14 April 2009

Hujan dan Katak

Hari-hari hujan. Alhamdulillah. Hujan rahmat. Balik dari pejabat, saya lihat 'kebun salad' saya dipenuhi air. Kasihan anak-anak pokok yang masih kecil tercabut dari tanah. Gara-gara saya meletakkan pokok-pokok tersebut di ruang yang memang terdedah kepada hujan - saya jarang ada di rumah dan tidak mahu pokok-pokok saya mati kekeringan. Tidak sangka pula hujan hari ini agak lebat.

Dahulu semasa saya menanam brokoli, saya letakkan di belakang rumah. Kerana kurang cahaya matahari dan air yang optimum agaknya, brokoli saya mati kekeringan. Batangnya pula tinggi dan lembut. Mudah bengkok, akhirnya patah dan jatuh ke bumi. Harap-harap pokok salad saya dapat membesar walaupun bekasnya telah dipenuhi air. InsyaAllah.

Pokok serai saya pula telah bercambah-cambah. Serai dari tangan Allahyarham ayah saya yang asalnya hanya satu batang, kini sudah menjadi rumpun yang ada enam batang serai. Alhamdulillah.

*********
Dari rumah hendak menuju ke tempat saya meletakkan kereta, saya perlu melangkah meredah satu laluan dipenuhi rumput dan air bertakung. Jika hari cerah, saya tidak kisah. Namun, seawal 6.35 pagi, saya tidak nampak apa yang ada di kawasan rumput tersebut. Harap-harap tidak ada katak semasa musim hujan begini.

Saya teringat semasa zaman sekolah menengah di mana saya telah terpijak tiga ekor katak semasa berlari-lari anak di laluan berumput. Katak-katak tersebut telah membantutkan hasrat saya untuk menjadi seorang pakar sakit puan. Malah, sewaktu di zaman matrikulasi bersama pelajar sains hayat di mana mereka akan melakukan pembedahan ke atas katak, katak-katak tersebut terpaksa disimpan di dalam bilik tidur. Apabila salah seekor katak-katak tersebut hilang, saya tidak masuk pun ke bilik tidur. Saya hanya kembali ke bilik apabila katak yang hilang tersebut ditemui.

Huh. Kisah katak sangat banyak dalam hidup saya. Semasa saya tinggal bersama abang dan kakak saya di Banting dahulu, katak akan masuk ke dalam bilik saya apabila malam menjelma. Tiga bulan saya tidur bersama katak yang menjalar di betis saya sewaktu tidur (yang sudah tentunya katak tersebut menerima tendangan saya). Peliknya, katak itu hanya masuk ke bilik saya dan tidak masuk ke bilik tidur lain. Tambah pelik, walau lubang di bawah pintu sudah ditutup, dan kakak saya sudah beberapa kali menghambat katak itu keluar dari rumah, katak itu tetap muncul. Selepas 3 bulan, katak tersebut hilang begitu saja.

2 comments:

AyuS said...

Dulu masa nak pakai kasut sekolah..bila masukkan kaki ke dalam kasut..rasa macam lembik je..rupa-rupanya ada katak menyorok dalam kasut saya..heheheehe..geli geleman..lepas tu..tiap-tiap kali nak pakai kasut, saya mesti check dulu samada ada katak tak dalam kasut..

rashinina said...

ayu..bab kasut sekolah tu, alhamdulillah takdelah teruk sebab masa kecik2 dulu...katak pun taknak duduk dalam kasut sekolah saya agaknya sebab lepas 3 tahun guna baru le dapat kasut baru...hehe...

tapi bila nak mandi zaman dulu tu...ha...time tu la dia memunculkan diri tiba-tiba. aduhai....kadang2 time tengah mandi pun dia muncul....

katak ni...kan aurat tu...

huh...katak jantan agaknya?