18 April 2009

Memang Tidak Pernah Serik

Saya pulang ke kampung pagi ini. Hambatan rindu kepada emak membuatkan saya membatalkan semua kelas pengajaran saya untuk dua hari ini. Tidak kira dengan mesyuarat pada pagi Isnin nanti, saya tahu saya perlu pulang semula ke Kuala Lumpur sekewat-lewatnya esok petang. (Walau keinginan untuk ke pesta buku juga sudah saya leburkan...kalau saya berkesempatan, saya akan cuba untuk pergi pada Sabtu depan...InsyaAllah...)

Siapa lelaki yang digari ini?

Saya menggunakan lebuhraya sahaja pada pagi ini. Nampak sebuah bas yang agak laju di belakang saya. Saya memandu tidaklah laju sangat pagi ini, sekadar 110 atau 115 km/j, mematuhi peraturan halaju yang telah ditetapkan oleh pihak PLUS.

Sekonyong-konyong, bas itu sudah memotong di sisi saya. Huh, bas ekspress Transnasional. Berapa agaknya kelajuannya? Saya rasa sekitar 125 atau 130 km/j. Saya berjaya mengambil gambar bas tersebut pada satu jarak yang agak jauh (kamera memang berada di poket sisi kereta saya sahaja).

Nampak bas tersebut berada di laluan kanan dan sedang cuba hendak memotong satu kenderaan lain? Malah, kereta di hadapan saya pun sudah dipintasnya. Memang sangat laju!

Apabila sudah masuk ke jalan low-way (gelaran dari anak saudara saya untuk jalan-jalan negeri), saya dikejutkan pula dengan tindakan sebuah bas persiaran. Huh! Lebih melampau kerana pemandu bas telah menekan hon berulangkali supaya saya melajukan kereta saya (kelajuan saya sebenarnya sudah menghampiri 100km/j pun bagi jalan yang mempunya had laju 90km/j sahaja) dan berusaha memotong saya berkali-kali walaupun laluan dari arah bertentangan tidak putus-putus dengan pelbagai jenis kenderaan, antaranya kereta dan lori. Seolah-olah memaksa saya ke bahu jalan sahaja supaya bas tersebut boleh dipandu seperti...(samseng?!) Macamlah jalan itu hanya mereka seorang yang membayar cukai jalan sahaja. Bagaimana pula saya hendak menambah kelajuan sedangkan saya sudah memandu melebihi had laju pun. Saya sudah memandu 100km/j. Had laju hanya 90km/j.

Bagaimana saya menghindari bas ini? Huh...memang tidak masuk akal kerana saya rasa pemandu bas tiba-tiba ternampak kamera di atas ribaan saya sewaktu bas tersebut hendak memintas saya dengan sesuka hati, walhal ada kereta di laluan bertentangan pada waktu itu. Secara tiba-tiba sahaja bas tersebut diperlahankan di belakang saya dan saya dibenarkan meneruskan perjalanan tanpa gangguan. Jadi, memanglah nampak sangat tindakan menekan hon dan memaksa saya memandu laju itu salah. Mereka rasa takut pula apabila ternampak tangan saya yang sudah hendak menekan butang kamera. Saya sudah nekad akan terus membuat laporan polis di balai polis terdekat dan aduan kepada JPJ jika gambar bas tersebut bersama nombor pletnya saya berjaya ambil.

Masih tidak sedar? Ya...pada saya pemandu-pemandu bas ini masih tidak sedarkan kesan kemalangan yang bukan sahaja boleh membahayakan nyawa penumpang bas, malah juga kepada pengguna jalan raya lain. Sudahlah melebihi had laju yang telah ditetapkan, budi bahasa di atas jalan raya juga tidak ada. Sangat menjengkelkan!

Jadi, salah siapa kalau berlaku kemalangan? Kebanyakan pemandu bas memang tidak pernah ada keinginan untuk berhemah di atas jalanraya! Sebab itu statistik kemalangan sekarang menunjukkan peningkatan kepada bilangan kemalangan yang melibatkan bas-bas sahaja.

Tidak tahukah mereka bahawa sewaktu saya dihon berulangkali untuk perkara yang bukan kesalahan saya itu, saya terasa saya sudah dianiaya di atas jalanraya untuk kesalahan yang tidak saya lakukan? Tahukah mereka bahawa doa orang yang teraniaya akan dimakbulkan Allah? Tahukah mereka bahawa saya tidak senang untuk dibuli di jalan raya oleh golongan seperti mereka? Tahukah mereka bahawa saya sudah berdoa (doa semacam apa?) untuk golongan orang seperti mereka? Tahukah mereka bahawa ramai orang yang akan berperasaan seperti saya jika berada di dalam situasi yang sama? Jika mereka tidak tahu, alangkah sedihnya keadaan jalan raya di Malaysia apabila dipelopori oleh pemandu-pemandu yang tidak bertanggungjawab seperti ini.

Ya, saya boleh bersabar. Tetapi golongan serupa ini sudah banyak menyusahkan rakyat Malaysia yang lain. Jika sikap mereka tidak diubah, ramai lagi golongan bijak pandai akan menghadapi maut dengan cepat kerana tindakan tidak bijak pemandu-pemandu bas ini. Maka dengan itu, Malaysia tidak akan maju dan terus mundur kerana dikuasai oleh golongan seperti ini.

Kasihan rakyat Malaysia!

No comments: