17 April 2009

Benar kan? Sikap Kita Juga...

Sungguh saya sayu. Berulangkali sudah dinyatakan, kenderaan berat dan besar jangan memandu laju. Momentum besar. Daya yang terhasil menyebabkan kemalangan dengan kesan yang sangat besar.

Momentum = Jisim x Halaju

Maksudnya, sebarang kenderaan berat apabila dipandu dengan halaju tinggi, maka kenderaan akan mengalami momentum tinggi yang seterusnya boleh mengakibatkan kecelakaan yang lebih teruk.

Contohnya :-

Sebuah kereta yang beratnya 2000kg dengan kelajuan 90km/j akan mempunyai momentum berikut :-

Momentum kereta = 2,000kg x 90km/j = 180,000

Sebuah bas anggaran berat 10,000kg dengan kelajuan 60km/j akan mempunyai momentum berikut :-

Momentum bas = 10,000kg x 60km/j = 600,000

Sebuah lori besar membawa barang dengan anggaran berat 20,000kg dengan kelajuan 40 km/j akan mempunyai momentum berikut :-

Momentum lori = 20,000kg x 40km/j = 800,000

Ok...cuba lihat. Kereta dengan kelajuan 90km/j masih mempunyai momentum yang sangat kecil berbanding kelajuan bas 60km/j dan lori dengan kelajuan 40km/j.


Tapi, apa yang berlaku di zaman ini pula sangat berbeza. Saya pernah memandu 120km/j di atas jalan raya (uh...lebuhraya) dan terdapat banyak bas-bas besar yang memotong kenderaan saya. Berapa kelajuan mereka? Saya anggarkan dalam 130km/j. Berapa momentum bas yang dipandu laju itu? Momentum bas akan bersamaan dengan 10,000kg x 130km/j = 1,300,000. Nampak? Dua kali ganda dari momentum yang sepatutnya dimiliki oleh bas tersebut supaya impak kemalangan dapat dikurangkan. Namun, tidak ramai pemandu bas yang akur. Malah, pemandu lori kontena juga pernah memotong kenderaan saya dengan sangat laju. Anggaran kelajuannya mungkin 120km/j.

Tidak serik? Pemandu-pemandu bas dan lori memang tidak akan serik. Peduli apa....kenderaan mereka besar dan apabila kemalangan berlaku, paling-paling pun hanya akan ditahan reman selama seminggu sebelum dibebaskan setelah dinyatakan tidak bersalah. Mangsa yang mati di tempat kejadian sudah tidak boleh bercakap. Kalau di kawasan tumpuan orang, ramailah saksi. Tapi, cuba bayangkan di jalan-jalan lengang yang tidak ramai orang. Bas-bas dan lori-lori tersebut memang akan bermaharajalela tanpa mempedulikan orang lain.

Saya rasa, sudah tiba masanya penguatkuasaan diperkuatkan lagi. Nampak sahaja bas dan lori yang bermaharajalela di atas jalanraya, tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain, perlu terus dilaporkan kepada pihak polis. Setakat ini, penguatkuasaan sangat kurang. Mereka tidak takut. Untuk apa takut jika disaman sekali pun, mereka masih boleh memandu bas. Tidak disenaraihitam. Tidak didenda dengan teruk. Walaupun kematian yang disebabkan oleh golongan ini sangat banyak.
Aduhai, bilalah hendak berubah?

No comments: