01 December 2009

Suatu Hari

Pagi 30 November.

Saya memandu terus menuju ke tapak. Oh, pagi masih sangat awal. Perlu pasang lampu kereta semasa berada di atas jalanraya. Ya, pagi ini ada pemeriksaan di tapak untuk kerja-kerja saya. Lalu, awal pagi lagi saya sudah berada di tapak. Walau berbaju kurung, saya masih memakai 'safety shoes' saya yang saya suka kerana nampak sangat comel (kaki saya tak comel pun...kasut yang nampak comel...) walaupun body kasut tersebut sebahagiannya disaluti besi.

Usai di tapak, terus menuju ke pejabat. Nampak boss saya, terus minta beliau (wah...lama sudah saya tidak menggunakan bahasa melayu kata ganti nama kedua yang mantap...) menyertai mesyuarat pemeriksaan kerja-kerja saya di tapak nanti.

Saya masuk ke bilik saya dan mula membuat beberapa kerja - mencari driver, memeriksa beberapa surat dan memastikan perjalanan urusan untuk pagi ini lancar. Hmm, kerja-kerja renyah, tapi masih perlu dilaksanakan.

Usai semuanya, terima panggilan dari ibu pejabat, bergerak ke tapak semula, mesyuarat, pemeriksaan di tapak, usai mesyuarat penutup pada pukul 12.45 tengahari.

Tengahari 30 November.

Balik ke pejabat (oh...sudah ada kakak arkitek di pejabat yang menunggu saya untuk makan tengahari bersamanya...sudah beberapa hari dia call saya mahu ajak makan dan saya masih dengan kesibukan saya...) dan makan tengahari, solat dan kemudian ke pejabat pentadbiran (mengambil surat pertukaran - esok mahu lapor diri di pejabat baru, hari ini baru saya lihat surat untuk tukar - dan saya amat terkejut apabila melihat permohonan penangguhan saya - pengarah minta saya ditangguhkan sehingga 15 Jan 2010 - lamanya! biasanya paling lama pun sebulan je...).

Petang 30 November.

Buat kerja, jumpa boss dan beritahu esok tiada di ofis kerana lapor diri di pejabat baru dan kemudian terus memandu dengan laju ke Cheras. Set tarikh dengan dua anak murid saya yang akan masuk ke Tingkatan 5 tahun depan (rajin diorang ni, nak belajar di masa cuti sekolah..campur tolak darab bahagi, ada 5 orang pelajar saya bulan 12 ni...) dan kemudian kawan saya sudah menelefon saya. Oh...dia sudah ada di masjid berhampiran rumah saya. Pukul 6.30 petang, saya sudah ada di hadapan rumah saya menunggu ketibaan kawan saya pula.

Senja 30 November.

Menaiki kereta kawan saya dan saya ditunjukkan jalan ke pejabat baru saya esok pagi. Dua kali dia berpusing di bulatan supaya esok pagi saya tidak sesat. Kemudian, entah jalan mana yang dimasukinya (sungguh saya tidak faham jalan simpang siur dengan bangunan yang pelbagai itu) katanya menuju ke Masjid Besi. Saya sesat dalam masjid...haha...alhamdulillah akhirnya saya solat di Tingkat 3 masjid tersebut. Masjid yang besar, tetapi jemaah langsung tidak ramai.

Malam 30 November.

Singgah di Dominoe's Pizza bersama kawan saya. Dia belanja saya, dan bila saya lihat tarikh pada bil yang terlekat di kotak pizza, baru saya tersedar, hari ini 30 November. Usai makan sekeping pizza comel dan dua cawan Apple Aloe Vera (ini air kegemaran saya), dia hantar saya pulang ke rumah. Baru saja hendak keluar dari kereta, dia hulurkan satu kotak dan sebungkus plastik di tengah deru hujan lebat. (Sungguh....saya rasa hadiah hari lahir yang saya terima tahun ini pada pukul 8.50 malam itu sangat saya hargai kerana sepanjang hari ini saya terlupa yang hari ini adalah hari lahir saya - ingat dan lupa semula - dan dia, kawan saya, walau tidak sms apa-apa dan sebut apa-apa untuk ucapkan apa-apa, tapi masih meraikan hari lahir saya dengan caranya yang tersendiri...saya masih ingat kata-katanya sewaktu di dalam perjalanan : kalau saya jadi calon, tentu ramai orang yang akan warning awak...dan saya hanya tergelak...malas mahu komen apa-apa...).

2 jam melepasi 30 November.

Saya bangun dari tidur dan lihat dalam facebook yang beberapa kawan-kawan juga mengucapkan selamat hari lahir untuk saya. Terima kasih pada semua.

NOTA : Serius. Saya jarang ingat tarikh lahir saya. tapi kawan saya itu, dia boleh hafal nombor ic saya pun padahal saya langsung tidak pernah ingat tarikh lahirnya...entah bila...hoho...mungkin sebab saya dan dia bukan rapat sangat pun. Kami kawan sepejabat yang hanya berjumpa sesekali apabila ada hal penting - katanya mahu tunjukkan saya jalan ke pejabat baru saya saja.

1 comment:

Nas said...

eceh eceh...=p

kak..arijadi akak same arijd dgn kwn saye ili rupenye..hepi besdei.. ^_^