05 August 2009

Teladan Rasulullah SAW

Memang banyak yang saya dapat lakukan dalam seminggu ini. Membaca dan membelek majalah lama yang sebelum ini hanya dapat dibaca ala kadar sahaja juga merupakan salah satu aktiviti saya. Lalu, saya terjumpa artikel di bawah ini dari majalah Nur keluaran Mei 2009 yang saya rasa sangat bagus untuk saya kongsikan bersama semua pembaca.

Abu Salman bin Abdul Rahman bertanya kepada ulama Abu Said al-Khudri : "Apakah pendapat tuan mengenai pakaian, makanan, minuman dan kenderaan yang dimiliki manusia?"

Abu Said berkata :"Hai anak saudaraku, makanlah kerana Allah, minumlah kerana Allah dan berpakaianlah kerana Allah. Setiap perkara itu yang diresapi sikap ujub, bangga, riak atau megah, maka ia jadi maksiat yang berlebih-lebihan. Di rumahmu, lakukanlah kerja rumah seperti yang Rasulullah lakukan.

Baginda memberikan untanya makan, mengikat unta, membersihkan rumah, memerah susu kambing, membaiki kasut, menjahit baju yang koyak, makan bersama pembantu rumahnya, menumbuk tepung, menggantikan kerja pembantu sekiranya mereka terlalu penat dan membeli barang di pasar.

Kerja itu dilakukan tanpa rasa malu. Dia letakkan dengan tangannya atau di tepi kainnya. Baginda juga melayani keluarganya, berjabat tangan dengan orang miskin dan orang kaya.

Baginda memberi salam dengan mendahuluinya kepada orang yang ditemui, baik orang kecil atau orang besar, orang hitam atau orang merah, orang merdeka mahupun hamba dari kalangan orang yang mengerjakan solat.

Baginda tiada pakaian khas untuk dipakai di luar rumah atau di dalam rumah. Baginda berkenan menerima undangan walaupun yang mengundang itu rambutnya kusut dan berdebu serta tiada apa-apa melainkan kurma buruk. Baginda tidak meninggalkan makanan siang untuk makanan malam dan tidak meninggalkan makanan malam untuk makanan siang.

Baginda mudah perbelanjaannya, lembut akhlaknya, mulia tabiatnya, luas pergaulannya, bersih wajahnya, tersenyum tanpa ketawa, bimbang tanpa duka, keras tanpa kekasaran, tawaduk tanpa menghina, pemurah tanpa berlebihan, pengasih kepada setiap keluarga dan orang Islam, suci hatinya, selalu menundukkan kepala, tidak pernah kenyang perutnya dan tidak rakus."

Abu Salman bin Abdul Rahman berkunjung pula ke kediaman Saidatina Aisyah untuk bertanya sendiri kesahihan cerita Abu Said.

Kata Aisyah :"Tidak salah apa yang dikatakan Abu Said. Beliau telah meringkaskannya kerana tidak menceritakan bahawa Rasulullah tidak pernah sekali kenyang dan tidak mengadu halnya kepada seorangpun. Sesungguhnya baginda lebih menyukai kemiskinan berbanding kesenangan walau baginda selalu lapar semalam-malaman sehingga pagi. Begitu pun, itu tidak menghalangnya daripada berpuasa siangnya. Sekiranya baginda meminta daripada Allah, tentulah akan dikurniakan bergudang-gudang kekayaan.

Kadangkala aku menangis kerana kasihan Rasulullah yang kelaparan. Maka aku sapu perutnya dengan tanganku lalu berkata, Nyawaku tebusan bagi engkau. Jika engkau dicukupkan dengan dunia sekadar menjadi makanan engkau dan mencegah engkau daripada lapar.

Jawab Rasulullah padaku, Hai Aisyah, saudara-saudaraku dari Nabi Ulul Azmi telah bersabar menanggung situasi yang lebih berat daripada ini. Mereka tetap dengan keadaan mereka. Mereka datang kepada Tuhan, lalu Allah muliakannya kembali dan membanyakkan pahala mereka.

Maka aku malu jika aku bermewah-mewah dengan hidupku, maka Allah memandang aku sebagai manusia cuai, sedangkan Nabi Ulul Azmi itu tidak. Oleh itu bersabar selama beberapa baik lebih baik daripada tidak beroleh keuntungan hari akhirat. Tiada yang aku sukai melainkan untuk menyusul saudara-saudaraku itu."

No comments: