20 May 2008

Selamat Hari Guru


Assalamualaikum warahmatullah...

Pagi hari Jumaat yang indah. Huluran tangan kecil itu saya sambut, “Selamat Hari Guru…”. Saya teruja, senyum dan segera mencium kedua-dua pipinya. Salah seorang anak murid saya, yang saya ajar malam tadi, dengan pakaian sekolah dan tudung labuhnya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada saya.

Di sepanjang perjalanan menyusuri Lebuhraya Persekutuan menuju ke pejabat, saya mula teringat kepada zaman persekolahan saya.

Di zaman sekolah rendah, ada seorang guru yang amat saya ingati sehingga hari ini. Cikgu Ibnu Hajar bin Mohd. Taha. Seorang guru Matematik yang sangat sabar. Setiap kali saya dapat menjawab soalan yang diberikan, dia akan menepuk-nepuk bahu saya.

Sebenarnya, saya bukanlah seorang pelajar yang agak agresif semasa di zaman persekolahan. Semasa di sekolah rendah, saya merupakan seorang pelajar yang sangat pendiam. Agak banyak bercakap, hanya untuk topik yang saya tahu sahaja. Apabila tersilap sesekali, saya jadi panik dan terus tidak mahu mencuba. Saya rasa, semasa di zaman sekolah rendah ini, pemikiran saya sangat negatif. Walaupun mendapat peluang untuk naik ke pentas bagi mengambil hadiah semasa Darjah 1 lagi, saya jadi tidak yakin samada benar-benarkah saya akan diberikan hadiah, sedangkan hakikatnya hadiah itu memang untuk saya. Saya tidak ada keyakinan kepada diri sendiri yang melampau. Hinggalah apabila mendapat keputusan peperiksaan UPSR, barulah keyakinan diri saya mula wujud sedikit demi sedikit.

Subjek Matematik menjadi subjek kegemaran saya sejak di sekolah rendah lagi. Saya sukakan nombor-nombor, dan mulai dari Darjah 2, saya sudah mula mengenali perpustakaan sekolah sehinggakan keputusan peperiksaan saya mulai merosot pada Darjah 3 kerana asyik membaca buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan. Selalunya, kedudukan nombor di dalam kelas yang menjadi milik saya hanyalah nombor 1 hingga 3 sahaja, tetapi saya telah memperolehi nombor 7 semasa Darjah 3, kedudukan paling teruk semasa di sekolah rendah. Rupanya, ini menjadi penyuntik semangat saya sehingga kini bahawa sikap suka main-main semasa belajar memang tidak boleh diamalkan sama sekali.

Subjek Bahasa Inggeris pula menjadi subjek yang paling saya tidak suka. Saya amat lemah di dalam Bahasa Inggeris sehinggakan saya tidak pernah faham penggunaan ‘his’ dan ‘her’ ataupun ‘a’ dan ‘the’, sedangkan saya sudah menginjak ke Darjah 5. Keputusan Bahasa Inggeris sangat teruk, tapi Allah sayangkan saya dengan memberikan keputusan yang agak baik di dalam UPSR. Alhamdulillah. Dengan keputusan itu, saya berpeluang ‘keluar’ dari kampung dan tinggal di asrama pula.

Semasa di sekolah menengah, saya menjadi lebih pendiam. Terlalu rendah diri yang melampau. Pun, Allah membantu saya lagi dengan memberikan keputusan peperiksaan terbaik, Alhamdulillah. Keyakinan yang dipinjamkan Allah membawa saya mendapat keputusan peperiksaan yang agak baik semasa peperiksaan SPM.

Semasa di sekolah menengah juga, saya masih mengingati seorang guru yang amat saya kagumi sehingga hari ini. Cikgu Matematik Tambahan saya, Puan Phua Bee Yong. Saya belajar dengan Puan Phua semasa di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Malah, saya masih ingat semasa mengambil keputusan peperiksaan SPM di sekolah, dia melihat keputusan subjek Matematik Tambahan saya dan dia tersenyum. Semasa saya mengambil sijil SPM saya pula, hampir satu tahun setengah selepas itu, saya bertemunya sekali lagi. Apabila saya menyatakan yang saya sudah berada di universiti di dalam bidang kejuruteraan, dia menepuk-nepuk bahu saya dan berkata : cikgu juga yang masih menjadi seorang guru, anak-anak murid sudah ada masa depan yang lebih baik.

Dulu, saya tidak tahu makna kata-katanya. Tetapi kini, apabila saya sudah mempunyai anak-anak murid sendiri, saya mula faham dengan apa yang dituturkannya. Selama hampir 8 tahun saya mengajar dengan bilangan anak-anak murid yang menghampiri ke angka 90 orang, dan banyak yang sudah berjaya di dalam bidang yang pelbagai, saya mula faham erti kata-katanya sebelum ini.

Guru, tempatnya tetap di hati. Tanpa guru-guru, saya tidak akan tiba ke tahap ini. Alhamdulillah, kerana Allah telah menganugerahkan insan-insan yang baik di sekitar kehidupan saya.

# Entri ini telah saya siapkan pada 16 Mei 2008. Selamat Hari Guru kepada semua pendidik. Semoga melahirkan anak didik-anak didik sebagai penyambung generasi yang diredhaiNya, insyaAllah.

No comments: