21 May 2008

Duniaku Buku

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Saya sudah kembali normal, sejak balik dari percutian panjang yang melegakan minda. Saya tahu, saya sudah kembali normal kerana ‘kegilaan’ saya membeli dan membaca buku telah kembali semula ke dalam diri saya.

Pada minggu lepas, saya sempat pergi ke dua buah kedai buku. Kedai buku pertama, saya pergi pada hari Sabtu. Saya membeli 3 buah buku berkaitan agama dan sebuah CD bacaan Al-Quran.

Pada hari Isnin, saya membeli 4 buah buku pula di sebuah kedai buku yang lain. Sebuah karya penerbitan Jemari Seni, sebuah karya penerbitan Alaf 21, sebuah buku berkaitan pemikiran bangsa Cina dan sebuah buku lain berkaitan dengan perlembagaan dan pemikiran rakyat Malaysia.

Dua tiga kali saya membelek-belek dan memegang buku-buku tersebut. Lantas, tanpa berfikir apa-apa lagi, saya terus menuju ke kaunter dan membayar harga-harga buku tersebut. Kalau diukur dan disukat, dalam masa sebulan, paling kurang saya akan menghabiskan lebih kurang sebanyak lima ratus ringgit Malaysia hanya untuk membeli buku-buku. Itu ‘kegilaan’ saya pada buku-buku. Pada saya, buku adalah ‘sahabat paling baik yang tidak akan pernah meninggalkan kita, walau apapun yang terjadi’.

Malam tadi, saya sempat membelek buku pemikiran bangsa Cina dahulu. Itupun, setelah saya membasuh baju, memasak, melipat baju, menggosok baju, dan setelah saya membalut buku-buku ini.


Buku-buku ini telah lama saya beli, rasanya sejak 3 bulan yang lalu, dan telah saya baca pun. Kesibukan menjadikan saya tidak sempat membalut kesemuanya, walhal sebelum ini, setiap kali membeli buku-buku, saya akan balut kesemuanya terlebih dahulu, kemudian barulah saya akan membacanya. Oleh kerana buku-buku saya yang kesemuanya berbalut, apabila anak jiran di sebelah rumah datang untuk meminjam buku-buku saya, dia sering bertanya bilakah saya membeli buku-buku tersebut, kerana buku-buku tersebut masih nampak sangat baru, walhal buku-buku itu ada yang usianya sudah masuk tahun ke-6 pun (selain dari buku-buku pelajaran, ‘kegilaan’ saya membeli buku- buku selain pelajaran hanya bermula setelah saya mempunyai pendapatan sendiri).

Saya sangat sayangkan buku-buku saya. Buku-buku tersebut telah saya kelaskan mengikut kategori : buku-buku agama, novel Melayu, novel Inggeris, buku-buku motivasi, kamus-kamus dan buku-buku kanak-kanak, serta bacaan pelbagai - rumah saya sudah jadi ala-ala perpustakaan. Malah, untuk buku-buku yang saya pinjam dari kawan-kawan, juga ada ruang untuk itu di rak-rak buku saya. Usai saya membacanya, saya akan memulangkan pada kawan-kawan yang telah saya pinjam apabila berjumpa dengan mereka.

Buku, ibarat peneman saya di waktu lapang. Walau sekadar 10 minit, saya akan segera menarik mana-mana buku di dalam beg (selalunya, saya akan bawa dua buah buku di dalam beg sandang saya ke mana-mana saya pergi), dan pada waktu terluang itu akan saya isi dengan membaca. Malah, sekiranya tidak ada buku-buku pun, lebih kurang 45 buah fail e-book di dalam PDA saya amat membantu (karya-karya Harun Yahya terutamanya).

Sekadar membaca, memang amat mudah. Namun, selalunya saya akan menjadi ‘penganalisa tanpa gaji’ di setiap kali saya melakukan proses pembacaan. Kerana itu, terkadang proses membaca satu buku ilmiah akan mengambil masa lebih kurang 1 minggu, 2 minggu atau sehingga 1 bulan. Namun, otak anugerah Allah ini amat saya hargai, kerana pemikiran yang baik dan pelbagai akan menjadikan minda lebih matang dan faham tentang pelbagai konsep hidup – konsep seorang khalifah.

Hidup, tidak selalunya indah. Pun, yang tidak indah itu pun, sebenarnya sangat indah dengan kasih sayang Allah. Allah sudah punya perancanganNya sendiri untuk segala kejadian yang berlaku. Ingatlah, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua kejadian. Usaha + doa (tawaqal) dan redha padaNya, insyaAllah Dia akan meredhai kita. InsyaAllah.

No comments: