09 December 2011

Utamakan Allah, Kemudian 'Family'


Dulu, saya sering meletakkan diri saya di tempat yang beratus-ratus anak tangga. Keutamaan kepada diri tiada langsung (err....sekarang pun tak tau dah ada atau tak....tapi rasanya dah ada...insyaAllah..). memberi sepenuh komitmen kepada kerjaya serta kerja-kerja sampingan saya yang melibatkan beberapa aktiviti kemasyarakatan yang agak banyak.

Boleh dikira dengan jari, berapa jam saya dapat berehat setiap bulan. Ya, setiap bulan kerana dalam seminggu pun selalunya masa-masa rehat untuk diri benar-benar tidak ada. Boleh dibayangkan semasa bekerja di Kuala Lumpur dan menetap di Bandar Baru Nilai, saya akan keluar dari rumah seawal 6.15 pagi dan hanya akan tiba di rumah semula seawal 12.30 tengah malam. Jadual serupa itu pula merupakan jadual pada hari bekerja (Isnin - Jumaat) manakala bagi Sabtu dan Ahad pula, saya sudah bertolak dari rumah sekitar 6 pagi dan tiba semula di rumah juga sekitar pukul 12 malam. Bekerja 7 hari seminggu dan boleh diibaratkan 24 jam sehari. Tiada masa bersosial, malah kurang juga masa bersama keluarga.

Jika saya ada di rumah pun, selalunya kerana demam yang 'benar-benar tidak boleh bangun dan tidak boleh memandu'. Lalu, pada masa dan ketika itulah, dalam keadaan lemah dan tidak berdaya, barulah saya punya masa untuk bermain bersama-sama anak saudara.

Malah, apabila sudah berpindah dari Nilai pula, saya masih leka dengan 'kehidupan padat' saya. Masih keluar dari rumah seawal 6.30 pagi dan tiba di rumah semula seawal 11 malam. Terkadang bersarapan di Kuantan, boleh pula makan tengahari di Kuala Lumpur, dan ada ketikanya sehari dan sehari selepasnya pun, saya masih berada di luar kawasan di seluruh Malaysia bersama bebanan tugas yang menuntut komitmen dan pemikiran yang mantap.

Masih saya ingat di suatu hari di Ramadhan pada hari 'SABTU' yang entah tahun bila, saya menaiki kapal terbang ke Kota Kinabalu yang bertolak pukul 7.30 pagi dari KLIA dan tiba di KK lebih kurang pada pukul 11 pagi, kemudiannya boleh pula bergerak ke tiga buah lokasi berbeza dan saya perlu melakukan aktiviti memanjat bumbung bangunan - ya....memang bumbung bangunan yang saya panjat di bulan Ramadhan dalam keadaan saya berpuasa, selesai urusan tugas hanya lebih kurang pada pukul 5 petang, sempat berbuka puasa di KK pada pukul 6.27petang sebelum berkejar pula menaiki kapal terbang balik ke Kuala Lumpur pada pukul 6.45petang di hari yang sama. Tiba di rumah seawal 11 malam....saya sudah letiiiiiiihhhhhh. Pun, alhamdulillah....dalam kesibukan dan kepadatan serupa itu pun, saya masih diizinkan Allah dan diberikan kekuatan untuk melaksanakan solat terawih pada malam tersebut.

Puncanya? Apabila boss berulangkali bertanya pada masa bila saya dapat meluangkan masa untuk membuat 'semakan' ke atas bangunan-bangunan tersebut untuk ditakrifkan sebagai 'bangunan yang selamat untuk digunapakai' sedangkan jadual padat saya di pejabat pada hari bekerja yang biasa pun sudah sangat-sangat padat dengan pelbagai agenda dan mesyuarat. Bukan juga kerana arahan boss semata-mata, tapi kerana saya memikirkan 'keselamatan pengguna bangunan-bangunan tersebut'. Okey.....dalam tugas saya, satu nyawa pun sangat penting. Saya tidak mahu buat kesilapan dalam tugasan saya dan membahayakan nyawa orang lain yang tak berdosa.

Sehinggalah selepas saya diijabkabulkan pun, saya masih leka dengan 'dunia kesibukan' saya. Sebelum 'ujian dari Allah' ini datang dan menduga diri saya.

Ermmm....apa yang saya kejar sebenarnya?

Jika ditanya hal ini di 'zaman padat' saya sebelum ini, hakikatnya saya tidak pernah mengejar apa-apa. Bukan duit, bukan nama, bukan pangkat, bukan harta. Tiada apa-apa. Hati saya memang kosong.

Ini pinjaman Allah, kebolehan dan keupayaan diri saya. Lalu....ini semua kerana mahu mendapatkan redhaNya.

Hinggalah tarikh 4 Mei 2011 tiba dalam hidup saya. Barulah saya faham makna redha. Barulah saya faham makna limit (had). Barulah saya faham makna rehat. Barulah saya faham makna 'keluarga'. Barulah saya faham makna 'ini milik Allah'. Barulah saya faham makna 'dalam ujian Allah memang ada pelbagai hikmah yang sangat-sangat indah'. Barulah saya faham makna 'rasa sayang kepada diri sendiri'.

Ya....utamakan Allah, kemudian diri sendiri, dan kemudian keluarga. Kerjaya, pangkat, harta, nama....hanyalah sekadar satu 'aset kesederhanaan' yang tidak boleh dipaksa-paksa sehingga melebihi had. Dulu, saya tidak kejar pun semua itu....niat saya hanya mahu memenuhkan masa dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada semua orang....dan mendapatkan redha Allah semata - mata. Pun, mungkin pelaksanaan aktiviti-aktiviti saya telah melebihi had. Sedangkan Rasulullah SAW juga membahagikan malamnya kepada 3 bahagian, dan satu bahagian diberikan untuk dirinya berehat. 'Had' yang saya lupakan di suatu ketika dulu.

Jika diberi pilihan, pilihlah keutamaan antara Allah, juga keluarga. Hanya itu sahaja.

Keseronokan dunia tidak wujud, jika tidak ada redha Allah. Allah menggalakkan kita bersederhana...maka bersederhanalah, kerana 'wasatiyyah' itu merupakan salah satu dari sunnah Rasulullah SAW.

Semoga ada redha Allah dalam setiap perlakuan kita semua. InsyaAllah.

***Kisah 4 Mei 2011 itu masih ada di dalam diri saya, masih bersama-sama saya bersama hikmah yang amat banyak. ALHAMDULILLAH.

No comments: