05 July 2008

Realiti

Assalamualaikum warahmatullah...

Realitinya, sehebat mana pun kuasa seorang manusia di dunia, sewajarnya dia perlu mengingati Yang Maha BerKuasa, kerana Yang Maha BerKuasa itulah yang boleh menaikkan dia ke atas, dan menurunkan dia ke bawah, walau sehebat mana perancangannya, walau sebijak mana pemikirannya, kerana semua hal pada dirinya, adalah pinjaman dari Yang Maha BerKuasa.

*********

Komuter pun sudah sesak. Saya menaikinya pada waktu petang, sekitar 4.30 petang, untuk berjumpa seorang sahabat di Mid Valley - bersama dua sahabat lain. Macam-macam orang, macam-macam ragam. Saya cuma jaga diri yang terasa tidak selesa - saya tidak suka tubuh badan saya 'tersentuh-sentuh' dengan orang lain - Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan saya dan melindungi diri saya dari kejahatan dunia, pada hari itu. Saya rasa, perkhidmatan seumpama ini perlu dinaik taraf. Sudah tidak boleh pada takuk lama. Memang mengaut untung, tapi penumpang tidak ada keselesaan langsung. Malah, keselamatan juga belum tentu terjamin. Kawan mencuit bahu saya (hari-hari dia naik komuter) - 'jangan letak beg sandang di bahagian belakang badan'- saya pula bukan jenis suka bawa 'beg tangan' macam orang perempuan lain. Beg besar berisi nota, kain untuk solat dan barang-barang penting lain itu saya peluk di bahagian hadapan badan saya. Alhamdulillah. Malamnya, saya ambil kereta di pejabat dan balik ke rumah dengan kereta.

*********

Semakin banyak basikal digunakan pada hari Ahad. Di saat 'burung pun belum bangun', banyak penunggang basikal yang sudah menghalakan diri ke Tasik Cempaka - sebelum kenaikan harga minyak, memang saya tidak nampak basikal sebanyak ini, dan bila saya usai mengajar kelas pertama saya, banyak basikal pula yang saya nampak menghala keluar dari Tasik Cempaka. Saya jadi cemburu, pada masa yang sering tidak ada ruang senggang. Basikal itu, saya menjadi ingat di zaman usia saya 3 tahun - basikal besar dengan palang tinggi - saya selalu kejar waktu malam apabila pulang dari mengaji di hujung kampung.

*********

Realitinya, kenapa menyukarkan sesuatu yang mudah. Setiap kehidupan ada penghujung yang memang pasti - kematian. Untuk apa dikejar-kejar sesuatu yang akan ditinggalkan di dunia - dengan cara melakukan perkara yang boleh menempah tiket ke neraka. Alangkah indahnya kehidupan yang baik di dunia sebagai bekal di dalam perjalanan di bumi akhirat. Alangkah seronoknya bertemu Rasulullah SAW yang tersenyum kerana kita berjaya menjadi salah seorang umat yang akan bersama-sama baginda. Alangkah hebatnya rahmat Allah yang akan mengiringi perjalanan seorang hamba yang beriman. Teruskanlah hidup, kerana Allah.

*********

Semoga Allah menyelamatkan dan melindungi semua umat Islam yang beriman, semasa di dunia, dan semasa di akhirat. InsyaAllah.

No comments: