13 December 2009

Syukur Kepada Dia



Lama tidak punya sebarang entri. Saya sibuk, dan keletihan agaknya.

Majlis kahwin sangat banyak. Tapi, yang paling penting untuk tahun ini adalah majlis kahwin adik saya. Majlis di rumah kami pada 5 Disember 2009, manakala di sebelah adik ipar saya pula pada 12 Disember 2009. Dua negeri yang berbeza, bersatu di dalam sebuah perkahwinan.

Alhamdulillah.

Sudah selesai urusan perkahwinan. Sudah selamat semuanya.



Walau punya pelbagai halangan dan ujian (ujian untuk saya la kerana masa yang langsung tidak mencukupi..) kerana di saat yang sama saya akan ditukarkan ke pejabat baru, mana masa mahu menitipkan amanat untuk kerja-kerja yang ditinggalkan, mana masa mahu mengemas barang-barang di pejabat (barang-barang peribadi saya tidak banyak, yang banyak hanyalah nota-nota yang perlu diusung dalam membantu tugas-tugas seharian...nota-nota rujukan penting...) ditambah lagi pelbagai urusan keluarga dan kawan-kawan, pelajar-pelajar saya di bulan Disember ini, dan itu baru urusan-urusan berbentuk fizikal. Saya keletihan tanpa sebarang cuti, dan sudah 'terpengsan' juga dua tiga kali di dalam beberapa minggu ini - demam dan letih yang tidak surut. Badan jadi sangat lemah dan lesu, walhal tenaga dan tulang empat kerat saya masih terus digunakan dan terus digunakan.

Dari segi mental, ya....saya jarang ada masalah dari segi mental. Sudah disetkan, di mana pun saya ditempatkan, saya akan dapat peluang untuk menimba pengalaman dan belajar perkara-perkara baru pula di tempat baru. Mungkin dalam suasana yang berbeza, rakan-rakan baru yang berbeza, di awal-awalnya tentulah akan ada rasa kelainan...tapi apabila sudah banyak berlaku pertukaran dalam kerjaya saya, saya sudah akur bahawa situasi sama akan saya hadapi setiap kali bertukar. Hanya perlu bersiap sedia supaya lebih banyak rasa sabar, tenang dan ikhlas di dalam hati. Itu sahaja. Ujiannya kan pelbagai. Tidak perlu cepat melenting, kan?

Dari segi hati...sebelum-sebelum ini, pertukaran saya tidak pernah dikaitkan dengan urusan hati. Saya kebal, tidak pernah berperasaan kepada sesiapa jua di sepanjang kehidupan saya. Walau ke mana saya pergi, di mana saya berada, sudah disetkan berulangkali, hanya Allah yang sentiasa ada di hati. Tapi, entah kenapa agaknya, pertukaran saya kali ini mengundang rasa sayu dan sedih yang bukan pula sedikit. Jauh di sudut hati, saya rasa seperti tidak mahu wujudnya sebarang perpisahan dengan sesiapa jua pun. Mungkinkah, Allah memberikan saya peluang pada kali ini untuk mendidik diri saya tentang hati pula? Ujian ke atas hati saya, dan saya akui...semuanya kali ini, saya sandarkan hanya kepada Dia.

Ujian hati ini, saya redha menempuhnya. Untuk kali yang pertama. Terima kasih kepada Dia, yang menjadikan saya tabah dan kukuh, walau pelbagai ujian datang melanda.

Mungkin, kita yang tidak pernah sedar. Ujian itu jua adalah nikmat, kerana dengan pelbagai ujian yang datang, kita dapat belajar dan dapat meneruskan hidup ini di dalam suatu situasi yang lebih indah. Jika tidak ada ujian, tidak ada masalah, hidup kita sangat hambar kerana semuanya berlaku mengikut kehendak kita, pun kita rasa tidak selesa juga kan? Manusia ini, sukar benar bersyukur kepada Dia.

Ya Allah, jadikan hambaMu ini sebagai hamba yang sentiasa bersyukur kepadaMu. Amiin.

No comments: