26 July 2009

Cuti Cuti Malaysia

Cuti, memang untuk berehat. Sementelah saya baru mengharungi satu perjalanan panjang. Malah, ditambah dengan badan yang tidak sihat, sewajarnya saya hanya duduk melepak di rumah saja.

Pun, rupanya kesibukan itu sudah sebati di dalam diri saya kerana pada waktu-waktu biasa, saya akan beroperasi dengan pelbagai aktiviti 24/7. Saya jadi resah dan rasa seolah-olah membuang masa, walau macam-macam saya sudah buat di dalam rumah. Saya rasalah, kalau Microsoft Word di dalam laptop saya boleh beroperasi, rasa-rasanya sudah siap dua tiga biji novel agaknya.

Hendak keluar saja-saja, memang saya tidak gemar. Terutama kalau melakukan aktiviti window shopping. Paling kritikal, saya akan cari mana-mana kedai buku dan lepak-lepak dua tiga jam dan kemudian keluar dari kedai dengan berpuluh-puluh buah buku di tangan dan duit di dalam poket yang akan melayang sehingga hampir RM300.

Tapi, badan saya tidak sihat. Hendak bawa badan pun payah. Lesu, lembik, dengan demam dan selesema yang menyerang. Syukurlah ada 2 sudu beras di dalam bekas beras saya, maka siaplah resepi makanan saya hari ini. Nama resepi saya ; Bubur Nasi Pucuk Paku Johor. Huh, mana saya dapat namanya pun saya tak tahu. Paling pasti, pucuk paku itu dibekalkan emak saya sewaktu saya menghantar emak balik ke kampung dua hari lepas. Rasa bubur saya - sangat sedap kerana langsung tidak ada bahan pengawet dan bahan kimia berbahaya.
Bahan - bahannya ; 2 sudu beras (kerana 2 sudu la saya jadikan bubur, agaknya kalau masak jadi nasi, jadilah dua suap nasi), dua biji kentang saiz kecil, seikat pucuk paku dan sedikit garam. Bahan tambahan ; ikan kering sepat yang digoreng.
Inilah makanan saya hari ini (semalam saya makan nugget dan ayam goreng saja - digoreng sendiri juga).

No comments: