21 December 2009

Cuti Yang Best!

Kata abang saya : London dan Paris yang jauh berpuluh ribu kilometer boleh pergi, pantai yang dekat dengan rumah di kampung pun tidak pernah saya jejaki.



Letih, tetapi bulan Disember tahun ini, benar-benar saya punya banyak aktiviti bersama keluarga, dan semuanya menyeronokkan.



Sepanjang tahun yang saya sentiasa sibuk bersama tugas-tugas saya - bekerja, mengajar, aktiviti di masjid, usrah, halaqah Al-Quran, kelas-kelas bahasa Arab, kelas tafsir dan mengaji - jadi, bila bulan Disember tahun ini saya dapat meluangkan hampir sepenuh masa bersama keluarga, ianya benar-benar menyeronokkan. Sementelah, keluarga saya menambah seorang ahli baru tahun ini - adik ipar saya yang pertama.



Lalu, pada 18 Disember 2009 bersamaan 1 Muharram 1431H, pukul 8.30 pagi, adik lelaki saya sudah mengambil saya di rumah. Kami berdua menghala ke selatan dan singgah untuk mengambil seorang lagi adik lelaki saya. Perjalanan diteruskan, dan tiba di kampung 15 minit sebelum waktu solat Zuhur (untuk waktu solat Jumaat). Selesai urusan solat, sekitar 3 petang, kami bertiga terus bergerak ke kedai : abang, kakak, emak dan anak-anak saudara saya sudah ada di Desaru. Membeli beberapa barang keperluan yang dipesan abang dan terus bergerak menghala ke Desaru.





Lama saya tidak melalui jalan ke Kota Tinggi. Jalannya masih lengang seperti dahulu, pun rupa-rupanya Desaru lebih kurang 57km dari bandar Kota Tinggi (saya tidak tahu pun...sangka saya pantai Desaru sangat hampir dengan Kota Tinggi). Kami tiba sekitar pukul 5 petang. Saya salam tangan emak, abang dan kakak dan terus mencapai kamera serta tangan di sebelah mendukung anak saudara yang berumur 2 tahun, terus menghala ke pantai yang hanya dalam jarak 50m dari chalet yang kami duduki.



Abang menempah 2 chalet - setiap satu chalet ada 2 bilik - di Holiday Desaru Chalet (kata abang, tempahan dibuat sejak bulan September lagi - memang pun, semua chalet penuh kerana kedudukan chalet-chalet ini benar-benar di tepi laut). Ombak tidak kuat, tetapi saya nampak langit yang sangat gelap. Puas bermain bersama anak-anak saudara dan mengambil gambar, saya terus balik ke chalet dan mandi (saya memang tidak main air laut pun - sudah disetkan di dalam diri yang saya tidak akan mandi di tempat awam...).



Lalu, 3 hari ini, kami sekeluarga (juga bersama pengantin baru), kami punya pelbagai aktiviti. Membakar ikan, udang, ayam dan daging, bermain layang-layang dan bermain air laut (anak saudara saya dan adik-adik serta abang saya - saya, kakak ipar dan emak hanya berkongsi keseronokan melihat kegembiraan mereka bermain...). Ya, saya seronok kerana jarang punya aktiviti bersama sekeluarga. Benar-benar menenangkan. Benar-benar menyeronokkan.







Kami bertolak balik (saya dan adik-adik menghala ke KL semula) pada 20 Dis 2009, pukul 11.30 tengahari. Selesai makan-makan bersama adik-adik saya di Nilai, saya tiba di rumah sekitar pukul 6 petang.

Alhamdulillah. Allah memudahkan urusan kami sekeluarga.

2 comments:

Anonymous said...

Chalet apa? Ada contact no?

rashinina said...

Holiday Desaru Chalet...maaf, saya takde contact number chalet ni...mungkin anda boleh google kerana urusan tempahan utk chalet ini tidak dibuat oleh saya...