30 May 2008

Kawan Lama

Assalamu'alaikum warahmatullah...

Semasa saya sedang memandu dan berhenti di lampu isyarat, semalam, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi hon kereta di sebelah saya. Tangan kanan saya masih memegang stereng, dan di tangan kiri pula ada handphone yang masih 'on' speakernya. Saya sedang bercakap dengan seorang kawan pada waktu itu. Itulah, saya tidak menggunakan 'headset' kerana sejak 'bluetooth headset' saya hilang di sebuah hotel semasa sedang menghadiri seminar di Ayer Keroh, Melaka pada Disember tahun lepas, saya tidak pernah membeli 'headset' yang baru.

Bukannya saya tidak mahu, tetapi saya mahu mengingatkan diri saya bahawa 'meninggalkan barang-barang berharga di dalam bilik hotel dan pergi bersuka ria adalah sangat berbahaya' dan tidak akan saya lakukan lagi di masa-masa akan datang. Peliknya, 'headset' dan sebuah 'pen drive' sahaja yang hilang, walhal ada laptop, PDA, handphone dan beg duit saya di dalam beg semasa saya tinggalkan di dalam bilik hotel untuk bermain ping-pong bersama kawan-kawan di tepi swimming pool pada waktu petang setelah usai seminar. Itulah satu-satunya kes kehilangan di hotel yang pernah saya alami sendiri walaupun pelbagai hotel telah saya pergi di sekitar Malaysia. Paling bagus, kehilangan itu cuma saya sedari setelah saya berada di Kuala Lumpur. Malah, lebih hebat lagi apabila seorang rakan sekerja juga mengalami kehilangan 'pen drive' di hotel yang sama, pada masa yang sama. Aduhai...pelbagai cara orang hendak mendapatkan duit. Itulah, kerana 'bluetooth headset' yang original dan mencapai harga sehingga enam ratus ringgit Malaysia itu, saya tidak mahu menggantikannya dengan yang baru. Jadi satu kenangan, untuk saya pelajari - perlu lebih berhati-hati apabila pergi menginap di hotel - hmm, hari ini pun kena tidur di hotel lagi....

Jadi, saya pandang kereta di sebelah saya. Seorang wanita. Eh, macam kenal! Terus saya buka tingkap kereta di sebelah kiri dan, wanita itu sudah tersenyum lebar melihat saya. Dalam hati terdetik, berapa tahun saya tidak berjumpa kawan saya ini, di mana kali terakhir berjumpa, dan paling pasti, apa namanya. Aduhai...saya ini memang gagal dengan memori untuk mengingati nama orang...pada saya nombor panjang-panjang lebih mudah untuk diingati berbanding nama. Mujurlah rupa saya mudah diingati, tidak ada perubahan ketara dari dulu sampai sekarang, kerana kebanyakan kawan-kawan saya sudah menjadi semakin anggun sekarang ini (smile!). Dia terus bertanyakan nombor telefon saya, sebelum lampu isyarat menjadi hijau semula. Selepas itu, barulah dia menghubungi saya, sebaik sahaja saya telah tiba di rumah. Masa itu, baru saya berjaya mengingatinya. Kawan di universiti rupanya, jurusannya berbeza dengan saya. Dia dalam kejuruteraan mekanikal, dahulu. Memang ramai kawan-kawan di universiti yang lama benar saya tidak berjumpa. Sementelah, masing-masing sudah ada dunia sendiri dengan pelbagai rencah dan manisan.

Rasa nak melompat sebenarnya apabila melihat kawan lama saya berada di dalam kereta sebelah. Mujurlah dia hendak menghala ke Seremban dan ada urusan penting, kalau tidak saya akan paksa dia singgah di rumah saya. Kawan, bertahun tidak berjumpa, apabila berjumpa semula, serasa dunia menjadi sekecil tapak tangan. Saya amat merindukan kawan-kawan saya. Semoga Allah merahmati dan meredhai semua orang-orang di sekitar saya, dianugerahkan bahagia dan kesihatan serta kemudahan berpanjangan, insyaAllah.

*********

Tahniah juga kepada seorang sahabat saya kerana keputusan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran untuknya telah diluluskan. Saya tumpang gembira, dan semoga ada juga rezeki di tahun-tahun akan datang, insyaAllah.

Paling pasti, Allah punya perancangan tersendiri yang kita tidak tahu. Pasti ada hikmah dariNya untuk sebuah 'kehilangan' yang baru berlaku. Semoga ketabahan akan sentiasa mengiringi sahabat saya ini. Salah seorang sahabat yang amat rapat dengan saya, semoga Allah sentiasa meredhai, merahmati dan memudahkan urusannya, insyaAllah.

No comments: