22 August 2007

Dunia Kecil Kami 1

Kanak-kanak berlarian di tepi bangunan tadika di suatu petang sewaktu saya sedang berhenti di sebuah lampu isyarat di Bandar Baru Bangi. Saya tersenyum sendiri. Indahnya menjadi kanak-kanak. Pada usia itu, mereka masih tidak memikirkan apa-apa di minda mereka. Hanya memikirkan ibu, ayah dan diri sendiri sahaja. Indahnya menjadi kanak-kanak.

Pun, zaman itu memang akan ditinggalkan. Tidak selamanya kita menjadi bayi yang comel dan dibelai oleh semua orang. Di luar sana, ada cabaran lain yang menanti kita. Peningkatan umur menjadikan peningkatan kepada tanggungjawab, masalah, ujian, nikmat, rezeki dan pelbagai lagi kemelut yang akan menghiasi keseluruhan kehidupan kita.

Hidup ini, kita yang melaluinya dan kita akan merasainya. Apa yang tidak kita lalui, mungkin akan kita perolehi melalui pemerhatian, pemberitahuan, pembacaan ataupun pelbagai lagi sumber yang lain. Pun, itu semua cuma akan menjadi satu ilmu yang tidak akan kita rasai sehinggalah kita pernah mengalaminya sendiri. Kita boleh nampak air mata yang mengalir, tapi kita tak akan dapat merasakan keperitan setitis air mata yang mengalir tanpa paksaan sehinggalah bahu kita turut menanggung segala kemelut itu.

Pengalaman dan perasaan menghadapi pengalaman yang akan mendewasakan kita. Pelbagai perasaan akan wujud, dan saat itu barulah kita belajar apakah manisnya rasa sedih, apakah pahitnya rasa gembira, apakah indahnya rasa diabaikan dan apakah makna sepi walaupun dikelilingi oleh ramai orang di sekitar kita.

Itulah dunia kita. Dunia yang di dalamnya ada pelbagai rasa. Perasaan itu hanya kita yang pernah merasainya akan tahu, dan akan faham.

Andai bercinta, keindahan di alam percintaan itu hanya dirasakan bagi yang pernah merasakannya. Kemelut di dalam percintaan, jua pada yang pernah merasakannya. Putus cinta, jua pada yang pernah merasakannya. Tidak ada istilah faham dan tahu melainkan pada yang pernah merasakannya.

Sesekali saya cuba menyelami rasa hati teman-teman yang bercinta dan putus cinta, pun kata teman-teman, pedihnya masih belum sampai ke ulu hatimu sehinggalah kau mengalami dan merasakannya sendiri. Keindahan masa bercinta jua, saya memang tidak pernah merasakannya. Indah itu pada saya hanya ada pada sebuah rindu yang telah saya simpulkan dengan erat, hanya pada yang satu. Tidak ada yang lain.

Sesekali hal ini mengusik benak dan minda saya. Minda saya yang beku dari menilai perasaan untuk seorang manusia. Pada saya, semua orang adalah sahabat. Semua orang adalah teman. Tidak ada yang istimewa, kerana semuanya adalah istimewa. Persahabatan dan silaturrahim yang terjalin itu sendiri telah sedia istimewa, sebuah hubungan istimewa antara sesama manusia, rasa istimewa yang dihadirkan di hati hanya kerana Dia.

Saya tidak mahu mengusik rasa istimewa yang telah wujud sejak dulu. Tiada manusia yang berbeza kerana kita telah dicipta sebegitu rupa dengan sangat adil. Bezanya jua, hanya pada taqwa, yang kita sendiri tidak mampu menilainya dengan mata kasar kita, kerana rasa yang satu itu hadir dari hati, yang kita tidak ada kekuatan dan kemampuan untuk menilai semua itu. Itulah rasa istimewa di dalam diri saya, kesemuanya istimewa kerana rasa syukur itu perlu diwujudkan pada setiap inci di dalam kehidupan kita. Rasa syukur yang sangat istimewa untuk Dia yang terlalu istimewa. Tidak ada yang lain.

Sebuah rasa yang istimewa. Perit, pedih dan duka jua adalah rasa yang istimewa. Pengalaman hidup yang menerbitkan rasa insaf, kerdil dan ingat kepada yang lebih berkuasa. Rasa kehambaan yang akan wujud hanya bila kesusahan melanda perlu dikikis jauh-jauh, kerana diri kita adalah hamba pada setiap masa dan ketika, bukan hanya pada masa duka, dan tidak jua pada masa suka. Wajarnya, syukur dan taqwa itu kita simpulkan di hati agar hati kita akan menjadi hati-hati yang bercahaya. Hati yang tidak lalai, dan sentiasa mengingati Dia.

No comments: