13 September 2007

Ramadhan Ini

Assalamualaikum warahmatullah…

Menjelang malam 1 Ramadhan 1428H. Kereta bersimpang siur di sepanjang jalan raya. Saya tidak pasti, mengejar solat Maghrib atau baru pulang dari kerja. Tidak ada suasana yang berbeza.

Melepasi laluan ke Bangi, berhampiran dengan MFI, barulah wujud suasana yang berbeza. Berdedai beberapa anak gadis cuba melintas jalan menuju ke masjid di tepi lebuhraya Utara-Selatan. Saya pula, masih di dalam kereta, bersama badan yang letih dan mata yang hendak tertutup.

Saya terus memandu hingga tiba di sebuah masjid di Bandar Baru Bangi. Alhamdulillah. Masih ada ruang untuk meletak kereta. Jemaah sudah ramai. Saya hanya menyusup di sebalik pintu masuk dan segera duduk berhampiran dinding. Saat-saat menunggu azan Isya’, saya menjadi pemerhati seperti biasa.

Di sisi saya ada dua orang anak kecil. Berusia dalam lingkungan 3 dan 4 tahun agaknya. Si abang berlari di sekitar jemaah, si adik pula baring sambil menghisap botol susu di hadapan saya. Saya hanya tersenyum, segera terbayang anak-anak saudara saya yang tidak sempat saya jumpa pada hari ini.

Di sekitar, nampak wajah-wajah yang ceria menyambut ketibaan Ramadhan. Indahnya Ramadhan. Ruang jemaah wanita juga menjadi semakin penuh, malah ada yang mengambil keputusan untuk bersolat di tingkat atas. Ruang yang penuh itu, mengingatkan saya pada sesuatu.

Ruang di masjid itu. Saya sering ke masjid itu, jika saya tidak pergi berjogging selepas kerja, untuk singgah solat Asar sebelum pulang ke rumah. Ironinya, saya gemar singgah solat di mana-mana masjid. Selain dari menghayati keindahan ruang masjid dan rekabentuknya, masjid sering menjadikan saya ingat. Ingat akan Allah, ingat akan mati. Walau apa pun mesej yang tiba, masjid tetap akan membawa kita untuk mengingati Dia. Walau pun hanya sepicing cuma. Itu salah satu keistimewaan menjadi masjid.

Pun, biasanya, ruang yang penuh itu sentiasa saja kosong, sepanjang tahun. Biasanya, saya berseorangan di dalam masjid itu untuk solat Asar. Kalau nasib sedikit baik, ada dua atau tiga orang jemaah lain yang datang bersolat di situ. Ruang yang sentiasa hening, dan sunyi. Apabila waktu Maghrib menjelang pula, kadang-kadang akan ada lebih kurang setengah saf jemaah wanita yang bersolat di situ. Biasanya, hanya ada lebih kurang tiga, empat, lima orang jemaah wanita sahaja. Jemaah lelaki, tidak pula saya pernah kira.

Alhamdulillah, indahnya Ramadhan dan diberkati olehNya, ruang yang sunyi dan hening itu menjadi sesak pada bulan ini. Bulan puasa. Malah, tingkat atas yang jarang digunakan juga sudah mula digunakan. Walau hanya setahun sekali. Walau hanya di awal Ramadhan. Walau hanya di waktu solat Isya’ di bulan Ramadhan. Walau hanya di 8 rakaat terawal di Solat Terawih. Masjid itu kini berpenghuni. Masjid itu kini sesak, walhal ruang itu selalu saja kosong, sepanjang tahun.

InsyaAllah. Masjid itu akan sesak lagi malam ini. Untuk menghayati dan menilai diri di bulan Ramadhan. Untuk beribadat kepadaNya yang Maha Esa. Untuk bermuhasabah, merenung dan membetulkan diri yang telah menjalani kehidupan di luar bulan Ramadhan.

Ramadhan, mungkinkah bulan-bulan yang lain mencemburuimu?

Selamat Menyambut Ramadhan yang mulia. Semoga kita sentiasa diampunkan olehNya, diredhai olehNya dan dikekalkan dalam iman yang kukuh, walaupun selepas Ramadhan ini.

InsyaAllah.

No comments: