16 May 2009

Hati Seorang Ibu, dan Guru

Saya belum pernah menjadi ibu, tapi saya pasti benar saya dapat menyelami hati seorang ibu. Semuanya kerana, saya pernah menjadi seorang guru.

Saya rasa saya seorang guru yang kurang bagus;

1. Mengajar tidak ikut silibus (dari segi agama, peribadi, pengetahuan am, cerita semasa, motivasi, hadis - semuanya boleh saya selitkan dalam satu sesi walau sesi tersebut adalah sesi subjek Matematik).

2. Membuat paksaan supaya setiap pelajar saya bukan hanya sekadar belajar untuk peperiksaan tetapi juga belajar kerana ingin menuntut dan mendapatkan ilmu.

3. Membuat paksaan supaya setiap pelajar berfikir sendiri dan jangan hanya mengharapkan kehadiran saya sahaja untuk menjawab semua persoalan yang boleh difikirkan oleh pelajar sendiri.

4. Menerapkan kepentingan dan kualiti masa - jika dua jam belajar dengan saya, pastikan kualiti ilmu yang diperolehi dan boleh disematkan di minda juga adalah dua jam - bukannya guna masa dua jam untuk kualiti ilmu hanya sekadar 15 minit.

5. Memaksa pelajar solat dahulu sebelum belajar dengan saya (jika kena pada masa solat).

6. Mendenda pelajar yang tidak membuat latihan.

7. Memastikan pelajar tidak hanya terus menerima ilmu sahaja tanpa berfikir logik tidaknya ilmu tersebut. Saya sentiasa menyatakan bahawa - cikgu sendiri di hadapan kamu ini, kamu jangan percaya kata-kata saya, cuba kaji kata-kata saya ni betul ataupun tidak.

8. Memastikan pelajar benar-benar faham tentang suatu topik, kemudian barulah berpindah ke topik lain. Biar lama mana masa yang diambil, saya mahu pelajar-pelajar saya dapat faham semuanya dengan tepat dan sempurna.

9. Saya tidak akan datang mengajar sekiranya pelajar saya tidak menunjukkan kesungguhan hendak belajar walaupun sekiranya saya dapat mengajar lebih, pendapatan bulanan saya jua akan meningkat. Bukan duit yang saya raih, tapi kejayaan setiap pelajar saya di dunia dan di akhirat yang saya mahukan.

Huh! Saya memang bukan seorang cikgu yang bagus. Pun, Alhamdulillah.....dari pagi hingga ke malam hari ini, telefon mobil saya tidak putus menerima ucapan Selamat Hari Guru dari beberapa orang pelajar saya. Terima kasih.

Dari 'title' cikgu inilah, saya menyelami hati seorang ibu. Saya nampak kasih ibu di dalam diri seorang guru. Pastilah guru-guru saya dulu juga begini rasanya.

Ibu, yang tidak putus membekalkan ilmu.
Ibu, yang tidak jemu memaksa anak-anak masuk ke syurga dengan solat dan akhlak baik.
Ibu, yang tidak jemu memastikan anak-anak mendapat yang terbaik dalam hidup.
Ibu, yang tidak jemu menzahirkan kasihnya, walau anak-anak tidak sedar.
Ibu, yang tidak jemu berbangga dengan kejayaan anak-anaknya.
Ibu, yang kasihnya tidak putus, sayangnya tidak pernah hilang.

Saya dapat melihat, menyelami, mendalami dan memerhati, kasih seorang ibu kepada anaknya, dari semua ibu kepada pelajar-pelajar saya.

Selamat Hari Ibu, dan Selamat Hari Guru. Semoga Allah meredhai semua ibu-ibu dan semua guru-guru samada yang masih hidup, atau yang sudah meninggal dunia. InsyaAllah.

No comments: