01 June 2006

Outstation 1

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Alhamdulillah, baru masuk semula ke pejabat pada hari ini. Dari hari Isnin hingga hari Rabu, kena pergi ke Pantai Timur atas urusan kerja. Mulanya perancangan memang nak kena pergi seorang diri, tapi...alhamdulillah...tiba-tiba, ada teman pula.

Pagi Isnin yang lepas, 29 Mei 2006. Bangun agak lewat juga, pun...alhamdulillah....sempat untuk solat Subuh. Mungkin sebab malam tadi, hari Ahad, dahlah tiba di rumah dalam pukul 10 malam selepas seharian 'mengajar', selepas tu melayan pula 'anak-anak' yang ada di rumah. Walau sudah menginjak ke pukul 11 malam, masing-masing masih belum tidur lagi. Si kecil Ameerah saje yang dah tidur selepas abi dan uminya mengambil adik kawan abinya di LCC. Sempat juga menegur adik kawan abang yang tumpang bermalam di rumah. Abang dan kakak, rumah mereka sering mempunyai tetamu, ramai benar yang rajin berkunjung dan tumpang bermalam, personaliti dan sikap mereka agaknya yang membuatkan kawan-kawan dan saudara mara gemar datang, menginap ataupun sekadar tumpang bermalam.

Pagi Isnin, selepas berbual dengan abang dan kakak dan bersarapan, saya segera mandi. Melayan 'anak-anak' yang hendak mengikut outstation. Berjanji untuk membawa mereka pulang ke kampung hujung minggu nanti (esok kot..). Bersiap dan sempat menumpangkan adik kawan abang, Nani ke komuter. Hendak bekerja katanya. Orangnya tinggi lampai, kata-katanya lembut tapi nampak agak malu-malu. Alhamdulillah, bila melihat Nani sudah menuju ke arah komuter, barulah memandu terus menuju ke bengkel untuk servis kereta. Paparan di meter sudah menunjukkan ke angka 60264.

Tiba di bengkel yang sudah lama tidak dikunjungi (dah berpindah tempat pun), sempat menegur kakak-kakak di bengkel seolah-olah teman kenal lama, walhal silaturrahim itu terhubung hanyalah kerana pergi ke bengkel tersebut untuk servis kereta sahaja. Ada sesekali terjumpa di pasaraya sekitar bandar tersebut pun masih boleh kenal dan tegur menegur di antara satu sama lain. Indahnya silaturrahim.

Lebih kurang satu jam selepas itu, barulah siap servis. Dalam hati agak risau dengan tayar kereta yang dah semakin teruk, cuma masa yang membataskan untuk menukar tayar. Pun, hanya doa....dan tawakkal dipanjatkan padaNya. Melepasi saja tol, Ya Allah...permudahkan urusanku dan lapangkan perjalananku dari gangguan yang tidak diingini. Ya Allah, bantulah hambaMu ini di dalam musafirku kali ini...Amin.

Perjalanan di teruskan untuk mengambil dua orang 'teman' yang hendak bermusafir bersama. Alhamdulillah, walaupun terdapat sedikit masalah dari segi masa, perjalanan agak lancar dan dapat tiba di tapak kerja lebih kurang dalam pukul 3.00 petang. Pemeriksaan segera dijalankan (frust dalam hati tengok hasil kerja yang nampak elok walau hakikatnya tentu tidak elok nanti...takut masalah lain akan timbul) dan berjumpa beberapa teman kerja di tapak kerja.

Lebih kurang dalam pukul 5 petang, perjalanan di teruskan ke hotel. Masuk saja ke bilik, solat jama' dan kemudian kata teman-teman, saya terus tumbang. Terlalu penat dan panasnya cuaca agaknya. Pun, tidak berapa minit kemudian, kami semua bersiap untuk pergi makan malam. Baru hendak makan, merangkap makan pagi dan tengahari. Tidak sempat dan kesuntukan masa, pun....alhamdulillah. Hati rasa terlalu tenang. Sehari telah berlalu, dan tiada gangguan hati. Inikah kedamaian agaknya? InsyaAllah...

No comments: