07 March 2008

Pesta Lampu Brek

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Pesta lampu brek pagi ini. Banyak. Sesak.

Dari Bandaraya Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur. Di hadapan Mid Valley Mega Mall sepanjang Lebuhraya Persekutuan. Walau pagi masih awal. 7.05 pagi. Saya jangkakan, jalan agak sedikit lengang kerana esok hari mengundi.

Bagaimanapun, apabila tiba di Jalan Istana dan masuk ke simpang untuk menghala ke Jalan Tun Razak sebelum masuk ke Bulatan Pudu, jalan sudah tidak sesak. Memang lain dari kebiasaan. Warga Kuala Lumpur sudah ramai balik mengundi.

Pun, tidak semua yang balik ke kampung. Sudah ramai yang mengundi di kawasan bandar. Baguslah. Ada keseimbangan di kampung dan di bandar. Di tempat kerja saya ini pun, sebahagian besar yang masih muda belia sudah mengambil cuti, hari ini. Mereka masih belum berkahwin, masih belum mempunyai anak, tetapi masing-masing mengambil inisiatif untuk pulang mengundi di kampung masing-masing. Ada yang kampungnya di Terengganu. Ada yang di Kelantan. Ada yang di Johor. Ada yang di Pahang.

Kadang-kadang saya hampir tergelak. Apabila berbual, keluarlah perkataan – itu orang mata hijau, ini orang mata hijau. Eh, mana perginya orang bermata biru? Mungkin mata hijau lebih cantik, lebih terang, lebih jelas dan lebih bersinar. Agaknya. Mata Harry Potter warna hijaukah? (smile)

Mungkin mata-mata biru itu sekarang ini banyak di ceruk-ceruk dan ulu-ulu kampung yang dikunjungi para calon hanya apabila menjelang pilihanraya sahaja. selepas pilihanraya, selepas menang dan setelah 5 tahun berlalu, barulah nampak mata-mata biru itu semula, setelah calon-calon itu menjenguk semula bagi pilihanraya seterusnya.

**********

Wah, bilangan pengundi hantu makin meningkat rupanya. Setiap kawasan dibekalkan pengundi hantu yang bukan sedikit. Ramai. Bilangannya usah disebut, menjangkau ratusan orang di satu-satu kawasan. Baguslah, apabila sudah diundi oleh ‘hantu’, corak pemerintahan pun hilang dari sifat-sifat yang disuruh Allah. Hanya memikirkan kehidupan kekal abadi di dunia ini.

Ini namanya ketelusan dan kejujuran yang kurang. Baru hendak memilih pemimpin pun sudah tidak jujur, bagaimana hendak memegang tampuk pemerintahan?

Untuk apa menang kalau menipu diri sendiri dan orang-orang disekitarnya. Ikhlaslah sedikit, sekurang-kurang ada perisai untuk menahan kepanasan di akhirat nanti.

Macam budak sekolah yang meniru di dalam peperiksaan. Mereka dapat nombor satu, naik ke pentas, dijulang oleh ibu dan bapa kerana anak mereka hebat.

Menang di mata orang, kalah di hati sendiri. Tidak ada rasa berdosa dan bersalah kerana ramai orang buat perkara yang sama. Perpaduan untuk tidak jujur memang mudah untuk diikuti. Perkara lagha sudah jadi kebiasaan yang sebati dalam diri. Untuk jadi baik memang susah. Untuk jadi jahat memang senang. Allah itu satu. Syaitan dan nafsu itu dua. Memanglah sukar untuk berubah kepada kebaikan. Dua lawan satu. Tapi, kena usahalah. Tak berusaha, Allah tak akan ubah.

Kebiasaan yang membinasakan ini, jika sudah dipupuk sejak lama dahulu, memang sukar untuk disingkirkan.

Macam karat pada badan kereta, kalau masih sedikit, mudah untuk dirawat. Tetapi, kalau sudah banyak, memang sukar untuk dirawat. Caranya, sembur saja cat yang baru. Cat yang lama itu memang sudah tidak boleh digunakan lagi.

Fikir-fikirlah. Yang faham, akan berfikir. Kurang faham pun, akan berfikir untuk faham. Tapi kalau memang tidak mahu faham, fikirlah sehingga lapan juta kali pun, hasilnya tetap sama – tidak faham.

*********

Semoga pemilihan pemimpin kali ini akan berada dalam ketelusan dan kejujuran yang diharapkan oleh rakyat, agama, bangsa dan negara.InsyaAllah.

Saya berdoa semoga tampuk pemerintahan kali ini tidak diliputi hasad dan dengki, iri dan sakit hati, penipuan dan pembohongan. InsyaAllah.

*********

Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya seorang rakyat biasa yang mengharapkan semoga Malaysia ini akan menjadi sebuah negara yang maju dan terbilang bukan sahaja dari segi ekonominya, pendidikannya, perniagaannya, hasil import eksportnya, tetapi biarlah juga mempunyai kekuatan di dalam melaksanakan perintah Allah di dalam kehidupan seharian.

Dijadikan Allah itu tonggak di dalam diri, di dalam keluarga, di dalam kawasan perumahan, di dalam sebuah bandar, di dalam sebuah negeri dan di dalam sebuah negara.

Jangan di pandang dunia yang menggiurkan tetapi menyiksakan ini. Dunia ini, akan kita tinggalkan sedikit masa lagi.

05 March 2008

Akhbar dan Media

Saya rasa sayu, hari ini.
Entah apalah yang telah merasuk saya. Saya kasihan kerana saya sendiri demam menjelang pilihanraya, agaknya. 'Demam pilihanraya' kerana parti itu ini itu tidak menular pada saya sedikit pun. Suhu badan panas tiba-tiba, dan air mata saya mengalir. Saya hilang selera makan. Saya demam kerana terlalu sibuk. Saya demam kerana Allah, diingatkan Allah supaya berhenti sejenak dan menoleh : pada Al-Quran, pada buku hadis, duduk-duduk melayan perasaan untuk Allah. (smile)

Saya rasa sayu. Pun, hidup perlu diteruskan. Bukankah kehidupan menuju Allah? Perlu kuat, kerana di dunia sementara ini, serasa ujian dan godaan memakan masa yang lama. Hakikatnya, ada penghujung yang perlu dinantikan - dengan tenang dan sabar. Macam orang nak berpilihanraya dan berkempen, selepas 8 Mac 2008, redalah segala tulang temulang dan degupan jantung serta bicara-bicara manis apabila pucuk pimpinan baru telah ditemui.

Harapnya, pucuk pimpinan yang ditemui itu diredhai Allah, insyaAllah. Biarlah 5 tahun ini mengecap gembira, dengan keadilan pemimpin yang ikhlas dan sabar.

Entri di bawah ini saya tulis pada 3 Mac 2008. Bagaimanapun tidak sempat diposkan memandangkan saya ada sedikit hal yang perlu dilunaskan. Tambahan, saya demam. Hmm.

Saya buka akhbar pagi ini. Saya nampak lagi. Berterabur janji.

Cadangan saya:

1. Simpan semua akhbar menjelang pilihanraya yang ada macam-macam cerita ni (tak kiralah dalam bahasa apa pun, asalkan kita sendiri faham apa yang kita baca). Simpan elok-elok di tempat yang selamat. Lagi bagus kalau ada yang rajin merakam setiap berita terkini yang disiarkan melalui televisyen dan pelbagai media pada masa ini.

2. Pastikan calon-calon yang bertanding di kawasan yang kita huni, atau yang ada kaitan dengan perniagaan kita, atau sebarang bentuk perkara yang berkaitan dengan diri kita. Kalau nak melancong ke tempat-tempat itu pada masa akan datang pun, pastikan kita ambil tahu siapa calon-calon di tempat tersebut.

3. Selepas pukul 8.45 malam, 8 Mac 2008 nanti (saya dengar di Radio IKIM bahawa selepas 8.45 malam, keputusan pilihanraya dapat diumumkan di seluruh negara), belek-belek calon manakah yang menang di dalam pilihanraya tersebut bagi kawasan-kawasan yang berkaitan dengan diri kita. Pastikan memang benar calon-calon itu menang dengan sepenuhnya dan jadi wakil kepada rakyat-rakyat di tempat tersebut.

4. Semak semula akhbar-akhbar dan pita video rakaman yang kita simpan tadi. Sekiranya ada janji-janji yang pernah dinyatakan oleh calon yang menang tersebut, kaji dan lihat berapa lamakah janji-janji tersebut dapat ditunaikan. Berilah kadaran masa yang bersesuaian dengan keadaan semasa : sebagai contoh, jalan baru boleh siap dalam masa 6 bulan, bangunan sekolah baru boleh siap dalam masa 8 bulan.

5. Sekiranya janji-janji tersebut sebahagian besarnya dapat ditunaikan, kaji juga faedahnya kepada pembangunan agama, bangsa dan negara kita, tak kiralah dalam kategori agama yang mana diri kita ini, bangsa apakah kita ini. Adakah pembangunan yang membazir dan merugikan rakyat atau pembangunan yang menguntungkan rakyat dan memberi faedah kepada semua golongan rakyat, bukan hanya kepada segolongan kecil yang duduk-duduk memberi keputusan sahaja. Sekiranya pembangunan yang baik, Alhamdulillah dan tingkatkanlah ‘kepercayaan’ kita kepada pemimpin tersebut untuk musim pilihanraya akan datang.

6. Sekiranya wakil rakyat yang baru tersebut ‘terlambat’ atau ‘tidak mampu’ untuk menunaikan janji-janji mereka, buatlah analisa untuk pilihanraya bagi 4 atau 5 tahun akan datang pula. Pastikan analisa ini berkaitan keadaan semasa selama 5 tahun ‘pemerintahan’ wakil-wakil tersebut. Dari segi budi bahasanya, akhlaknya, perlakuannya dan mengapa janji-janji tersebut tidak mampu ditunaikannya. Mungkin ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, sekiranya di antara 200 janji-janji manis yang ditabur dan hanya 1 yang mampu ditunaikan, pastikan bahawa wakil-wakil tersebut tidak digolongkan di antara 3 kategori golongan-golongan munafik.
Saya harap cadangan ini dapat membawa kepada rakyat supaya berfikir tentang bagaimana memastikan hasil pilihanraya adalah telus dan tidak membebankan rakyat pada masa-masa akan datang di sepanjang 5 tahun selepas ini, bagi menantikan pilihanraya yang baru pula.

Diri kita sendiri yang perlu memastikan ketelusan itu sebelum menuding jari dan menuduh kepada mana-mana pihak lain tentang janji-janji yang tidak tertunai. Manusia ini, Allah jadikan ada sifat-sifat pelupa di dalam dirinya, dan ada manusia lain yang perlu mengingatkannya, sekiranya dia sendiri kadang-kadang terlupa tentang arahan-arahan Allah, malah janji-janji yang telah ditaburnya. Ini dinyatakan juga di dalam Surah Al-Asr – jadilah orang-orang yang sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran.

Saya rasa wakil-wakil yang akan bertanding ini pun perlu merekod dan mencatat setiap kata-katanya di sepanjang pilihanraya ini bagi memastikan janji-janji tersebut tidak dilupakan. Pelupa itu, salah satu punca keburukan sikap.

InsyaAllah, barulah hidup kita akan disinari dengan akhlak yang diredhai Allah dan iman yang kukuh yang membawa kita kepada kehidupan menuju Allah. Kehidupan yang hanya satu tujuan ini sebenarnya boleh membawa kemakmuran kepada semua individu. Sebabnya, kehidupan menuju Allah membawa kepada akhlak dan perlakuan yang baik, niat yang betul hanya keranaNya dan tindakan yang berselari dengan kehendak dan sunnah Rasulullah. Islam itu agama yang syumul (sempurna).

Islam itu perlu ditegakkan walau dengan apa cara sekalipun, paling pasti cara-cara itu perlu diredhai olehNya. Kehidupan menuju Allah, pada saya satu frasa yang amat perlu difikirkan. Bukankah dunia ini hanya sementara, kenapa perlu dikejar-kejar dengan melampau-lampau untuk sesuatu yang kita akan tinggalkan.

“Berusahalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, beramallah kamu seolah-olah kamu akan mati 5 minit lagi.”

Kenapa matinya bukan ‘esok’. Kalau esok, masanya masih sangat panjang. Bayangkan diri kita ini akan mati 5 minit lagi, apa yang sempat dibuat agaknya? Nak bertaubat pun, sempatkah?

Semua orang hanya memikirkan usaha, tetapi sering terlupa tentang amal. Amalan yang baik dan diredhai Allah.

Di dalam kubur dan di akhirat nanti, tidak ada sesiapa yang akan membantu kita. Masing-masing akan cuba melepaskan diri sendiri. Amalan kita sahajalah yang akan duduk di sisi kita cuba menolong dan membantu sekadar terdaya. Sekiranya amalan kita dipenuhi kejahatan, alangkah malangnya diri kita ini kerana neraka sahajalah yang layak untuk kita. Pun, jika amalan kita disinari cahaya kebaikan, alangkah cantiknya diri kita di akhirat nanti dengan wajah berseri-seri dan rahmat Allah yang melimpah ruah untuk kita.

Pastikan di mana tempat kita di akhirat nanti, sebelum memastikan tempat duduk letak diri kita di dunia ini.

Dunia ini, hanya sementara. Allah jualah segala-galanya di dalam kehidupan kita. Semoga Malaysia akan memiliki pemimpin-pemimpin yang menjadikan Allah sebagai tonggak di dalam setiap perlakuan mereka dan tidak hanya mementingkan diri mereka sendiri serta memikirkan ingin hidup kekal di dunia ini. InsyaAllah.

Saya masih rasa sayu. Adakah kerajaan 'duplicate' Rasulullah SAW dapat dipraktikkan di negara ini? Siapakah yang masih ikhlas untuk berjuang kerana Allah? Bukan kerana parti, bukan kerana kedudukan dan pangkat, bukan kerana diri sendiri? Bukan kerana harta, keluarga dan masa depan negara? Hanya satu, perjuangan kerana Allah. Ikhlas kerana Allah. Ikhlas. Ikhlas. Ikhlas, dan ihsan.

Saya masih rasa sayu. Semoga setiap detik ujian Allah dan godaan syaitan dapat saya tangani dengan sabar. Semoga Allah meredhai saya. Saya mahu sentiasa diingatkan tentang mati dan kehidupan akhirat yang abadi.

Di sini, benih ditabur. Nanti di sana, benihnya saya akan tuai. Harap-harap tidak ada benih yang rosak di dalam taburan saya. InsyaAllah.

29 February 2008

Sukatan dan Timbangan

Berhati-hati dengan sukatan dan timbangan
– semasa memandu pagi ini, fikiran saya tiba-tiba diterjah dengan arahan ini.

Selalu, apabila membaca arahan dari Allah di dalam Al-Quran berkaitan sukatan dan timbangan, saya akui fikiran cetek saya ini hanya akan mengaitkan arahan tersebut hanya untuk para peniaga dan penjual sahaja.

Pagi ini, minda saya berubah. Alhamdulillah.

Sukatan dan timbangan rupanya merujuk kepada semua amanah yang telah diberikan oleh Allah kepada setiap individu. Allah minta kita menyempurnakan sukatan dan timbangan dengan adil, dan ianya bukan hanya merujuk kepada para peniaga dan penjual sahaja.

Pemimpin yang adil perlu memastikan sukatan dan timbangan dalam arahannya bertepatan dengan kehidupan menuju Allah.

Para pendidik juga perlu memastikan ilmu yang diberikan kepada anak-anak muridnya adalah menepati sukatan dan timbangan yang sewajarnya samada berdasarkan gaji yang diterima ataupun perkadaran ilmu yang memang patut diterima oleh anak murid tersebut.

Para pekerja di pejabat yang telah dianugerahkan amanah juga perlu memastikan sukatan dan timbangannya di dalam tugas yang dilaksanakan adalah menepati pertimbangan yang sepatutnya.

Pelajar sekolah juga perlu memastikan sukatan dan timbangannya dalam menuntut ilmu tidak lari dari tuntutan ilmu yang baik kerana Allah, dengan perbuatan semasa menuntut ilmu juga tidak lari dari sukatan dan timbangan yang tepat.

Anak-anak, juga perlu memastikan sukatan dan timbangannya di dalam tanggungjawab kepada ibu bapa. Ibu bapa, juga perlu memastikan sukatan dan timbangannya adalah menepati kehendak Allah.

Pendek kata, semua manusia di dunia ini perlu memastikan sukatan dan timbangan masing-masing. Ini arahan Allah, dinyatakan berulang-ulang di dalam Al-Quran.
Sukat rasa di hati kita, adakah rasa-rasa mazmumah yang bersarang di dalam diri semakin membawa kita semakin jauh dari laluan menuju Allah.
Sukat kata-kata, supaya mulut tidak membawa kepada badan yang binasa. Setiap janji yang tidak tertunai menunjukkan kemunafikan kita, tanpa kita sedar.
Sukat perbuatan, supaya redha Allah sentiasa bersama kita.
Sukat harta kita, yang halal itupun masih pinjaman Allah di dunia. Masih bukan milik kita sepenuhnya, yang bila-bila masa akan diambil tanpa kita tahu waktunya.
Sukat tahap kepimpinan kita, kerana semua orang adalah pemimpin, di dalam organisasi masing-masing. Terlebih kepada pemimpin-pemimpin yang mentadbir sebuah negara.
Sukat amalan dan ibadat kita, adakah sudah cukup untuk dibuat bekal.
Sukat-sukat dan timbang-timbanglah diri kita, adakah laluan hidup kita ini menepati kehidupan yang diredhai Allah.
InsyaAllah, dengan menjaga sukatan dan timbangan dalam kehidupan kita, laluan yang kelam akan menjadi cerah. Redha Allah akan bertambah. Kehidupan di akhirat menjadi lebih mudah.

Dunia ini, hanya pinjam-pinjaman untuk sementara.


#Entri ini tidak ada kaitan dengan mana-mana logo parti yang sedang 'berjuang' sekarang ini.

28 February 2008

Lagu

Andrea Bocelli : secara tiba-tiba saya sudah jadi minat mendengar lagu penyanyi yang tidak boleh melihat ini.

Bukan kerana saya faham liriknya, tetapi kerana saya tertarik pada iramanya. Untuk pertama kalinya, saya tertarik pada irama, bukan pada senikata.


Sebelum ini, dan masih lagi, saya menggemari lagu-lagu nasyid. Saya suka mereka-reka cerita di sebalik setiap lagu yang saya dengar dengan cara menghayati senikatanya. Seronok mengingati pengorbanan Rabiatul Adawiyah, Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah melalui lagu. Apabila tiba lagu-lagu ketuhanan, lebih-lebih lagi ‘rasa’ yang hadir.

Pun, sebenarnya, saya akui saya jarang mendengar lagu-lagu. Saya lebih suka mendengar bunyi alam. Seronok bukan, dikelilingi burung-burung yang berkicauan, disapa angin sepoi-sepoi bahasa menyapu wajah, dikelilingi pohon-pohon hijau melambai-lambai, di tambah deruan air terjun yang menyamankan dan menghirup udara yang menyegarkan. Alangkah seronoknya.

Saya merindukan kehijauan dan alam yang menenangkan. Oksigen yang bersih dan ekologi sistem yang tidak terganggu.

Saya tidak suka asap kenderaan yang menyesakkan dan bunyi lori, kereta dan kapal terbang yang membingitkan. Karbon monoksida dan sulfur dioksida yang berleluasa merata-rata, dengan sinar ultraviolet yang merosakkan kulit.


Wajarkah pejabat saya ini jadi sebuah taman kecil dikelilingi tumbuh-tumbuhan dan air terjun buatan?

27 February 2008

Demam Pilihanraya

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Hari ini sudah 27 Februari 2008. Penamaan calon sudah lepas. Pada 24 Februari yang lalu. Muka-muka calon pun sudah diketahui. Kempen-kempen sudah bermula, dan sehingga hari ini sahaja, macam-macam janji telah ditabur – tujuan hanya satu, ingin meraih undi sebanyak mungkin untuk menempah tiket menjadi orang-orang penting mewakili para rakyat di dalam negara.

BN sudah menang 10 kerusi tanpa bertanding, dan PAS telah menang 1 kerusi juga tanpa bertanding. Alhamdulillah.

Masa inilah, kalau jalan berlubang dan minta diperbetul, pasti segera dapat. Tiang lampu dan tiang elektrik yang roboh juga boleh diperbaiki dengan segera, pada masa ini juga. Sekiranya mahu minta bantuan kewangan ataupun derma membina masjid dan surau pun, masa inilah boleh mendapat peruntukan dengan nilai yang banyak. Masa inilah masa keemasan untuk mendapatkan hak sebagai rakyat. Rakyat mendapat hak. Pemimpin mendapat undi. Hasilnya, perlu ditunggu selepas 8 Mac nanti. Selepas 8 Mac, kena tunggu 5 tahun lagi.

Dalam sibuk-sibuk balai raya-balai raya di kampung-kampung membuat ceramah pilihanraya, pemimpin yang tidak pernah ada masa menjenguk kampung-kampung di ulu dan ceruk-ceruk alam kerana sibuk dengan mesyuarat tiba-tiba menjengulkan muka, poster-poster pelbagai warna digantung merata-rata, saya teruja pada satu keadaan yang mengisi benak saya sekian lama. Pagi ini, saya mengalami lagi keadaan ini.

Saya tidak rasa marah, tetapi saya rasa terganggu dengan sikap pemandu di Kuala Lumpur yang menjadikan aktiviti membuang sampah melalui tingkap kenderaan sebagai satu hobi. Mungkin sebilangan rakyat Malaysia masih tidak prihatin pada kehidupan bermasyarakat agaknya. Hingga ke tahap ini, tidak ada lagi sebarang kemalangan melibatkan saya yang diakibatkan oleh sampah-sampah ini. Bagaimanapun, jangan bila sesuatu keburukan sudah terjadi, baru hendak dibendung. Lebih elok rasanya pencegahan dikuatkuasakan terlebih dahulu sebelum apa-apa bencana melanda. Praktis dalam Islam pun begini juga.

Sampah yang dibuang melalui tingkap kenderaan (majoriti yang saya lihat adalah pemandu-pemandu lori) berupa botol-botol air mineral, tin-tin minuman, pembungkus-pembungkus plastik makanan, kertas-kertas tisu dan pembalut kertas yang membungkus coklat.

Pada saya, orang yang gemar membuang sampah merata-rata ini langsung tidak mempunyai kehidupan yang tersusun. Hidup tidak mempunyai prinsip, malah kehidupan sehari-harinya berada dalam kelalaian dan kealpaan yang melampau. Mengapa saya boleh nyatakan begini?

Sukar sangatkah hendak mewujudkan satu ‘tong sampah di dalam kenderaan’ sekiranya akan menempuh satu perjalanan yang panjang. Setahu saya, coklat, air mineral dan air di dalam tin itu akan dibekalkan dengan ‘satu plastik’ dari penjual kepada pembeli. Lebih mudah menjadikan plastik itu sebagai ‘tong sampah’ dan kemudian apabila tiba di mana-mana destinasi, buang saja di dalam tong sampah yang berada di dalam kawasan tersebut. Malah, di setiap hentian rehat memang ada disediakan tong sampah yang banyak. Cara ini paling mudah. Tidak perlu beli tong sampah kecil yang harganya pun menjangkau RM10 dan akan mengganggu ruang keselasaan di dalam kenderaan.

Tidak perlu simpan sampah lama-lama di dalam kenderaan. Hasilnya memanglah memualkan sebab baunya yang meloyakan akan memenuhi kenderaan. Bukan saja perlu kreatif, orang yang berprinsip akan sentiasa rajin membersihkan ruang dalam kenderaan dari sampah-sampah yang berbau. Tapi, sukar sangatkah?

Jalan raya bukan hak individu. Pemandu kenderaan berat juga perlu berfikir bagi menjaga keselamatan pemandu-pemandu lain. Jangan hanya ingat kenderaan yang dipandu adalah besar, kita jadi alpa pada kenderaan-kenderaan lain yang lebih kecil. Kelajuan saja usah diambil kira. Kalau zaman saya kecil-kecil dulu, hendak mencari lori dan bas yang dipandu lebih laju dari kereta mungkin sukar. Zaman ini amat berbeza. Lori dan bas pula yang saling potong-memotong dan berada di lorong sebelah kanan. Malah, pengalaman saya sendiri mendapati pemandu-pemandu bas memandu dengan kelajuan 130 km/j dan pemandu-pemandu lori sehingga 120km/j. Patutlah sekarang ini banyak bas dan lori yang mengalami kemalangan. Undang-undang dan peraturan sudah jadi permainan orang yang ada kuasa dan wang.

Didikan tentang sampah, adab sopan dan perlu memikirkan hal orang lain amat penting dalam kehidupan setiap manusia. Sekiranya sampah pun tidak boleh diurus, apatah lagi ujian-ujian kehidupan yang lebih kompleks. Sebab itu wujud gejala arak, daun ketum, bohsia dan pelbagai lagi corak kehidupan negatif yang menjadi tunjang dalam kehidupan rakyat di Malaysia pada masa ini. Paling mengelirukan, sikap-sikap buruk dan menjengkelkan ini terdapat pada sebilangan besar generasi muda yang akan menjadi tonggak kepimpinan pada masa akan datang. Amat menyedihkan.

Seharusnya latihan dimulakan dari kecil. Terapkan bahawa ‘HANYA BOLEH BUANG SAMPAH DI DALAM TONG SAMPAH’ sahaja. Jika tiada tong sampah, masukkan sampah ke dalam kocek. Jika tidak ada kocek, masukkan ke dalam beg. Jika tidak ada beg, pegang di tangan sahaja. Jumpa tong sampah, baru buang sampah tersebut. Saya pernah memegang sampah di tangan selama dua jam. Bukan sampah besar, kertas yang terkoyak sedikit yang saya jumpa di atas lantai. Kerana tidak ada tong sampah, kertas itu saya pegang sehinggalah saya berjumpa tong sampah dua jam selepas itu.

Urusan dalam rumahtangga sebenarnya juga berdasarkan prinsip yang sama. Mungkin kerana ia pernah melibatkan bidang tugas saya sebagai pelaksana bagi projek-projek pembangunan, serba sedikit ‘masalah biasa’ yang melibatkan sikap manusia menjadikan saya berfikir tentang hal ini. Sikap, adalah puncanya.

Semua rumah ada sinki dapur. Ini saya memang amat pasti. Namun, berapa keratkah di antara suri rumah yang tidak pernah mengalami masalah sinki tersumbat. Sinki tersumbat juga disebabkan sikap negatif. Cetusan rasa saya ini agaknya kedengaran pelik. Sinki dapur, sama saja konsepnya dengan ‘floor-trap’ di ruang mandi. Konsep sinki dan ‘floor-trap’ hanyalah mengalirkan air buangan dari dapur dan dari bilik mandi ke ‘main-drain’. Hanya air, bukan sampah.

Sebelum membasuh pinggan, periuk, cawan, gelas dan segala macam peralatan dapur yang kotor, segala sisa-sisa makanan perlu dihilangkan dan dimasukkan ke dalam tong sampah terlebih dahulu. Jangan buang semuanya ke dalam sinki dan memaksa sinki untuk menjadi tong sampah kedua di rumah. Kalau satu dua biji nasi, itu masih boleh dipertimbangkan. Itupun, seminggu sekali sinki-sinki dapur itu perlu dicurahkan air panas bagi membersihkan sisa-sisa minyak yang melekat di dinding-dinding saluran tersebut. Bukankah semua rakyat Malaysia akan menggunakan minyak dalam masakan seharian? Kalau tidak menggoreng pun, santan juga merupakan makanan yang berunsur minyak.

Sama juga dengan bilik mandi. Segala macam benda yang berunsur bahan pepejal, jangan dimasukkan ke dalam saluran pembuangan air tersebut. Memanglah lebih mudah, hanya sapu dan biarkan ia mengalir bersama air. Bagaimanapun, dengan kadar hanya satu hari sehelai rambut pun, selepas sepuluh tahun, saluran air di bilik mandi itu pun akan tersumbat. Apabila masalah timbul tentang saluran air yang tersumbat, dikatakan pula pembinaan tidak mengikut spesifikasi. Malah, disarankan laluan air di bilik mandi juga dicurahkan air panas seminggu sekali.

Perlu diingat, nama pun paip air dan saluran air, bukannya saluran sampah dan paip sampah. Sebenarnya, sukar juga hendak memastikan didikan tentang sampah ini dipraktikkan. Ini kerana sikap suka membuang sampah merata-rata ini sudah berakar umbi di dalam diri.

Semuanya berdasarkan sikap. Jika sikap kita betul, semua yang sukar juga akan menjadi mudah. Malah yang lebih sukar dapat dipermudahkan dengan lebih mudah. Keadaan yang dilalui seharian membuktikan perubahan sikap amat penting dalam mewujudkan kejayaan tanpa batas dalam setiap individu, agama, bangsa dan seterusnya untuk negara. Apa saja di dunia ini berkaitan dengan sikap.

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sekiranya kaum itu sendiri tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka.”

Mintalah doa kepada Allah supaya sikap kita boleh diubah kepada sikap yang lebih baik, insyaAllah.