08 April 2009

Kejar Tol

Semasa tol tidak ada pemotongan 10% sebelum 7 pagi, saya sering keluar rumah pada pukul 6.45 pagi. Jalan ok. Lengang. Selepas pukul 7.10 barulah jalan jadi sesak. Saya boleh tiba di pejabat yang berada di Kuala Lumpur seawal 7.15 pagi.

Bila tol sudah ada pemotongan 10% sebelum 7 pagi, saya keluar macam biasa. 6.45 juga. Bezanya, saya akan tiba di pejabat seawal 7.25 pagi. Atau kalau tersekat disebabkan bas mengambil penumpang yang berhenti sesuka hati di tengah-tengah jalan, lori-lori yang bermaharajalela di atas jalanraya dan 'kenderaan kura-kura' yang sangat lembab dan berada di lorong paling kanan, saya akan tiba di pejabat pada pukul 7.31, 7.32 atau 7.33 pagi. (Saya perlu berada di pejabat dan punch-card sebelum atau tepat 7.30 pagi)

Lalu sekarang ini saya keluar awal sedikit. 6.35 pagi supaya dapat tiba di pejabat seawal 7.15 pagi.

Minggu lepas, saya keluar lambat. Terbangun lambat kerana tidur malam yang terganggu. Pukul 3.30 pagi baru boleh tidur. Jadi saya keluar dari rumah pukul 7.10 pagi. Hmm. Jalan tidak sesak malah lancar seolah-olah sekarang ini memang ramai yang keluar awal walaupun pejabat mereka hanya dibuka seawal 9 pagi. Hanya kerana mengejar tol? Mungkin.

Saya teringin memberikan pandangan saya tentang kes kejar pengurangan tol sebanyak 10% ini. Ini kerana, saya perlu menggunakan tol setiap hari ke tempat kerja, samada Tol PLUS di Serdang atau Kajang untuk menuju ke Kuala Lumpur.

Sekiranya waktu biasa, nilai Tol Serdang menghala ke Tol Sungai Besi adalah RM 1.60 dan sebelum pukul 7 pagi sebanyak 10% ditolak iaitu RM 0.16 ~ RM 0.10 menjadi RM 1.50.

Bagi Tol Kajang pula, nilainya adalah sebanyak RM 1.80 pada waktu biasa. Pun, bagi sebelum pukul 7 pagi sekiranya ditolak sebanyak 10%, penolakan sepatutnya adalah sebanyak RM 0.18 ~ RM 0.20. Namun, apa yang berlaku adalah nilai Tol Kajang ke Tol Sungai Besi ini perlu dibayar RM 1.70 sebelum pukul 7 pagi, iaitu pengurangan diberikan hanya sebanyak RM 0.10 sahaja.

'Round-off' bagaimana yang digunakan di dalam pengiraan tersebut, saya tidak mahu ambil pusing, walau pada dasarnya, ianya tidak mematuhi 'round-off' yang telah diajar kepada para pelajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

Saya lebih pentingkan kenderaan-kenderaan yang berebut-rebut mengejar pengurangan tol walhal pengurangannya tidak sebanyak mana. 10 sen sehari, lima hari baru 50 sen. satu bulan baru bernilai RM 2. Tetapi, banyak kenderaan yang berebut-rebut di jalanan tanpa memikirkan keselamatan diri semata-mata kerana 10 sen? Atau paling banyak pun dari Nilai, itu pun mungkin pengurangan hanyalah sebanyak 40 sen sehari. Saya tidak rasa ada yang tinggal di Johor Bahru dan berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari.

Sudahlah berebut-rebut mengejar tol, elok sahaja melepasi Tol Sungai Besi, kebanyakan kenderaan-kenderaan yang keluar awal untuk mengejar tol ini akan dipandu secara perlahan untuk menyesuaikan diri dengan masa sepatutnya mereka akan tiba di pejabat. Apabila dipandu terlalu perlahan, kenderaan-kenderaan di belakang mereka semuanya akan menjadi lambat.

Maka, jadilah kesesakan jalan yang sama setiap hari.

No comments: