16 July 2008

Insaf Diri

Assalamualaikum warahmatullah...

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS. Ali Imran, 3:104).

Mudah juga untuk menjadi orang yang beruntung, kerana di dunia masa ini, kumpulan majoriti dan minoriti sangat memainkan peranan. Apapun, hakikatnya Rasulullah SAW dahulu pun hanya berada di dalam suatu kelompok minoriti. Itulah kebesaran dan kekuasaan Allah. Pun, tidak ramai yang mahu menjadi orang yang beruntung di akhirat, atau seimbang untung di dunia dan di akhirat. Kebanyakan dari kita lebih memilih untuk menjadi manusia yang beruntung di dunia sahaja. Kita lebih banyak diam, walau terlalu banyak kesilapan di hadapan mata, di pendengaran telinga dan melalui pembacaan kita yang perlu kita bendung. Saya pernah ditanyakan tentang soalan ini : Antara agama dan negara, manakah yang lebih penting? Saya tidak mahu menjawabnya di dalam entri ini kerana saya dapat merasakan setiap dari kita ada pendapat tersendiri untuk pilihan jawapan yang kita buat. Semoga jawapan yang kita pilih itu adalah jawapan tepat yang diredhai oleh Allah, insyaAllah.

"Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci, Allah dari apa yang mereka persekutukan." (QS. Al Hasyr, 59:23)

Kita tidak mempersekutukan apa-apa (jika kita benar-benar menyatakan bahawa Allah itu Esa dan tidak mempersekutukanNya dengan apa pun). Tetapi, kita kadang-kadang terlupa kepada Allah yang Maha BerKuasa, Allah yang Maha Memelihara, Allah yang Memiliki Segala Keagungan dan pelbagai lagi kekuatan yang dimiliki oleh Dia sebagai Pemilik alam ini. Kita terlupa, hingga kita lebih suka menegakkan sesuatu perkara yang salah hanya kerana kita merasakan diri kita memiliki kuasa mutlak. Sedarkah, kuasa yang kita miliki tidak kekal? Sedarkah, kematian akan merenggut diri kita pada bila-bila masa pun? Jika dalam satu hari lagi kita akan mati, apakah perkara terakhir yang akan kita lakukan di dunia ini?

".. Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah Al 'Imran: 29)

Allah Maha Mengetahui dan hanya Dia sahaja yang tahu tentang kebenaran yang hakiki. Kebenaran itu, ada di setiap redha Allah. Jika kita tahu bahawa setiap perbuatan kita tidak disertai dengan redha-Nya, usahlah dilakukan perkara sia-sia yang boleh membuatkan kita terjerumus ke dalam lubang-lubang neraka. Paling pasti, setiap nafas yang kita hirup pun tidak mampu kita kuasai, apatah lagi untuk memiliki segala yang ada di dalam dunia ini.

Sabar. Tenang. Ikhlas. InsyaAllah, redhaNya bersama kita semua.

No comments: