18 July 2006

Yang itu dunia, yang ini akhirat.

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Pagi semalam (17 Julai 2006) - baru saya sedar, entri saya asyik tidak menepati tarikh. Hari ini, saya ungkapkan yang semalam. Yang semalam, saya ungkapkan untuk minggu lepas. Agaknya saya ini tidak pandai mengurus masa - ayat negatif lagi! (dan saya tersenyum sendiri)

Buru-buru juga saya ke pejabat kerana sedikit terlewat. Kerana mesyuarat yang perlu dihadiri, dan kerana saya sendiri yang mengkoordinasi mesyuarat tersebut, saya perlu akur untuk hadir - rasa dahi dan terasa panas, aduh...saya demam lagi! Itu dunia, dan yang itu untuk tinggal di dunia, dan dengan iman, ikhlas dan ihsan, insyaAllah 'yang dunia' itu akan jadi ibadat. Ibadat itu untukNya, dan bukan untuk saya, kerana saya tinggal 'percuma' di sini - memetik sedikit ucapan Ustaz Zawawi pagi tadi.

Yang 'percuma' itu yang sering kita tidak sedar.

Mungkin agaknya kalau begini, sekali 'dosa kecil' kita buat, Dia ambil satu jari kelingking kita. Sekali 'dosa besar' pula, Dia ambil satu tangan kita. Dan setiap kali 'dosa kecil' dan 'besar' berulang-ulang kita lakukan, akhirnya kita tidak tinggal apa-apa pada badan. Mata sudah tiada, tangan, kaki, telinga, mulut, hidung, organ dalaman badan, semuanya tiada. Baru kita tahu betapa selama ini rahmat Allah amat besar.

Tak sedar, mana dunia, mana akhirat. Tak sedar, yang dunia itu untuk akhirat. Tak sedar, yang untuk akhirat, ada jua imbuhannya dari Allah semasa di dunia. Tak sedar, kalau nyawa sudah sampai di rengkungan, tiada taubat yang mampu dipanjatkan padaNya.

Sering kita tidak sedar, di penghujung dunia, tiada apa-apa, tapi di penghujung kehidupan, kain kapan putih itu sajalah yang kita akan bawa. Tiada selainnya. Jika dunia kita hanya dunia, dan akhirat...kita alpa.

Untung-untung hanya di dunia.

2 comments:

Jong said...

salam,
yang semalam jadi hari ini, yang hari ini jadi semalam...jangan terikat oleh masa untuk perjuangan :) !!!

rashinina said...

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Saya tidak tahu blog saya ada pengunjung. Terima kasih kerana sudi memberikan ulasan.

InsyaAllah - masa untuk perjuangan sering tidak terbatas kerana di setiap saat adalah ibadah dan di setiap ibadah itu ada perjuangan.

Terima kasih.