah saya ada mesyuarat dengan Timbalan KSU Kementerian. Malah, banyak kereta di sekitar saya, orang lain yang lebih penting, dengan tugasan yang lebih menuntut, apatah berbanding saya. Aduhai, jalan rayaku.

Cepat sahaja minda saya membayangkan laluan 12 lorong tanpa tol di hadapan plaza tol itu, menghala ke bandaraya Kuala Lumpur, laluan yang menjadikan rakyat lebih produktif dalam kerja dan tidak menyesakkan minda dengan tekanan kesesakan jalan yang melampau.

Kalau dibandingkan jumlah kereta yang lalu, jumlah road tax yang dibayar, jumlah tol yang diperolehi hari-hari, jumlah minyak yang terbazir digunakan oleh kereta yang ‘terpaksa berhenti’ di tengah jalan raya, jumlah tax kereta import yang macam-macam nilainya, income tax yang dibayar setiap pengguna jalan raya yang pergi kerja hari-hari, kos panggilan telefon yang digunakan oleh orang yang duduk dalam jammed dan pelbagai kos sampingan lain, saya rasa laluan 12 lorong itu boleh jadi kenyataan. Bukan hanya angan-angan saya. Berapa agaknya kos sehari yang ‘dikaut’ oleh jalan Sungai Besi menuju ke pusat bandar itu? (Saya tidak maksudkan tol Sungai Besi milik PLUS itu, saya kata….jalan selepas tol Sungai Besi sehingga ke Pusat Bandar…..SMART Tunnel pun tidak masuk dalam kiraan saya….itu sudah ada syarikat konsesi yang mengurusnya…mana boleh usik ‘pusat rezeki’ orang lain….)

Fikir…Fikir…Fikir…

Itu kan, kita gunakan hari-hari.

*********

Ingatan 3

Saya tahu apa fungsi SMART Tunnel. Malah, saya pernah 'masuk' dalam projek ini semasa pre-contract. Hujan memang lebat, akhir-akhir ini. Saya tidak salahkan SMART Tunnel yang telah berfungsi dengan baik. Saya cuma memberitahu angan-angan saya jika jalan sudah ada 12 lorong.

Mungkin produktiviti boleh lebih ditingkatkan. Mungkin minda boleh berkembang. Rakyat Malaysia akan lebih berfikir untuk kemajuan diri dan negara. Pergi kerja dengan perjalanan yang aman dan tenteram. Aduhai, selesanya.

Tapi, saya teringat. Johor Bahru jammed juga. Kuala Terengganu jammed juga. Bandar Hilir jammed juga. Shah Alam jammed, Klang jammed, Ipoh jammed, Bandar Baru Bangi pun jammed. Malah, Jakarta pun jammed. Bangkok pun jammed. London pun jammed. Kota Mekah pun ada jammed.

Jadi, apa kisahnya jammed dengan bandar-bandar besar. Normal, kan?

Tapi, Allah suruh usaha.

Rumah usang boleh jadi rumah besar.
Duit sedikit boleh jadi banyak.
Ilmu sedikit boleh ditambah dan dipelajari.

Muka yang tidak cantik, boleh disuntik Vitamin C, Botox dan Collagen. Jadi lebih cantik.
Apa bezanya dengan jalan yang sesak. Tidak bolehkah jadi jalan yang lebih selesa. Jalan yang lebih tenteram, tidak menimbulkan sakit mental di kalangan penduduk Malaysia.

Itu kan, kita gunakan hari-hari.

Sebab itu, Allah suruh usaha. Usaha dan usaha. Fikir dan fikir.


*********

InsyaAllah.

Rabbi yassir - wa la tu'assir.

InsyaAllah.

No comments: